Thursday, October 22, 2009

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 2)

(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)

Meluruskan saf sebelum solat sangat dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w

1) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Luruskan saf (barisan) sejajar bahu, tutup tempat yang kosong, jgn sampai berdiri ditengah-tengahmu anak kambing dari syaitan-syaitan."
[Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dari Abu Umamah, berkata Al-Munzhiriy dalam at-Targhib: Sanadnya baik. juga diriwayatkan oleh Bukhari dari Anas. Juga oleh Abu daud, Nasa'i, Abnu Khuzaimah dan Ibnu Hibbah.]

2) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

" Adalah Rasulullah s.a.w bila berdiri di tempatnya untuk solat, tidak memulai takbir sebelum terlebih dahulu melihat ke kanan dan ke kiri, lalu memerintahkan orang banyak mensejajarkan bahu, lantas berkata: Janganlah kamu bersimpang siur (bengkok : tidak lurus) sehingga bersimpang siur hati kamu." [H.R Abu daud]

3) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

" Bahawa Rasulullah s.a.w berpaling pada suatu hari, maka beliau melihat seorang lelaki keluar dadanya dari saf, maka Baginda berkata: hendaklah luruskan bahu-bahumu itu, kalau tidak Allah akan pecah belahkan hati-hati kamu."
[Diriwayatkan oleh Muslim, Bukhari dan Abu Daud dari Nu'man Ibn Basyir]

Tiga hadis di atas menjelaskan bahawa meluruskan saf suatu amalan yang penting sebelum mendirikan solat. Selalunya kita sering mengabaikan keutamaannya dan menganggap itu hanya perkara yang remeh sahaja. Sedangkan kita lupa bahawa teguran Nabi s.a.w mengenai saf sebelum solat adalah suatu yang penting yang mana ia melibatkan hati sesebuah jemaah. Berdasarkan dari hadis di atas membuktikan bahawa meluruskan saf sebelum solat mempunyai kaitan dalam kehidupan seharian dan yang paling jelas bahawa untuk memperoleh khusyuk dalam solat juga berkaitan dengan saf.

Oleh itu, sebelum solat rapatkanlah saf dan betulnya mudah-mudahan kita akan memperoleh kenikmatan dalam solat.

Wednesday, October 21, 2009

Minta pendapat pembaca yang dihormati

Ada sepotong kata-kata yang didakwa berasal dari perkataan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang berbunyi lebih kurang begini:

"Jikalau benar Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah, Yang memberi rezeki, maka aku bersumpah tidak akan makan selama setahun sehingga Allah suapkan rezeki kepadaku"

Kata-kata tersebut pada asasnya mencabar kewibawaan Allah Taala, sedangkan Nabi s.a.w dan para Sahabat tidak pernah melakukan perkara tersebut. (berdasarkan pengetahuan saya).

Persoalan:-

1) Boleh kita sebagai hamba layak untuk ucapkan perkataan sebegitu?

2) Benarkah ini daripada kata-kata Syeikh Abdul Qadir al-Jailani atau ada org lain yang
menumpang nama beliau untuk dijadikan sandaran?

Saya amat berbesar hati kiranya terdapat di kalangan pembaca yang mempunyai pengetahuan mengenai persoalan ini.. diharapkan kebenaran terserlah agar kita semua dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari perbincangan ini.

Monday, October 19, 2009

Sampaikanlah maklumat yang betul!!!

Beberapa malam yang lepas, Jawatankuasa Surau Taman Saraya menjemput seorang penceramah untuk menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan Aidilfitri sebagai salah satu pengisian program untuk "Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Surau Taman saraya". Ceramah yang disampaikan oleg beliau sangat menarik dengan membawa beberapa contoh dan cerita untuk merangsang para jemaah agar memperbanyak ibadah terutamanya ibadah solat.

Namun demikian, ada satu contoh cerita yang dibawa oleh beliau yang saya sangat tidak setuju. Cerita tersebut tidak berapa logik untuk dinilai dan sangat tidak sesuai untuk dijadikan sebagai satu contoh walaupun dengan tujuan yang baik. Cerita yang bawa oleh beliau adalah kisah cucu Nabi s.a.w yang bernama Zainal Abidin / Zainuddin yang rajin melakukan ibadah solat terutama solat-solat sunat. Berdasarkan cerita yang disampaikan oleh beliau, cucu Nabi s.a.w ini telah melakukan ibadah solat sunat sebanyak 1000 rakaat setiap hari. Contoh yang diberikan ini sebagai satu motivasi untuk para jemaah semua agar memperbanyakkan ibadah solat terutama solat sunat.

Berdasarkan kiraan matematik, satu jam bersamaan dengan 60 minit. 24 jam adalah 1440 minit. 1440 minit kalau dibahagikan dengan 1000 rakaat maka 1 rakaat mengambil masa 1.44 minit. Bagi seorang yang kuat ibadah mana mungkin satu rakaat hanya 1.44 minit sahaja, paling kurang mengambil masa 2-3 minit satu rakaat tidak termasuk sujud. Satu solat sunat adalah dua rakaat jika dikira termasuk rukuk, sujud dan tahiyat maka masa yang diambil paling kurang 5 minit kecuali melakukan solat macam patuk ayam cuma ambil masa 3 minit sahaja. Kalau satu solat sunat mangambil masa 5 minit bermakna untuk mencapai 1000 rakaat mestilah 500 kali solat sunat. 500 x 5 = 2500 minit.

