Saturday, June 27, 2009

Apabila Qarun jadi idola !!

Dalam surah al-Qashash ada menceritakan:

79. Maka keluarlah Karun kepada kaumnya dalam kemegahannya[1139]. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: "Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Karun; sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar."


[1139]. Menurut mufassir: Karun ke luar dalam satu iring-iringan yang lengkap dengan pengawal, hamba sahaya dan inang pengasuh untuk memperlihatkan kemegahannya kepada kaumnya.


Inilah lumrah kehidupan yang menuju ke akhir zaman, manusia-manusia berkejar-kejaran mengumpul kekayaan, terlalu alpha sehinggakan usia hampir ke penghujung masih lagi gilakan harta bahkan mereka semua ini akan berhenti apabila dijemput menghuni kubur. Sikap sebegini makin lama makin parah, para Ulama' seakan dipinggirkan, menjadi ringan mulut untuk memberi komen kejumudan kepada orang beriman, rasuah dan penyelewengan berleluasa dalam segenap lapisan termasuk profesion keguruan.

Apabila terpandang harta dan kekayaan, nafsu kembali terangsang, motivasi meningkat serta merta hilang rasa malas, kepala yang dulunya kosong tanpa isian kini penuh dengan angan-angan si Jenin yang memacu minda bawah sedar untuk mencapai impian. Apabila terpandang hartawan santai dalam sebuah kereta mewah yang dipandu oleh pemandu upahan, maka terbitlah di hati si miskin kekaguman kepadanya, malah ada yang sanggup menjadi balaci hanya semata-mata untuk memperhambakan diri bagi menumpang biasan kemewahan si kaya. Tiada lah lagi rasa hormat kepada yang lain sehingga pada masa dulu dia lah yang sering di tolong oleh orang lain tapi kini lupa diri kerana berasa kaya walaupun kekayaan itu milik orang lain sebenarnya.

Apabila terpandang sebuah rumah tersergam mewah yang dilengkapi peralatan canggih dengan disertakan beberapa orang pengawal keselamatan, maka mata terbeliak memuji keindahan ciptannya. Bermulalah terdetik di hati untuk memilikinya suatu hari nanti walaupun sebenarnya tahu keupayaan diri.

Tetapi semuanya lupa, itulah bayangan Qarun pada zaman ini yang menjadi ikutan dan kekaguman manusia sedangkan contoh yang dibawa oleh Abdul Rahman bin Auf sengaja dilupakan. Sesungguhnya mereka yang menjadikan Qarun sebagai idola hanya merugikan kerana harta yang banyak tidak mampu memberikan manfaat kepada apabila berpindah ke alam kubur kelak.

Sambungan daripada ayat di atas:

80. Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar." (al-Qashash)

Kepada yang kaya, hanya satu saja pesanan yang ingin disampaikan bahawa berusahalah untuk menjadi Abu Bakar al-Siddiq dan Abdul Rahman bin Auf pada alaf ini kerana sumbangan anda sangat diperlukan untuk sama-sama memperoleh keberkatan di negara tercinta ini.

Thursday, June 25, 2009

Tuntutan Kehidupan : Kisah Salman dan Abu darda'

Hadith Salman wajarlah menjadi pedoman kita dalam perkara ini. Kisah Salman dengan Abu Al-Darda’ adalah seperti berikut:
عن أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ آخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ سَلْمَانَ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً فَقَالَ لَهَا مَا شَأْنُكِ قَالَتْ أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدُّنْيَا فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا فَقَالَ كُلْ قَالَ فَإِنِّي صَائِمٌ قَالَ مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ قَالَ فَأَكَلَ فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ قَالَ نَمْ فَنَامَ ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ فَقَالَ نَمْ فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ سَلْمَانُ قُمْ الْآنَ فَصَلَّيَا فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [ صَدَقَ سَلْمَانُ.][1]

