Saturday, January 17, 2009

Batal atau tidak bila bersentuh dengan isteri?

BERWUDUK: TAKRIFAN SEBENAR BERSENTUH DENGAN PEREMPUAN.

Bersentuh di dalam kedua ayat al-Qur’an di atas sebenarnya bukan merujuk kepada bersentuh antara kulit tetapi ianya sebenarnya merujuk kepada jimak (persetubuhan). Terdapat beberapa ayat di dalam al-Qur’an yang juga menggunakan istilah bersentuh tetapi ianya hanya mengarahkan kepada makna jimak.

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (jimak) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan

maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya

Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.208

Dalam ayat lain,

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh (dijimak) oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"209

Jelas kedua-dua ayat di atas merujuk bersentuh sebagai berjimak. Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh yang merupakan pakar tafsir al-Qur’an di kalangan para sahabat juga mentafsirkan bersentuh di dalam surah al-Nisaa’ dan al-Maaidah yang telah

dipergunakan oleh Imam al-Syafi’i sebagai dalil untuk menguatkan hujahnya sebagai jimak. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Sedangkan makna menyentuh yang kemudian dijadikan dalil bahawa itu adalah hubungan badan (jimak) di dalam ayat di atas (iaitu di dalam surah al-Nisaa’ dan al- Maaidah), adalah seperti yang ditafsirkan oleh Ibnu ‘Abbas (radhiallahu 'anh).210

Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah memiliki penjelasan yang begitu baik tentang surah al-Maaidah ayat ke 6 dan beliau telah membuktikan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: “kamu sentuh perempuan” itu bermaksud jimak. Ayat tersebut dimulakan dengan pembahagian thohaarah asli kepada dua iaitu berwuduk untuk hadas kecil dan mandi wajib untuk hadas besar. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: “…apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku

lali…” menetapkan tentang diwajibkan berwuduk apabila berhadas kecil untuk bersolat. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: “…dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib…” menerangkan bahawa apabila kita berhadas besar diwajibkan mandi wajib.

Selanjutnya ayat tersebut menceritakan tentang thohaarah pengganti apabila tidak ada air yakni dengan bertayamum. Jika di awal ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta'ala telah membahagi thohaarah asli untuk hadas besar dan hadas kecil, tentu sekali thohaarah pengganti yakni tayamum juga akan meliputi perbahasan untuk hadas besar dan hadas kecil agar ianya sesuai dengan balaghah (sastera bahasa) al-Qur’an. Antara contoh-contoh yang Allah 'Azza wa Jalla pamerkan untuk thohaarah pengganti adalah:

1) dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air),

2) atau dalam perjalanan,

3) atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air,

4) atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat

air (untuk berwuduk dan mandi),

Perkara (1), (2) dan (3) adalah hadas kecil manakala perkara (4) sebenarnya merujuk kepada perbuatan yang melibatkan terjadinya hadas besar yakni berjimak. Oleh itu Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah membuat kesimpulan: Yang tepat bahawa ayat ini (al-Maaidah (5) : 6) menunjukkan bahawa firman-Nya: atau kamu sentuh perempuan maksudnya jika kamu menyetubuhi (berjimak)

wanita agar ayat ini meliputi dua sebab yang mengharuskan bersuci (thohaarah) iaitu hadas besar dan hadas kecil. Dan berwuduk meliputi empat anggota badan, sedangkan mandi (wajib) meliputi seluruh badan. Sedangkan thohaarah pengganti iaitu tayamum meliputi dua anggtota tubuh sahaja baik tayamum untuk hadas kecil mahupun besar.211 Oleh itu ayat-ayat tersebut sebenarnya hanya menjelaskan bahawa sekiranya terjadi jimak atau persetubuhan di antara lelaki dan wanita maka hal tersebut membatalkan wuduk.

