Thursday, May 20, 2010

Nak pantau al-Arqam elok sangat tapi............

Apabila ada kenyataan yang ingin pantau pergerakan al-Arqam saya setuju sangat kerana dibimbangi mereka akan kembali kepada pegangan lama seperti mana yang telah diisytiharkan sesat oleh badan yang bertanggungjawab pada suatu masa dahulu. Pemantauan yang dibuat seharusnya hanya melibatkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pegangan dan pemahaman akidah sahaja yang sebaiknya. Paling kurang mereka akan terselamat dari akidah yang salah.

Apa yang saya tak berapa setuju ialah segala aset-aset yang dipunyai oleh al-Arqam habis semuanya disita dan dirampas sehingga kegiatan ekonomi mereka lumpuh dan terus rebah tak bernisan. Ini adalah satu kerugian yang besar dalam skop ekonomi umat Islam keseluruhan. Kenapa harus disita dan dirampas? Apakah barangan keluaran mereka haram? tidak bersih atau ada agenda sebaliknya? Amat sayang sekali ketika kegiatan ekonomi mereka memuncak dan mampu untuk menyaingi ekonomi bangsa lain, syarikat mereka pula terpaksa ditutup dan produk keluaran mereka sudah tiada lagi di pasaran sekarang.

Selepas mengalami kejatuhan, arwah ustaz Asy'ari kembali bangkit dengan menubuhkan Rufaqa' sehingga dalam tempoh yang singkat dalam membuka cawangan lebih 100 cawangan tetapi jangka hayatnya tidak lama, ia terpaksa ditup semula dan terkini muncul kembali dengan nama GLOBAL IKHWAN harap-harap ia dapat bertahan lama dan sebaik-baiknya kekal kukuh supaya berrtenaga menyaingi ekonomi bangsa bukan melayu di negara ini...

Oleh itu, kalau nak pantau, pantau lah tp cukuplah pantau pegangan mereka sahaja, jangan lah nak lingkupkan syarikat pula...

Saturday, May 15, 2010

Jauhi persoalan yang membawa penyakit was-was

Terdapat satu kisah yang diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab r.a berjalan di sebatang jalan sempat bersama sahabat. Tiba-tiba memancutlah air di atas sebuah rumah yang menimpa keduanya. Lantas sahabat itu berkata: Wahai tuan yang punya rumah, adakah air pancutan dari atas rumah kamu ini subi (tidak bernajis)? Kemudian Sayyidina Umar r.a segera mencelah: Wahai tuan yang punya rumah, jangan bagi tahu kami mengenai perkara itu kerana kami dilarang untuk menyusahkan diri sendiri.
(tiada sumber dinyatakan)

Dalam kisah lain Rasulullah s.a.w pernah memperkenan jemputan seorang Yahudi dan memakan makanannya tanpa bertanya perkara-perkara seperti : Apakah makanan ini halal atau tidak? Sucikah pinggan-pinggan yang dipergunakan atau tidak? Baginda dan para sahabatnya juga pernah memakai pakaian yang kainnya dibuat oleh orang-orang kafir dan mempergunakan barang-barang keperluan rumah tangga yang mereka rampas dari harta orang-orang kafir setelah menang dalam peperangan bahkan Baginda dan para sahabatnya pernah meminum air dari salah satu bejana yang dijumpai dirumah orang kafir yang mereka jadikan tawanan.
(Rujuk Imam Bukhari. Hadith bil 344 dan kitab Jami al-Ulum wa al-hikam Ibnu Rajab, juz 1, hlm 199)

(Kisah ini dipetik dari buku "Fiqh Awlawiyyat: al-Qaradhawi, hlm 233-234)

Sunday, May 9, 2010

Saya sangat setuju dengan Dr. Asri.. Ustaz Zamihan macam mana?

Dr Asri: Lesen Atau Tidak, Judi Tetap Haram

SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya, hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.

Beliau memberi alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Mengulas isu ini, Dr Asri menyifatkan kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional sudah tidak dapat membezakan halal dan haram.

“Kerajaan mesti memikirkan kesan buruk perkara ini. Ia akan mengakibatkan pergaduhan, pinjam meminjam dan pelbagai lagi. Jika kerajaan bertindak memberi lesen apa ertinya?” katanya.

Dr Asri mengingatkan kerajaan, tindakan melesenkan judi belum tentu menyelesaikan masalah kerana masalah tetap berlaku, bahkan berlarutan dengan lebih buruk.

“Judi termasuk dalam dosa besar. Di negara ini, orang akan kata ini bukan untuk orang Islam. Adakah perkara ini dituntut oleh orang bukan Islam? Adakah kerajaan bertindak hanya untuk kepentingan cukai ataupun untuk kepentingan masyarakat bukan Islam.

Beliau menyifatkan kerajaan hanya mencari alasan termasuk menggunakan elemen pembangunan judi bagi menghalalkan perjudian.

