Monday, December 28, 2009

Matan hadis lain tapi syarah hadis berlebihan pula

Tadi, dalam pukul 8 malam saya pergi ke surau Taman Saga untuk solat isya' berjemaah di sana. Selalunya saya ke surau Taman Saraya tapi di sebabkan ada urusan mengenai pembinaan bangunan baru surau saya ke surau tersebut untuk berjumpa seseorang. Secara kebetulannya pada malam tersebut ada ceramah ugama yang disampaikan oleh seorang ustaz yang berjubah dan berkupiah. Kira alim la kalau kita lihat dari segi pemakaian itu. Ceramah yang disampaikan sangat jelas dan terang, berdasarkan pemerhatian saya ustaz tersebut mahir dalam membaca kitab dalam bahasa arab.

Saya seronok mendengar ceramah tersebut, manakan tidak bila dibacakan matan hadis, dengan sanad-sanadnya sekali disebut dan dikuatkan lagi dengan nama perawi hadis. Tatkala selesai ceramahnya maka dibukakan kepada para jemaah untuk mengajukan beberapa soalan. Sebelum itu beliau membacakan matan hadis mengenai para sahabat Nabi s.a.w menziarahi kubur, kemudian beliau syarahkan balik matan hadis tersebut. jadi, bila dibukakan kepada hadirin untuk bertanyakan soalan mengenai ziarah kubur ini, lalu saya mengangkat tangan untuk bertanya, dan pertanyaan saya adalah lebih kurang begini "berdasarkan hadis tersebut apakah bentuk bacaan yang harus dibaca ketika menziarahi kubur? Maka ustaz tersebut menjawab " bolah membaca apa saja, nak baca qur'an pun bolah, tahlil pun boleh, apa saja boleh dibaca" .... Kemudian saya bertanya lagi, "saya pernah terbaca dalam blog ustaz Zaharuddin Abd Rahman yang mengatakan Imam syafi'e mengatakan sedekah pahala tidak sampai" lalu beliau menjawab lebih kurang maksudnya " Pendapat ulama-ulama Syafi'e yang digunapakai sekarang tanya menafikan bahawa imam Syafi'e mengatakan tidak sampai sedekah pahala, bahkan beliau menambah lagi, amalan ini diambil dari maliki" saya tidak pasti dari maliki yang beliau katakan adalah mazhab Maliki atau ulama-ulama mazhab Maliki atau Imam Malik sendiri.

Apa yang saya dengar dari matan hadis yang ustaz tersebut bacakan tadi adalah mafhumnya adalah para Sahabah Rasulullah s.a.w menziarahi kuburan dan mereka mendoakan kesejahteraan kepada ahli-ahli kubur tersebut. Apa yang saya faham adalah para Sahabat Nabi s.a.w hanya membacakan doa sahaja sebab kalau para Sahabat membaca al-qur'an mesti dalam matan hadis tersebut ada menyatakan perbuatan sahabat tersebut ternyata dalam matan tersebut tidak disebut perbuatan Para Sahabat kecuali mendoakan kesejahteraan sahaja... Secara berhati-hati, apakah bolah kita memberikan huraian mengenai perbuatan para Sahabat itu dengan perbuatan selain dari berdoaz? Lagipun setahu saya amalan sedekahkan pahala tidak pernah dibuat pada zaman Rasulullah s.a.w dan sebab itulah Imam Syafi'e menegaskan bahawa sedekah pahala itu tidak sampai.

Bagi saya, ustaz tersebut tidak berhati-hati dalam memberikan penjelasan mengenai hadis yang dibacakan olehnya sendiri. Adalah lebih selamat jika beliau memberikan penjelasan dan huraian hadis berdasarkan syarah-syarah dari ulama hadis itu sendiri seperti Imam Nawawi, al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani dan sebaginya. Lagipun kalau kita membelek buku hadis 40, Imam Nawawi mengatakan antara perkara-perkara yang termasuk dalam perbuatan bid'ah adalah membaca al-qur'an di sisi jenazah.

Seboleh-bolehnya, kalau nak syarah hadis syarahlah betul-betul, fahami matan hadis dengan baik, kadang-kadang walaupun kita mahir berbahasa arab tidak semestinya kita tidak terlepas dari kesalahan, berlaku adil lah dalam memberikan penyampaian dan jangan menghuraikan hadis tersebut berdasarkan selera kita sahaja tanpa melihat penjelasan dari ulama-ulama muktabar terutamanya syarah dari ulama-ulama hadis.