PETUNJUK DARI SUNNAH NABI SHALLAllahU 'ALAIHI

WASALLAM

Terdapat beberapa hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan sekadar bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ianya tidak membatalkan wuduk. Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dia berkata:

Aku tidur di hadapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam,

sedang kakiku di arah kiblatnya. Maka apabila baginda

hendak bersujud, baginda mencolekku, maka aku lantas

melipat kakiku.212

Menurut Imam Abu Ja’far al-Thobari hadis di atas menjadi bukti yang kukuh bahawa fiman Allah Subhanahu wa Ta'ala “kamu sentuh perempuan” itu bermaksud jimak. Menurut beliau: Pendapat yang paling dekat dengan kebenaran adalah pendapat yang mengatakan bahawa makna firman Allah “kamu sentuh perempuan” itu adalah jimak bukan bermakna bersentuhan. Ini berdasarkan hadis sahih daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam behawasanya baginda mencium sebahagian isterinya lalu keluar untuk melaksanakan solat tanpa mengambil wuduk kembali.213 Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha dia berkata:

Pada suatu malam aku kehilangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka aku mencarinya dengan tanganku, kemudian tanganku mengenai telapak kaki baginda yang sedang tertegak dalam keadaan bersujud.214

Maka dari kedua hadis di atas jelaslah bahawa sekadar bersentuhan kulit sahaja tidaklah membatalkan wuduk. Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa di dalam kedua-dua peristiwa di atas persentuhan tersebut sebenarnya berlaku di dalam keadaan berlapik namun ini di sanggah oleh Dr. Yusuf al- Qaradhawi. Menurut beliau: Penafsiran bahawa memegangnya dengan menggunakan pembatas (berlapik) adalah sebuah penafsiran yang jauh terpesong dari zahir hadis.215 Hal ini akan menjadi semakin jelas apabila kita meneliti hadis seterusnya. Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mencium sebahagian isteri-isterinya lalu pergi solat tanpa berwuduk lagi.216

Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menciumnya sedang baginda berpuasa.” Kemudian Nabi bersabda:

Ciuman ini tidaklah merosakkan (membatalkan) wuduk dan tidak pula membatalkan puasa.217

Menerusi hadis-hadis di atas maka terdapat para ulamak yang menguatkan hujah mereka bahawa menyentuh perempuan samada disertai dengan syahwat mahupun tidak, ianya tidak membatalkan wuduk. Ini adalah kerana kebiasaannya bercium itu disertai dengan syahwat. Sekiranya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin membezakan bahawa ciuman yang bersyahwat itu membatalkan wuduk sementara ciuman yang biasa tidak membatalkan wuduk pasti ada riwayat darinya yang menggambarkan tentang perbezaan tersebut. Namun hadis di atas dibiarkan di dalam bentuk yang umum. Menurut Syaikh Sa’id al- Qahtani: Menyentuh perempuan berdasarkan pendapat yang kuat tidak membatalkan wuduk, baik disertai syahwat mahupun tidak, selama tidak disertai keluarnya mani atau madzi kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah suatu ketika mencium sebahagian isterinya, lalu solat tanpa memperbaharui wuduknya.218 Menurut Fahd al-Syuwayyib, penulis kitab al-Ta’lieqaat al-Salafiyah’ ala Sunannya berkata: Perkataan ghomazani (mencolek) atau seperti di dalam hadis al-Nasai massani bi rijilih (menyentuhku dengan kakinya), adalah maklum bahawa hal itu bererti menyentuh tanpa syahwat. Maka pengarang menjadikannya sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk. Adapun jika menyentuh dengan syahwat, maka alasan bahawa tidak batal kerananya ialah kembali kepada asal, iaitu tidak ada dalil yang menunjukkan tentang ianya membatalkan, sehinggalah orang yang berpendapat hal itu membatalkan dapat menunjukkan dalilnya. Dan ini cukup menjadi alas an hal itu tidak membatalkan. Bahkan akan tampak dalil yang mengindikasikan tidak membatal wuduk, iaitu hadis mengenai qublah (mencium), yang menurut kebiasaan bahawa mencium itu tidak terbebaskan dari adanya syahwat.219 Selanjutnya Fahd al-Syuwayyib berkata: Apabila suami dan isteri merasa aman dari keluarnya suatu cairan, maka menyentuh itu tidak membatalkan wuduknya tetapi yang lebih utama adalah mengambil sikap berhati-hati kerana ada kalanya dia tidak dapat menjamin tidak keluarnya sesuatu cairan di dalam keadaan ini (adanya syahwat). Wallahu A’lam.220 Inilah beberapa petunjuk yang dapat kita ambil dari hadis hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan perbahasan samada menyentuh wanita itu membatalkan wuduk ataupun tidak. Hadis-hadis tersebut jelas menunjukkan ianya tidak batal malah sebenarnya tidak wujud petunjuk daripada baginda bahawa hal tersebut boleh membatalkan wuduk. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ al- Fatawa, jilid 21, ms. 235-236: Adapun wajib wuduk nyata kerana menyentuh wanita dengan tanpa syahwat maka yang demikian adalah pendapat yang paling lemah. Pendapat ini tidak dikenal dari salah seorang sahabat manapun. Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi bahawa dia memerintahkan kaum muslim untuk berwuduk kerana disebabkan hal tersebut. Padahal ini adalah masalah yang sering terjadi yang hampir-hampir kaum muslim tidak dapat menghindarkan diri darinya. Sebab seorang lelaki selalu mengambil sesuatu daripada isterinya dan mengambilnya dengan tangannya. Dan yang serupa itu yang terjadi kepada kebanyakan manusia. Maka andaikata wuduk diwajibkan disebabkan kerana itu (iaitu bersentuhan lelaki dan wanita - pen) pastilah Rasulullah memerintahkan sekali ataupun dua kali dan akan tersebar luas di tengah para sahabat. Andaikata Rasulullah melakukan itu maka pasti akan ada hadis yang ditulis mengenai hal ini walaupun hadis ahad221. Maka ketika tidak ada satu hadis pun yang memerintahkan masalah ini dari salah seorang dari kaum muslimin bahawa Rasulullah memerintahkan seorang dari kaum muslimin –padahal ini sering kali terjadi- boleh kita fahami bahawa hal itu tidak wajib.222

