Tuesday, March 24, 2009

Satu Pukulan, Tiga Jawapan

Pada suatu hari, tiga orang kafir zindiq melihat seorang tua sedang tidur di bawah sebatang pokok. Mereka berpakat untuk menganggunya. Mereka kemudian membangunkan orang tua tersebut dan mengajukan soalan yang berat untuk dijawabnya.

Tanya si kafir zindiq pertama : " saya tidak dapat melihat Allah, bagaimana saya mesti beriman kepadanya?"

Kafir zindiq kedua pula berkata : " Bagaimana Allah boleh menghisabku dan menjatuhkan azab kepada ku? Bukankah semua amalanku telah ditakdirkan olehnya?"

Yang ketiga pula mengajukan soalan : " Bukankah jin itu diperbuat daripada api? Bagaimana dia boleh disiksa di dalam api? "
Mendengar soalan-soalan tersebut, orang tua itu mengambil tanah liat untuk memukul mereka. Bagaimanapun tindakan orang tua itu menyebabkan dia ditangkap dan diadukan kepada hakim.
Di hadapan hakim, orang kafir zindiq itu berkata : " Kami mengajukan tiga soaln kepada orang tua itu tetapi dia tidak menjawabnya sebaliknya bertindak memukul kami dengan tanah liat. "
Maka hakim itu pun bertanya: " Mengapa kamu memukul mereka bertiga? Malah tidak menjawab soalan mereka?"
Jawab orang tua itu:" Saya telah menjawab soalan-soalan mereka. Orang yang pertama menyatakan yang dia tidak beriman kepada Allah kerana tidak dapat melihatnya, lantas saya memukulnya."
Kata orang itu :" Ya! Kamu telah menyakitiku"
Balas orang tua itu :" Apabila kamu berasa sakit, maka dimanakah sakit itu? selama saya tidak dapat sakit itu maka bererti kamu tidak sakit."
Kata orang kedua pula :" Tetapi kenapa kamu memukul aku juga?"
Jawab orang tua itu :" Awak bertanya bagaimana Allah menghisab amalan kamu yang telah ditakdirkan olehnya. Dan Allah telah mentakdirkan bahawa saya harus memukulmu, maka mengapa kamu mengeluh?
Dan, orang ketiga telah bertanya kepadaku bagaimana Allah menyeksa jin di dalam api neraka sedangkan mereka diperbuat daripada api. Maka saya memukulnya juga.
Kata orang ketiga itu :" Awak telah menyakitiku"
Lantas dijawab orang tua itu :" Bukankah awak diperbuat daripada tanah liat? Bagaimana sekeping tanah liat boleh menyakitimu? begitu jugalah dengan cara penyeksaan Allah terhadap jin dengan api neraka, sedangkan mereka diperbuat daripada api."

Friday, March 20, 2009

Halalkah ayam yang anda makan?

Halalkah ayam yang anda makan?



Halalkah ayam yang anda makan? Persoalan itu mungkin menjadi tanda tanya apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu pusat penyembelihan ayam di sekitar Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara, dekat sini, awal pagi semalam menemui 1,863 kilogram ayam yang disembelih tidak mengikut syarat.

Lebih mengejutkan apabila 38 pusat penyembelihan yang diperiksa itu turut memaparkan siri logo halal yang diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di premis masing-masing, tetapi pemeriksaan mendapati cara penyembelihan itu meragukan.

Dalam operasi jam 3.30 pagi semalam dan berakhir tiga jam kemudian itu membabitkan Jais, Jabatan Mufti Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Alam Sekitar. Turut sama dalam operasi itu Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar.

Pegawai Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata pemeriksaan ke atas premis terbabit mendapati ayam itu tidak disembelih dengan betul, tetapi ia diproses sebelum di jual di pasar di sekitar Lembah Klang.

“Ada ayam itu cuma dicucuk lehernya dan ada juga yang disembelih tidak mengikut hukum syarak.

“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati pusat penyembelihan ini juga turut mencampur aduk ayam yang hendak dijual kepada orang bukan Islam sekali gus menyebabkan ia tidak halal,” katanya di sini, semalam.

Malah, beberapa tin kosong minuman keras turut ditemui di sekitar premis terbabit.

Difahamkan pusat penyembelihan itu mendapat bimbingan daripada Jakim mengenai cara penyembelihan yang betul.