Oleh yang demikian mana mungkin seseorang mampu untuk melakukan solat sunat 1000 rakaat sehari semalam. Bila waktu solat fadhu berjemaah, berwudhuk, makan, mandi, buang air kecil dan besar..

Kita sebagai penceramah yang menyampaikan maklumat kepada khalayak ramai hendaklah berhati-hati kerana tersilap maklumat adalah besar natijahnya.. Cubalah teliti sebelum memberikan contoh dan cerita walaupun sekadar memberikan semangat dan rangsangan kerana banyak lagi cerita dan contoh yang sahih yang boleh diambil untuk diberikan pengajaran kepada para pendengar.

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 1)

(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)

Solat merupakan amalan yang sangat penting dalam menentukan kedudukan seorang hamba di hadapan Allah taala. Rosak solatnya maka akan cacatlah keseluruhan ibadahnya yang lain. Sebab itulah Allah Taala telah menegaskan bahawa solat itu dapat mencegah manusia dari melakukan perkara yang mungkar. Mengenai solat Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Akan datang pada suatu masa atas manusia, di mana mereka bersolat (bersembahyang) yang senbenarnya mereka tidak bersolat". (tiada maklumat tentang takhrij hadis, sila rujuk buku "Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal" m/s 9)

Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud:

" Kecelakaan (neraka wail) bagi si alim yang membiarkan si jahil, kerana tidak mengajarinya." (hadis dikeluarkan oleh Abu Yu'laa dalam masnadnya dari hadis Anas)

Persoalan sekarang adakah kita melaksanakan ibadah solat dengan pelakuan yang betul-betul dari Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya? Betapa malangnya kita yang telah bertahun melaksanakan ibadah solat termasuk solat-solat sunat tetapi semuanya tidak diterima bahkan dianggap tidak solat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. na'uzubillah min zaalik.

Oleh yang demikian yang hati yang insaf saya akan berusaha sedaya upaya membetulkan mana yang silap dengan kadar ilmu yang terbatas ini dan berusaha untuk menyampaikan kepada para pembaca maklumat-maklumat hadis mengenai solat sekadar yang termampu agar kita sama-sama menperoleh manfaat yang berguna dan semoga amal ibadah khususnya solat kita diterima oleh Allah Taala. Insya Allah....



Tuesday, October 13, 2009

Dapatkah anda terima tindakan begini?

Ada juga manusia zaman sekarang yang masih tidak bertamadun..












Friday, October 9, 2009

Bila lama tak menulis....

Disebabkan oleh kesibukan masa dan mood yang tidak istiqamah keinginan untuk menulis sebagai melatih diri ke arah menjadi seorang penulis pun menjadi semakin pudar. Hilang deria untuk mencari fakta kebenaran dan hilang rasa untuk membuat perbandingan. Sebab itulah Nabi s.a.w pernah bersabda yang mafhumnya lebih kurang berbunyi begini " amalan yang baik adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit" berbanding banyak benda yang mahu kita lakukan tetapi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Itulah yang dinamakan nafsu yang sentiasa ingin sesuatu yang lebih walaupun tahu kemampuan diri yang sangat terhad.

Kalau diikutkan banyak perkara yang ingin ditulis dalam ruangan ini setelah mengikuti beberapa perbualan dan perbincangan dengan sahabat seperjuangan tetapi bila menghadap komputer otak menjadi bejat, tak mampu untuk mengolah ayat yang baik untuk dinukilkan sebagai suatu catatan yang berguna kepada diri sendiri dan pembaca.

Novel "SETITIS EMBUN SEMARAK API" karya Shahnon Ahmad adalah sumber inspirasi saya untuk menjadi seorang penulis. Seboleh-boleh kiranya pembaca juga dapat memiliki buku tersebut sebagai panduan peribadi untuk menjadi seorang penulis. Saya juga cuba menerapkan penulisan ala-ala novel dalam tulisan saya lepas ini namun buat masa sekarang nampaknya masih belum nampak bakat tersebut. Saya sudah membaca beberapa buah novel kara Ramlee Awang Murshid dan saya sangat tertarik dengan jalan cerita dalam novel beliau terutama novel beliau yang bertajuk : 1) BAGAIKAN PUTERI, 2) CINTA SANG RATU, 3) HIJAB SANG PENCINTA. Jalan cerita yang cukup indah, garapan beliau dalam novel tersebut mampu membimbing pembaca ke arah kecintaan kepada Yang Maha Pencipta dengan mencipta watak sebagai seorang wali yang bergelar "Laksamana Sunan" yang berjuang menegakkan syiar islam dan menghapuskan syirik dan khurafat. satu ungkapan yang sangat melekat di hati saya dalam novel beliau adalah " SEBAGAI MANUSIA, AKU CINTA PADAMU" dan " LEBIH BAIK TERSALAH AMPUN DARI TERSALAH HUKUM"...

Itu saja catatan saya pada kali ini.. Insya Allah saya akan sambung penulisan seterus dalam perbincangan dan perbandingan Akidah Islamiyah..