KESIMPULAN

Setelah membentang serta membahaskan semua pandangan yang ada di dalam mazhab-mazhab fekah berkaitan isu samada menyentuh wanita membatalkan wuduk ataupun tidak, Dr Yusuf al- Qaradhawi membuat kesimpulan seperti berikut223: Kami menyatakan bahawa pendapat yang paling kuat dalam masalah ini adalah tidak batalnya wuduk secara mutlak. Sebab yang menjadi sandaran orang-orang mengkritik pandangan ini adalah ayat yang mulia ini.224 Padahal tidak ada dilalah (indikasi) yang menunjukkan hal itu (yakni menyentuh wanita membatalkan wuduk – pen) di dalam ayat tersebut. Pandangan ini sama dengan apa yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas (radhiallahu 'anh), Sang Tarjuman al-Qur’an (pakar tafsir al-Qur’an) dan orang yang Rasulullah doakan semoga Allah mengajarkan takwil (tafsiran). Pandangan ini sangat sesuai dengan penutup ayat ini: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.225 Syaikh Shalih Fauzan pula berkata: Akan tetapi pendapat yang kuat adalah tidak membatalkan (wuduk apabila menyentuh wanita) secara mutlak, kecuali bila keluar sesuatu cairan dari orang yang menyentuh dan disentuh, seperti madzi dan sebagainya. Di dalam keadaan seperti ini, wuduk orang yang bersangkutan batal disebabkan sesuatu yang keluar darinya dan bukan kerana memegang.226 Penulis berpendapat sewajarnya kita menangani isu ini dengan minda yang bersih dari sifat fanatik mazhab. Apatah lagi Imam al-Syafi’i rahimahullah sendiri menganjurkan kita untuk lebih mengutamakan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dari pendapat beliau sendiri dan sekiranya terdapat sunnah Nabi yang bertentangan dengan pandangan beliau maka tolaklah pendapat beliau. Firman Allah 'Azza wa Jalla:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al- Quran) dan (Sunnah) Rasul Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.227

Melalui ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala mewajibkan bagi kita sekiranya terjadi sesuatu perselisihan pendapat samada dalam perkara yang pokok atau cabang dalam agama, hendaklah dirujuk semula kepada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mendapatkan kepastian tentang pandangan mana yang lebih benar dan tepat. Keengganan mencerminkan sikap seseorang yang tidak beriman sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari akhirat. Tambahan pula antara manhaj Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam membuat pilihan ketika memberi pandangan adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Umm al- Mukminun ‘Aishah radhiallahu 'anha:

Tidaklah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam jika diberi dua pilihan kecuali baginda memilih yang paling mudah di antaranya selagi tidak mengandungi dosa.228

