Thursday, January 1, 2009

Isu Pinggan Mangkuk Di Rumah Bukan Islam

SOALAN: Sebagai seorang bukan Islam, saya dimaklumkan terdapat juga orang Islam yang berasa tidak selesa berkongsi peralatan dapur seperti pinggan dan cawan di rumah saya. Bagaimanakah Islam memandang persoalan ini?


Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Mengarut! Apa perlu berkunjung rumah seseorang kenalan bukan Islam kalau kita menganggap tidak boleh makan atau minum di situ? Saya kecewa dengan pentafsiran Islam begini. Agama itu sebenarnya membuatkan kita menjadi lebih bijak. Pandangan ini menjadikan seseorang lebih bodoh.


Selagi sesuatu yang dijamu kepada kita itu halal, maka ia boleh dimakan, sama ada buah, ikan atau sebagainya. Kemungkinan-kemungkinan yang kita tidak nampak itu tidak wajib diambil kira. Kerahmatan ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja.


Kalau kita buat baik kepada orang bukan Islam, kita juga mendapat pahala, macam kita memberi sedekah kepada orang bukan Islam. Perkara ini soal keinsanan dan nilai agama yang tamadun.


Tonjolkan imej Islam dalam wajah yang indah agar Islam dipandang sebagai agama yang benar.

Apa kata Ustaz Azmi Abdul Samad: Bagi golongan yang mempersoalkan mengenai pinggan mangkuk yang tidak disertu, sebenarnya hukum menyertu pinggan mangkuk yang terkena daging khinzir juga adalah sebahagian daripada masalah yang dikhilafkan oleh sebahagian ulama.


Yang masyhurnya, seperti yang kita pelajari, pinggan mangkuk tersebut mestilah disertu.
Namun, sebenarnya ada juga sebahagian ulama, termasuk ulama dalam mazhab Syafii, yang berpendapat bahawa pinggan mangkuk sedemikian tidak perlu disertu. Memadai ia dibasuh seperti me nyucikan najis-najis biasa.


Telah berkata Imam Nawawi, seorang alim mazhab Syafii, dalam ensiklope dianya yang bertajuk Al-Majmuk:


'Ketahuilah sesungguhnya bahawa pendapat yang kuat dari segi dalil adalah ia memadai dengan satu kali basuhan tanpa menggunakan tanah. Demikian itu jugalah yang dikatakan oleh ramai ulama yang mengatakan bahawa khinzir itu najis.' (Jilid 2/417)


Ulama fiqah tersebut mengatakan demikian kerana sekiranya diteliti, kita tidak akan menjumpai satu dalil pun dalam Al-Quran atau hadis yang sahih apabila umat Islam disuruh menyertu sekiranya terkena daging babi. Nabi juga tidak memerintah para sahabat melakukan demikian - berbeza daripada suruhan baginda kalau terkena jilatan anjing.


Namun, saya tidak menafikan masalah ini agak sensitif kerana ia jarang diketengahkan. Apa yang penting adalah masyarakat perlu faham bahawa hukum menyertu kalau terkena daging babi adalah satu masalah yang tidak disepakati oleh ulama.


Dengan adanya pandangan sebegini, ia akan memberi jalan keluar sekiranya kita menziarahi kawan atau kenalan kita yang bukan beragama Islam.


Ia juga akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sebahagian golongan pekerja kita yang terpaksa makan di kantin kerja atau pusat makanan yang hanya mempunyai satu pusat tempat membasuh yang menggunakan mesin membasuh pinggan mangkuk elektrik.


Namun, memandangkan ramai anggota masyarakat kita masih kurang terdedah kepada isu sebegini, saya tetap menasihati golongan orang bukan Islam supaya memastikan pinggan mangkuk mereka disertu terlebih dahulu atau menggunakan pinggan pakai buang sekiranya ingin menjamu umat Islam dalam sesuatu majlis.

No comments:

Post a Comment