“Saya lihat alasan yang dinyatakan bagi mengelakkan judi haram dengan mengadakah judi halal. Semua judi adalah haram dan memberi kesan negatif. Saya tidak fikir orang agama lain disuruh pergi berjudi.

“Jika kerajaan hendak menyalurkan dana kepada bidang sukan, saya lihat perkara lain juga mungkin kita boleh mengenakan cukai yang tinggi. Jadi, saya fikir alasan ini sangat tidak munasabah,” katanya.

Dr Asri seterusnya mencadangkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan Islam bagi mengawal baik buruk sesuatu perkara.

“Tetapi dengan cara kerajaan menghalalkan dan membenarkan cara memberi lesen ini kepada judi bererti perkara yang dibimbangi masyarakat dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan. Apa beza antara yang halal dengan yang tidak, kedua-duanya mengundang masalah kepada rakyat,” katanya.

Politik kepartian: Asabiah yang tersembunyi

Kita sering digembar-gemburkan perbuatan asabiah berkaitan dengan faktor kekeluargaan dan keturunan. Selalunya berlaku perkara-perkara yang memerlukan sokongan dan pengaruh maka sokongan dari keluarga dan saudara mara sangat diperlukan tanpa mengira baik atau jahatnya sokongan tersebut. Mengetepikan dosa dan pahala asalkan puak masing-masing dapat apa yang dihajati, menang apa yang dipertandingkan.

Kadang-kadang kita sering mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz dari pelbagai tempat yang menjelaskan mengenai asabiah dan keburukannya, salahnya dari sisi Islam dan dimurkai oleh Allah s.w.t. Tetapi penjelasan asabiah tersebut adalah terlalu tertumpu kepada ikata kekeluargaan dan keturunan sahaja dan jarang sangat menyentuh kepada yang lebih luar daripada itu. Ada juga penceramah menggunakan perkataan ini untuk menghentam puak lain atau dengan kata yang jelas parti lain. Maka terkumpullah ayat dan dalil dari al-Qur'an dan hadis untuk memperkuatkan hujah mereka dan pada sebelah pihak lagi pasti akan merasa terpukul dan marah kalau hentaman tersebut adalah tepat dengan tindakan mereka.

Selalunya kita mendengar mereka yang menggunakan perkata "asabiah" ini adalah daripada mulut ustaz-ustaz dah ahli agama kerana mereka lebih mengetahui daripada mereka yang lain. Lagipun perkataan ini adalah pinjaman daripada bahasa arab yang telah dimelayukan. Tapi kadang-kadang mereka hanya tahu menggunakan perkataan ini untuk menghentam orang lain sahaja tanpa menyedari diri sendiri pun tidak selamat dari perbuatan "asabiah".

Kenapa saya katakan begitu? Apa yang saya ketahui asabiah ini bermaksud mereka yang menolong atau menyokong suatu puak secara setia tanpa melihat benar atau salah. ini bermakna walaupun yang salah mereka tetap pertahankan dan menyokong dengan penuh taat setia. Apakah Islam merestui perbuatan begini? Tentu sekali tidak bahkan melarangnya.

Apa yang jelasnya, selagi setia berparti maka selagi itulah akan mendedahkan diri dalan asabiah dan tidak mustahil sikap asabiah ini akan membawa mereka ke jalan yang tidak diredhai oleh Allah Taala. Nauzubillahi min zalik. Mana mungkin bagi seseorang yang melafazkan ikrar dan taat setia akan menyatakan ketidaksetujuan itu secara nyata kalau tidak setuju sekali pun paling tidak diam saja dan sekiranya parti lain yang buat sesuatu yang menampakkan perkara yang baik andai setuju sekali pun diam juga tak boleh puji kerana dikira tidak setia pada parti.

Nak berpolitik boleh tapi janganlah terlalu bersungguh-sungguh dalam berparti kerana perjuangan yang sebenarnya adalah amar makruf dan nahi mungkar... Apakah dengan berparti sahaja boleh tegakkan amar makruf nahi mungkar? fikirlah sendiri.

Kata mereka yang berparti, hanya dengan ini sahaja dapat tegakkan amar makruf nahi mungkar apabila negara diperintah oleh parti tersebut. Tetapi yang sebenarnya betulkah begitu? Apa yang saya nampak duit lagi berkuasa dari parti politik pada sekarang ini. Dengan duit juga boleh beli kuasa, boleh beli orang dan sebagainya...

Saya nak tanya pada orang berparti, parti apa yang berusaha untuk menjadikan ahlinya agar tidak miskin? tak ada satu parti pun yang benar-benar bersungguh-sungguh ke arah itu. Semua parti politik terutama orang parti orang melayu lebih bersungguh untuk menarik orang lain agar menyokong mereka sahaja supaya nanti bila sampai waktu pilihanraya dapat memangkah parti mereka, itu yang utama sebenarnya. Sekali fikir perjuangan tabligh lebih baik dari mereka yang berpolitik... sorry... sekadar luahan seorang pemerhati yang tidak berparti tetapi berpolitik..