Maksudnya: Terdapat riwayat daripada Abu Juhfah katanya: Rasulullah r telah mempersaudarakan antara Salman dan Abu al-Darda’. Pada suatu hari Salman menziarahi Abu al-Darda’ dan dia melihat isteri Abu al-Darda’ tidak terurus. Salman bertanya kepadanya, “Kenapa kamu begini?” Isteri Abu al-Darda’ menjawab, “Saudaramu, Abu al-Darda’ tidak berhajat kepada dunia.” Apabila Abu al-Darda’ datang dan membuat hidangan untuk Salman, Salman mengajak beliau makan sekali. Abu al-Darda’ menjawab, “Saya Puasa.” Salman berkata, “Saya tidak akan makan jika kamu tidak makan.” Abu al-Darda’ pun makan bersama. Apabila tiba waktu tidur di permulaan malam, Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Salman menyuruhnya tidur, lalu beliau pun tidur. Tidak lama kemudian Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Sekali lagi Salman menyuruhnya tidur. Apabila sampai penghujung malam, Salman berkata, “Sekarang bangun.” Mereka pun bangun dan solat malam. Kemudian Salman berkata kepada Abu al-Darda’ “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap badanmu, tanggungajawab terhadap keluargamu; jadi hendaklah kamu melaksanakan tanggungjawab kamu kepada mereka semua.”
Abu al-Darda’ kemudiannya pergi bertanya Rasulullah r tentang perkara ini lalu Baginda r berkata, “Benar kata Salman.”
Pengajaran daripada kisah ini, walaupun sekuat mana pun ibadah kita kepada Allah Taala sebagai tanggungjawab kepada tuntutannya tetapi jangan kita yang kita pun mempunyai tuntutan yang lain sesama manusia dalam menuju ketaatan kepada Nya... Biarlah kita seimbang dalam memenuhi segala tuntutan tersebut tanpa niat menyamakan hak manusia dengan hak Allah bahkan tuntutan tersebut juga merupakan tuntutan Allah Taala.

Tuesday, June 23, 2009

Perkahwinan Yusuf dan Zulaikha : Riwayat dusta penyair Parsi

Yusuf dan Zulaikha kononnya, kisah cinta agung. Kononnya ia lebih agung dari Romeo dan juliet, Laila dan Majnun. Begitulah menurut puisi Sufi Parsi.

Siapakah itu Zulaikha? Nama Yusuf dan Zulaikha, sering digandingkan dengan Adam dan Hawa, Muhammad dan Khartijah didalam doa pengantin. Maka olih kerana, yang mengetuai bacaan doa itu diberi gelaran al-ustaz maka para tetamu tanpa banyak soal mengaminkan doa agar kedua mempelai cinta mencinta, bahagia bagai Yusuf dan Zulaikha. Maka olih kerana para tetamu ramai yang buta Quran, tanpa soal selidik hadirin mendoakan supaya siisteri jadi seperti Zulaikha.

Bukankah zulaikha itu seorang isteri yang curang, yang punya nafsu kuat, ibu haruan yang pantang melihat Yusuf anak angkatnya yang gagah dan tampan tanpa tandingan. Zulaikha, bukankah ia yang mengoda dan menfitnahkan Yusuf, yang tetap dengan Iman. Bukan kah Zulaikha isteri Pontipac al-Aziz, yang menfitnahkan Yusuf mengakibatkan yusuf dipenjara firauan?

Malangnya ramai yang terpengaruh penyair penyair Parsi, yang mengagung-agungkan berahi dan nafsu Zulaikha terhadap Yusuf. Malangnya ramai yang melihat tulisan-tulisan padang pasir sebagai wahyuNya. Malangnya ramai yang tidak mengkaji penuh puisi sufi yang sebenarnya tidak menidakkan kandungan Quran

Berikut adalah kandungan surah Yusuf yang menceritakan dengan terperinci kecurangan Zulaikha

[22]

Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
[23]
Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”.
[24]
Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.
[25]
Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.
[26]
Yusuf pula berkata: “Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:” “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.
[27]
Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar”.
[28]
Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.
[29]
Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!”
[30]
Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”
[31]
Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “Keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”
[32]
(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”
[33]
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.

Kepada bakal-bakal pengantin, ada baiknya persandingan saudara saudari tidak diiringi doa yusuf dan Zulaikha.

Tuesday, June 16, 2009

Lagi berita mengenai AHBASH

Ahbash dibongkar kesesatannya

Seorang tokoh ulamak terkenal di bidang aqidah al-Syeikh Dr. Safar al-Hawali telah ditanya tentang kumpulan Ahbash adakah mereka ini di kalangan ahli sunnah wal jamaah seperti mana yang didakwa oleh mereka:
Syeikh menjawab:

Sesungguhnya mereka yang beraqidah dengan aqidah yang sahih di Lubnan sering diperangi oleh setiap puak yang dengki dan iri hati terhadap ahli sunnah wal jamaah.

Seperti yang kamu semua ketahui, di Lubnan kesemua kumpulan dan agama yang wujud di atas muka bumi ini semuanya ada di Lubnan. Di tambah pula dengan masyarakat ahli sunnah yang berlumba-lumba di dalam perkara yang bid’ah dan kesesatan yang banyak.