Mohd Hidayat berkata, operasi besar-besaran itu dibuat selepas pihaknya menerima beberapa aduan daripada pengguna yang curiga dengan status ayam yang dibeli sebelum membuat risikan dan menyerbu pusat penyembelihan ayam terbabit.

“Kami memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan makanan yang dimakan orang Islam dan pusat penyembelihan terbabit diarahkan ditutup serta-merta.

“Semua ayam itu dirampas bagi membolehkan kami melakukan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Enekmen Syariah 10 (a) iaitu perbuatan menyebabkan Islam dipandang hina.

“Kami juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini supaya menghubungi Jais untuk tindakan lanjut,” katanya.

- HARIAN METRO

Thursday, March 19, 2009

Siapakah Saidina Ali?

Pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu

DALAM surat sebaran Borang Pendaftaran Seminar Khazanah Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh InfoTaiment Enterprise, pada 21 Julai 1996, jelas disebutkan, “Di dalam Perspektif Sejarah Islam di Alam Melayu, Saidina Ali lebih ditonjolkan sebagai manusia yang perkasa ...” Mengenai yang tersebut adalah merupakan pengaruh sebuah hikayat yang tidak diketahui nama pengarangnya, hikayat tersebut dikenali dengan judul Hikayat Ali Hanafiyah. Hikayat tersebut terdapat beberapa versi, ditulis dalam tulisan Melayu/Jawi dan sejak dulu telah diusahakan penglatinan/pengrumiannya.

Dalam ruangan ini penulis tidak akan membicarakan perkara yang sudah cukup banyak dikenal oleh masyarakat, terutama oleh para pengkaji sastera, tetapi cuba untuk memperkenalkan tulisan-tulisan klasik yang bersumberkan dari beberapa tulisan para ulama’ alam Melayu sendiri. Ini bererti adalah merupakan sumber yang kukuh jika dibandingkan dengan Hikayat Ali Hanafiyah yang tidak jelas nama pengarang yang disebutkan di atas.

Sungguhpun demikian yang ditulis oleh para ulama’ bukanlah merupakan kitab yang khusus membicarakan seluruh aspek yang bersangkutpaut dengan Saidina Ali, tetapi adalah merupakan tulisan-tulisan yang dimasukkan dalam karya-karya dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, terutama: tarikh, akidah dan tasauf. Selain itu juga dalam karya-karya berupa fiqh, hadis, dan lain-lain.

Pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi dalam berbagai-bagai jurusan. Bermula dari pengaruh beliau sendiri hinggalah keturunan-keturunannya sebagai penyebar Islam di alam Melayu, dan juga mereka telah berhasil menjadi sultan (ketua pemerintahan) dalam banyak kerajaan di alam Melayu ini.

Untuk menulis tentang pengaruh beliau di alam Melayu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mengemukakan pemikiran beliau memang merupakan persoalan yang sukar jika kita tidak tekun dalam dunia pengkajian.

Adapun mengenai pemikiran keturunan beliau juga bukanlah persoalan yang sukar sangat untuk membuktikannya, tidak dapat kita nafikan bahawa sangat ramai keturunan Saidina Ali di Alam Melayu menjadi ulama yang mengarang kitab.

Sebagai contoh termasuk Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan ramai lagi, adalah ulama-ulama besar Alam Melayu yang nasabnya bersambung kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Dua nama yang tidak terdapat pada sahabat- sahabat selain beliau

Terdapat dua sebutan atau gelaran yang ada pada Saidina Ali yang tidak terdapat pada para sahabat Nabi Muhammad SAW, yang dimaksudkan barangkali bukan hanya dunia Melayu saja, tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Dua nama itu ialah: “Karramallahu wajhah”, dan “Imam Masyariq wal Magharib”.

Mengenai gelaran pertama di hujung nama Saidina Ali dengan “Karramallahu wajhah”, memang tidak pernah digunakan untuk sekian ramai sahabat Nabi Muhammad SAW, gelaran tersebut khusus untuk beliau seorang saja.

Untuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW selain Saidina Ali, sama saja baik memangku pangkat tertinggi sebagai khalifah mahupun sebagai sahabat biasa, hanya menggunakan nama “Radhiyallahu ‘anhu”.