Penulis melihat hukum batalnya wuduk apabila bersentuhan di antara lelaki dan wanita agak memberatkan serta menyukarkan umat Islam terutamanya bagi pasangan suami isteri. Kesukaran ini akan kelihatan lebih jelas lagi apabila kita terpaksa berasak-asak di dalam keadaan jumlah orang yang begitu ramai seperti ketika melaksanakan ibadah haji atau umrah. Untuk meringankan kesukaran ini maka ada pihak yang mengambil pendirian untuk bertaklid kepada mazhab Imam Ahmad hanya ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Saranan penulis kenapa tidak kembali sahaja kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sememangnya memudahkan umatnya. Sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam:

Sesungguhnya kalian diutus untuk memberikan kemudahan dan tidak diutus untuk menyulitkan.229

Baginda juga telah memerintahkan kita untuk mempermudahkan segala urusan sebagaimana sabdanya:

Permudahkanlah dan jangan kamu persulitkan.230

Semoga kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada kita semua akan menjadi pilihan kita kerana mustahil apa yang datangnya dari Allah dan Rasul-Nya serta menjadi amalan para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum akan mengandungi unsur-unsur dosa. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba- Nya dan tidak mahu memberati kita semua. Ini sebagaimana Firman-Nya:

…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…231

NOTA KAKI

208 Al-Baqarah (2) : 237

209 Maryam (19) : 20

210 Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, (edisi terjemahan oleh Samson

Rahman, Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2004) ms. 239.

211 Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi

Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, (edisi

terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan,

Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 291.

212 Hadis riwayat Imam Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al- Sholah, no: 382.

213 Tafsir al-Thobari, jilid 5, ms. 105. Dinukil dari kitab Ensiklopedi

Tarjih Masalah Thaharah dan Shalat karya Dr Muhammad bin Umar bin

Salim Bazamul, ms. 96.

214 Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al- Shalah, no: 486.

215 Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 236.

216 Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-Thohaarah,

no: 79, Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, Kitab al- Thohaarah, no: 495

dan Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 24584.

217 Menurut Syaikh Sayyid Sabiq hadis ini dikeluarkan oleh Ishak bin Rahawaih

dan al-Bazzar dengan sanad yang cukup baik. Menurut Abdul Hak, tidak ada

cacat untuk tidak mengamalkannya. Penulis nukil dari kitab Fikih Sunnah,

(edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur,

1990) jilid 1, ms. 113.

218 Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi

wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, (Edisi terjemahan oleh Abu Shafiya,

Media Hidayah, Jogjakarta, 2004) ms. 86.

219 Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-

Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, (edisi

terjemahan oleh Azhar Khalid Seff, Darus Sunnah, Jakarta, 2005), ms. 95-

96.

220 Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-

Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, ms. 97.

221 _(ahad)_ bermaksud satu. Hadis ahad ialah hadis yang diriwayatkan oleh

seorang atau dua orang perawi sahaja, khasnya di tingkatan pertama, yakni

tingkatan para sahabat. Ini berbeza dengan hadis mutawatir di mana ia

adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi (melebihi 4)

sehingga tidak mungkin mereka berbuat silap dalam meriwayatkannya.

Hadis ahad yang sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

menjadi dasar hukum dalam agama menurut mazhab Ahlus Sunnah Wal

Jamaah. Silalah rujuk artikel-artikel berikut dalam buku Himpunan Risalah

Dalam Beberapa Persoalan Ummah (buku 1) terbitan Perniagaan Jahabersa)

susunan Saudara Hafiz Firdaus Abdullah:

1) Kedudukan Hadis Ahad: Dari zaman awal Islam sehingga kini oleh Hafiz

Firdaus Abdullah.

2) Mazhab Imam al-Syafi‘i Terhadap Sunnah dan Hadis oleh Mohd Yaakub bin

Mohd Yunus.

222 Dinukil daripada kitab Fikih Thaharah karya Dr Yusuf al- Qaradhawi, ms.

239.

223 Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 240.

224 Iaitu surah al-Nisaa’ ayat ke 43 dan Surah al-Maaidah ayat ke 6.

225 Al-Maaidah (5) : 6

226 Syaikh Shalih bin Fauzan bin ‘Abdullah al-Fauzan, Fatwa-Fatwa Syaikh al-

Fauzan, (edisi terjemahan oleh Ali Murtadho Syahudi, Jakarta, 2004)

ms.153.

227 al-Nisaa’ (4): 59

228 Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al- Hudud, hadis no.

6786.

229 Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al- Wuduk, No:

220.

230 Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al- ’Ilm, No: 69.

231 al-Baqarah (2) : 185

No comments:

Post a Comment