Antara perkara yang disebarkan di sana ialah Aqidah Jahmiyyahyang buruk yang berselindung di sebalik Asy’ariyyah. Kamu semua mengetahui perbezaan Aqidah Abu al-Hassan al-Asy’ari yang telah kembali kepada Aqidah ahli sunnah wal Jamaah dengan AqidahJahmiyyah yang mereka ini menafikan bagi Allah itu sifat-sifat. Lalu mereka menafikan sifat al-Uluw (ketinggian) bagi Allah, mereka mengubah Kalamullah Azza wajalla, mereka menyatakan iman itu hanya di dalam hati, (fahaman murjiah), dan di dalam masalah Qadar mereka menghampiri mazhab Jabariyyah,

Kumpulan Jahmiyyah ini yang berada di Lubnan di kepalai oleh seorang lelaki dari Habasyah. Lihatlah bagaimana Allah menguji bumi Lubnan dengan sekian banyaknya ujian dan cubaan. Muncul lelaki dari Habasyah ini dan pergi ke Lubnan yang sebelumnya dia telah mempelajari kitab-kitab Al-Asy’ariyyah dan ilmu kalam, sekarang mengajar pula masyarakat di Beirut Aqidah ini. sehingga tersebar ajarannya dengan pengikut-pengikutnya yang bersenjata bergerak secara militan (pengganas). Memaksa orang lain supaya mengikut Aqidah Jahmiyyah dengan dakwaan itulah Aqidah yang diterima oleh Allah dan konon-kononnya itulah Aqidah ahli sunnah.

Inilah dia Abdullah al-Habasyi yang menetap di Beirut. Pengikut-pengikutnya dikenali dengan nama al-Ahbash. Mereka inilah yang berada di atas Aqidah (yang disebutkan) yang sesat lagi menyesatkan. Wal’iyazubillah.

Mereka membunuh seorang pemuda ahli sunnah disebabkan pemuda ini tidak sependapat dengan mereka di dalam masalah sifat al-Uluw bagi Allah. Pemuda ini telah menulis sebuah kitab yang bertajuk “Istbat ‘Uluwwillah Ta’ala ‘ala Khalqihi” bermaksud menetapkan sifat al-Uluw bagi Allah ke atas makhluqNya. Mati pemuda ini syahid Insya Allah, Rahimahullahu Ta’ala.

Aqidah yang seperti mereka katakan, Allah itu tidak di atas, tidak di bawah, tidak di dalam alam, tidak di luar alam meruapakan Aqidah yang bathil. Maha suci Allah dari apa yang mereka katakan. Aqidah ini berasal dari falsafah Yunani, Wathaniyyah yang dibawa oleh mereka kemudian di namakan sebagai ilmu kalam. Akhirnya mereka mendakwa inilah dia aqidah ahli sunnah wal Jamaah.

Tetapi kumpulan Ahbash ini mengajarkan aqidah yang bathil ini. Fallahul musta’an. Alhamdulillah Habasyi ini telah pun adasebahagian dari kalangan ahli sunnah yang mengkritik dan menjawabnya, begitu juga sudah ada kitab-kitab yang menjawab mereka. Tulisan-tulisannya (Habasyi) sangat menunjukkan kedangkalannya, mana-mana sahaja penuntut ilmu yang membacanya mampu untuk menjawabnya dengan mudah.
(Syeikh menjawab ketika sesi soal jawab perjumpaan mingguan, kaset yang ke 40)


Ditambah pula dengan kata-kata pegarang "Fiqh Islami wa Adillatuh" DR Wahbah Zuhaili, yg direkod sewaktu kedatang beliau ke Malaysia. Saksikan video ini.


Sunday, June 14, 2009

Berapakah jumlah Aliran Pemikiran Islam Di Malaysia Sekarang?

Dalam banyak artikel yang saya baca yang membincangkan mengenai aliran pemikiran dalam Islam khususnya di Malaysia ini, rata-rata kandungan perbincangan tersebut mesti mengaitkan tentang Syi'ah, Ahlul Sunnah Wal (ASWJ), Muktazilah, Khawarij dan wahabi. Sedangkan banyak di kalangan yang berilmu yang menyampaikan kepada pendengar-pendengar samada di surau atau dalam forum suatu pandangan yang pelik tetapi tetap mengakui bahawasanya dia tergolong dalam ASWJ dan senang-senang melemparkan tuduhan kepada aliran lain salah dan sesat.

Banyak cara yang digunakan oleh golongan ini bagi menyampaikan mesej mereka dengan mengadakan ceramah atau forum dengan menggunakan tajuk yang sangat panas dan sensasi seperti " bahaya kemunculan Syi'ah" "Berwaspada dengan ajaran Qadiani" atau "jenayah Wahhabi". Golongan ini sewenang-wenang menyesatkan Sayyid Qutb, menghentam Syeikh Albani, mengutuk al-Qaradhawi dan membuat tuduhan tidak berasas kepada Wahbah Zuhaily dan banyak lagi dengan kata-kata sesat dan pembohongan yang dibuat. Namun begitu mereka bijak berselindung atas nama ASWJ dan menyatakan bahawa merekalah yang paling benar. Mereka ini bukan dari kalangan orang biasa bahkan menduduki jawatan kerajaan yang tinggi terutamanya dalam bidang pentadbiran Islam.