Kebanyakan karya ulama tradisional Melayu, dalam apa saja disiplin ilmu yang mereka tulis, apabila terdapat nama Saidina Ali adalah memakai nama “Karramallahu wajhah” itu. Bahkan demikian juga jika kita buka semua kitab-kitab golongan sunni selain yang ditulis oleh ulama Alam Melayu.

Sama ada disedari mahu pun tidak, diakui ataupun tidak, ini adalah satu bukti bahawa Saidina Ali bin Abi Talib, memang ada ciri khas daripada sahabat-sahabat yang lain. Bahawa beliau mendapat tempat tersendiri di dalam perasaan lubuk hati yang tersembunyi umat Islam dunia Melayu khasnya dan umat Islam antarabangsa amnya.

Bahkan kadang-kadang sewaktu tuan guru-tuan guru Melayu mengajar dijelaskan juga sebab-sebab dinamakan dengan “Karramallahu wajhah” itu, iaitu dua sebab. Pertama: Kerana beliau seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan beliau masuk Islam secara fitrah sejak kecil lagi. Sebab yang kedua ialah: bahawa Saidina Ali bin Abi Talib tidak pernah melihat kemaluannya sendiri.

Gelaran yang sangat menonjol untuk Saidina Ali yang kedua ialah: “Imam Masyariq wal Magharib”, yang membawa maksud; Imam seluruh kawasan timur dan barat. Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk sahabat-sahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam di Alam Melayu, sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat.

Sehingga sekarang pun sebutan itu di beberapa tempat di Alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh pembaharuan tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Mengenai ini juga dapat diambil kira sebagai pengaruh Saidina Ali yang begitu besar bagi masyarakat Islam dunia Melayu sehingga tetap mengakui sebagai “Imam Timur dan Barat”.

Keagungan nama dalam karya sejarah

Sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW sangat banyak dihasilkan oleh ulama Alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat langka. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani boleh dikatakan termasuk dalam kategori ulama Alam Melayu peringkat awal menulis sejarah Nabi Muhammad SAW mulai lahir hingga wafat.

Terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan 9 Rabiulakhir 1307 H di Mekah, bahawa Fasal Yang Kedua membicarakan: “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”. Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang Muda-muda Ahli Syurga Saidina Hasan dan Saidina Husein Radhiyallahu ‘anhuma”, dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.

Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.

Dalam karya ini separuh daripada kandungannya menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunya Perkataan Jadi Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh Berbaik Antara Dua Askar”, dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang Khawarij”.

Penulis akui sebelum kedua-dua karya tersebut, memang telah ditulis banyak maklumat mengenai Saiyidina Ali dalam bahasa Melayu ditulis oleh Seikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi bukan merupakan dalam karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “... adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab anak Abi Talib anak Abdil Mutalib anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, kata qil sembilan [tahun], kata qil sepuluh tahun ...”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi jumlah semua 34 orang. Mereka ialah: Hasan, Husein, Muhsin, Zainab, Ummu Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah. Muhammad Akbar, Muhammad Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili. Abbas, Utsman, Ja’far, Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam. Muhammad Asghar, ibunya adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy. Umar Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’.

Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti Abil ‘As. Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah. Umamah, Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35). Walaupun jumlah sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja.

Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.

Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat Alam Melayu, dan banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali mengganti beliau tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm. 19).

Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah wafat. Beliau menulis, “Dan memandikan dia SAW oleh Saidina Ali bin Abi Talib, dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam bin al-Abbas, dan Usamah bin Zaid dan Syaqran sahaya Rasulallah SAW.

“Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal, dan Qatsam membalik-balikan dia. Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu dibarutkan.

“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya berkata ia, “Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku, melainkan dihimpuskan dua matanya” (Badrut Tamam, hlm. 25).

Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad SAW, menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf. (Badrut Tamam, hlm. 26).

Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.

Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub dalam Fasal Pertama Badrut Tamam, ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.

Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan peperangan-peperangan yang diperanani oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu bersama-sama Rasulullah SAW ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali sendiri.

Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.

Di antara yang menarik bagi penulis, bahawa disebut dengan jelas nama musuhnya setiap peperangan yang terjadi antara Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa di antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyokong Saidina Ali dan siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.

Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah r.a semua yang berpihak dan penentang disebut dengan jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi dalam kajian penulis, kitab Nurul Anwar tersebut adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu.