Tanpa kita sedari, kita terlupa satu lagi kumpulan aliran Islam yang baru wujud pada masa kini iaitu "AL-AHBASH"... Aliran yang diasaskan oleh Syeikh Abdullah al-Harari yang sangat memusuhi Wahabi kini sedang menular di kalangan pegawai-pegawai agama dan penuntut Universiti di negara ini. Aliran ini sangat membencikan Dr. Asri Zainul Abidin, Dr. Juanda Jaya, Ust. Zahazan, Abdullah Yassin dan ramai lagi dengan memberikan pelbagai label yang buruk sebagai penghinaan untuk mereka.

Oleh yang demikian, apabila kita ditanya berapakah jumlah aliran pemikiran Islam yang terdapat dalam dunia masa kini maka jawablah "SYIAH, WAHABI, QADIANI, MUKTAZILAH, KHAWARIJ, AHBASH, ASWJ, SALAFI DAN KHALAFI"... Dan elok benar kiranya ada pengkajian baru untuk kesemua aliran ini sebagai perbandingan untuk mencari kebenaran yang sebenarnya.....................

Saturday, June 13, 2009

Sekitar Mesyuarat Agung Surau Taman Saraya kali ke-15

Pada hari ini bertarikh 13 jun 2009 berlangsung Mesyuarat Agung Surau bagi membuat pemilihan jawatankuasa baru setelah pengerusi sedia ada berhasrat untuk mengundurkan diri untuk memberikan tumpuan kepada jawatan yang baru dipangkunya sebagai pemangku ketua bahagian umno.

Di awal pemilihan tersebut berlaku sedikit perdebatan yang agak panas tetapi sekejap saja dan proses pemilihan berlansung seperti yang dirancangkan pada selepas itu. Saya yang dulunya menjadi sebagai Imam ketiga ditawarkan untuk memegang jawatan Imam satu tetapi saya menolak dengan baik kerana jawatan tersebut tersangat berat untuk dipikul memandangkan kemampuan iman dalam diri yang sangat sedikit. Komitmen yang sangat penting sebagai imam untuk meneruskan aktiviti harian siang dan malam sedang diri sendiri hanya mampu pada waktu isyak saja adalah sangat tidak munasabah untuk menerima jawatan tersebut. Biarlah orang lain yang lebih berhak untuk memikulnya.

Pengerusi baru telah dipilih sebulat suara tanpa ada pertandingan kerana jumlah hadirin hanya cukup-cukup korum untuk meneruskan mesyuarat pada malam tadi. Saya sangat tidak berpuas hati dengan pemilihan pengerusi baru ini kerana pada jawatankuasa yang lepas beliau sudah memegang jawatan sebagai timb. pengerusi dan juga imam dua tetapi atas nama saja dan tidak mampu untuk membuktikannya sebagai seorang pemimpin yang berkesan. Lagipun jawatan imam yang disandang beliau tidak dilaksanakan dengan baik kerana beliau banyak menghabiskan waktu solat di tempat lain bukan di surau kariahnya. Jawatan yang lepas pun tidak dilaksanakan dengan baik masakan dapat memikul amanah yang sangat besar sebagai pengerusi surau.

Dalam mesyuarat tersebut saya rasa ada terdapat sedikit ketidakjujuran kerana semasa bendahari membentangkan kewangan, ruang untuk juru audit tanda tangan tidak disertakan cuma diberikan ruang kosong tanpa sebarang pegakuan untuk ditandatangan. Lagipun hanya seorang saja dari dua orang juru audit yang menandatangani penyata kewangan tersebut. Bagi saya itu adalah satu kegagalan bendahari menjalankan tugasnya dengan baik. Dan sepatutnya diusulkan penangguhan pembentangan tersebut tetapi dalam mesyuarat malam tadi diluluskan dengan sokongan penuh bekas pengerusi yang lepas. Saya ada bertanyakan prosedur pembentangan kewangan yang sepatutnya kepada bekas pengerusi yang menjadi pengerusi sementara bagi pemilihan jawatankuasa malam tadi, beliau berkata tidak ada undang-undang yang mewajibkan pengesahan daripada juru audit sebelum dibentangkan dalam mesyuarat. Jawapan yang agak pelik semata-mata untuk mempertahankan pembentangan penyata kewangan tersebut.

Apa pun, bagi jawatankuasa yang baru ini diharapkan menjalankan tugas dengan amanah dan ikhlas, walaupun saya menolak untuk jawatan imam tetapi saya terima jawatan AJK Surau bagi membolahkan saya memberikan pandangan dan cadangan yang terbaik mengikut kemampuan saya semata-mata untuk mengimarahkan surau yang kini agak suram dek perbalahan sesama saudara.