Bahkan bagi pengamatan penulis bahawa sampai sekarang buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden memang belum dijumpai perbicaraan yang agak jelas seperti itu.

Penutup

Perbicaraan mengenai pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di alam Melayu ini masih banyak yang perlu diperkenalkan lagi.

Oleh itu disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka perbicaraan tersebut pula akan dilanjutkan pada keluaran seterusnya dengan menyentuh mengenai nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW pada konteks ilmu kalam dan pada konteks ilmu tasawuf.

"Sebagai manusia, aku cinta padamu"

Kalimah itu sangat terkesan dalam pembacaan novel tulisan Ramlee Awang Murshid yang bertajuk Cinta Sang Ratu. Kisah yang selalu diselitkan dengan kemurnian nilai-nilai keislaman sangat sesuai untuk remaja dalam meniti kehidupan yang serba mencabar. Watak Saifudin atau Laksamana Sunan yang melambangkan seorang muslim yang sejati yang sangat bertakwa dan patuh pada perintah tuhan sedikit sebanyak mempengaruhi keperibadianku yang semakin jauh dengan ketuhanan. Kisah yang bertunjangkan tauhid diselitkan dengan percintaan sejati begitu asyik sehingga berjaga sampai lewat malam. Kepada sesiapa yang membaca coretan ini eloklah memiliki novel ini kerana kandungannya tidak melalaikan berbanding dengan novel-novel cinta yang lain.

Apa yang ingin saya tuliskan di sini adalah kalimah "Sebagai manusia, aku cinta padamu"........
Kita ini manusia, hamba Allah Taala, umat yang selalu ditekankan oleh Nabi kita agar sentiasa menyayangi sesama manusia, sentiasa mempereratkan persaudaraan dalam lingkungan tali Allah, kiranya agak patut kita sentiasa melafazkan kalimah ini dengan sepenuh ikhlas hati.. Yang selalu kita dengar ialah perkataan 'i love u' atau 'aku cinta padamu' dari seorang jejaka untuk kekasih hati yang diharamkan perhubungan dalam Islam selagi tanpa akad yang sah.

Cubalah kita lafazkan kepada semua tak kira lelaki atau wanita kalimah keramat ini, kerana pada hemat saya ia mampu untuk mencairkan ego sesiapa saja. Bahkan kalimah ini juga kalau diucapkan dengan ikhlas insya Allah akan membawa keberkatan kepada si pengucapnya.. yang sudah tentunya tidak akan membawa kepada permusuhan malah akan menarik kepada persaudaraan dan kasih sayang...

Akhir sekali... kepada semua "Sebagai manusia, aku cinta padamu"... Assalamualaikum...

Friday, March 13, 2009

Balik Kampung.. ye ye

Esok aku bersama keluarga akan balik kampung selama 3/4 hari.. Insya Allah akan kembali ke sini semula pada hari selasa petang kerana ada PTK hari khamis. Aku berasal di Kampung Dewan Besar, Labok, machang, Kelantan. Anak ketiga kepada Hj. Ab Patah cucu kepada Hj. Ali bin Hj. Isa bin Hj. Ali bin Hj. Abdul kadir bin Hj. Nuruddin bin Hj. Faqeh Abdullah.

Anak sulungku sangat gembira bila dapat tahu boleh balik kampung kerana dia minta nak balik rumah tok abah (kat kampung) hampir setiap hari. Kadang-kadang rasa naik angin juga bila selalu minta maklumlah kita pun mood selalu berubah. betul tak? Tapi nak buat macam mana anak sulungku yang bernama Ali Faqihi baru nak masuk 4 tahun. Dan pada hari ini (13.03.2009) adalah hari lahir anak ku yang kedua yang bernama Umar Hasani genap 2 tahun.

Masa balik kampung suka sebenarnya cuma bila nak balik ke k.l semula yang jadi malas sangat tu, tiba-tiba je terasa penat seluruh badan. Itulah peranan minda yang menguasai diri. Itu saja lah yang dapat saya kongsikan di sini... saya nak keluar bersembang di kedai mamak pulak.. lebih kurang pukul 12.30 malam saya akan sambung online.. kalau ada mood saya sambung semula ruangan ini... ok babaiiiiii..............