Monday, November 30, 2009

Tafsir Al-Qur'an: Jenis Dan Pecahannya

Para Ulama telah membahagikan kepada dua ketegori:

1) Tafsir Bil Ma'thur
2) Tafsir Bil Ra'yi

Tafsir Bil Ma'thur

Menafsir al-Qur'an dengan dengan bersandarkan kepada hadis-hadis, Tabi'in dan Tabi'in-tabi'in. Dalam jenis ini, Tafsir Jami'ul Bayan oleh al-tabari dianggap yang teragung di mana ianya memuatkan segala kata-kata Sahabat dan Tabi'in beserta dengan sanadnya sekali. Dan yang terdekat dengan Tafsir al-tabari ialah tafsir Ibnu Kathir.

Tafsir Bil ra'yi

Pentafsiran al-Qur'an dengan mengunakan akal fikiran. Ada dua jenis tafsiran ini. Pertama, Tafsir Bil Ra'yi al-Mamduh al-Maqbul yang masih dapat diterima kerana menurut kaedah-kaedahnya yang betul. Dan kedua, Tafsir Bil Ra'yi al-Mazmum al-Mardud yang tertolak kerana unsur rasionalismenya yang ekstrim dan menurut hawa nafsu. Di antaranya ialah tafsir-tafsir dari golongan Muktazilah, Syiah Batiniyyah dan golongan sufi mistik seperti Ibnu Arabi.

Pecahan-pecahan tafsir

Para Ulama telah membahagikan tafsir-tafsir yang masyhur pada masa kini kepada beberapa pecahan berdasarkan kandungan isi dalam tafsir tersebut. Antara pecahanppevahan tersebut adalah:

1) Tafsir yang menekankan aspek gaya bahasa dan keindahan bahasa seperti Tafsir al-Kasyaf oleh Zamakhsyari dan Tafsir Baidhawi.

2) Tafsir yang menekankan aspek tatabahasa, dengan menggunakan syair-syair Arab untuk mengukuhkan pendapat mereka seperti Maanil Qur'an oleh al-Zajjad, Tafsir al-basith oleh al-Wahadi, Tafsir al-Bahrul Muhith oleh abu Hassan Nuhammad bin Yusuf al- Andalusi.

3) Tafsir yang menitik beratkan kisah-kisah Israiliyyat iaitu yang berasal dari Yahudi dan Nasrani malah dari kaum zindiq juga. Misalnya Tafsir al-tha'labi dan Tafsir Alauddin bin Muhammad al-baghdadi.

4) Tafsiran yang meninjau dari segi hukum-hukum fiqh. Polupornya ialah Imam al-Syafi'e dengan kitabnya Ahkam al-Qur'an. Sesudahnya lahirnya tokoh-tokoh lain dengan kitab mereka yang kebanyakkannya memakai judul Ahkam al-qur'an juga.

5) Tafsir ysng menekankan sifat-sifat Allah seperti Tafsir Mafatihul Ghaib oleh al-Razi.

6) Tafsir yang menitikberatkan simbol-simbol atau isyarat-isyarat al-Qur'an yang berhubung dengan ilmu tasawuf seperti Tafsir Abu Muhammad Sahl bin Abdullah at-Tasturi. Tafsir Isyari atau simbolik ini ada yang sahih dan ada yang bathil atau sesat. kebanyakannya ia dipengaruhi ajaran Syiah.

7) Tafsir yang memperkatakan lafaz al-Qur'an yang gahrib (yang jarang terpakai dalam perkataan seharian) seperti kitab Mu'jam Gharibul Qur'an oleh Muhammad Fuad Abdul Baqi.

Pembahagian ini telah disepakati sebahagian ulama dahulu dan sekarang. Oleh itu, sebelum kita menggunapakai pendapat dan pandangan dari kitab-kitab tafsir seharusnya kita mengenalpasti terlebih dahulu maksud penerangan kitab tafsir tersebut kerana kitab-kitab tafsir yang ada sekarang adalah lebih cenderung kepada aliran pemahaman masing-masing.

(Dipetik dari : PEMIKIRAN ISLAM KLASIK : PENGARUH FALSAFAH YUNANI DAN KEBANGKITAN GERAKAN TAJDID, Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, cetakan pertama 2004, al-Hidayah Publisher)


Thursday, November 26, 2009

Susahnya nak jujur

Persoalan ini berkaitan dengan hati dan perasaan. Betapa kuat dan teguh prinsip seseorang bergantung kepada keinginan untuk berpegang kepadanya atau sebaliknya. situasi sebegini hampir berlaku kepada semua orang tanpa memilih status kedudukan dan aliran pemikiran. Bahkan juga boleh berlaku kepada pemimpin-pemimpin besar dalam atau luar negeri.

Kita pun jadi serabut bila berada di sekeliling mereka yang tak jujur. Boleh jadi kita pun menyumpah-nyumpah bila orang lain yang tak jujur tapi bila yang tak jujur itu kita sendiri, maka mula lah kita akan tutup mulut berdiam diri agar tidak diketahui orang lain.

Persoalan jujur ini boleh dibahagikan kepada banyak kategori, jujur dalam cinta lain halnya, pening juga kalau difikirkannya. Jujur dalam kehidupan bermasyarakat lagi memeningkan kerana terpaksa berhadapan dengan ramai orang, silap hari bulan boleh memalukan diri sendiri. Silap hari bulan akan dipinggirkan orang lain kalau ketidakjujuran itu pecah tembelangnya, nak bertentang mata pun rasa segan. Jujur dalam perkhidmatan lagi menyusahkan orang, orang lain yang tak jujur tapi mangsa yang menanggung akibat, kadang-kadang mangsa pun tidak dapat pembelaan dari pihak berkuasa seperti polis atau kerajaan.

Mahu membetulkan sikap manusia agar berlaku jujur ini sangat susah, terlalu subjektif untuk membuat suatu rangka dasar sebagai panduan, tambah-tambah lagi berkaitan dengan sikap dan juga iman. Kita sebagai manusia biasa terlalu sukar untuk membaca hati orang lain, hanya sekadar melihat pada luaran yang kadang-kadang bertopengkan kejujuran sedangkan menunggu masa untuk mengambil kesempatan untuk berlepas diri atau mengaut keuntungan.

Dalam banyak-banyak kes yang pernah saya temui, hanya satu kes sahaja yang dirasakan kerap berlaku dan hampir-hampir semua mereka yang melakukan pekerjaan ini adalah mereka mesti tidak berlaku jujur dalam memberikan perkhidmatan.. Itulah dia "AGENSI PEMBANTU RUMAH".. Kadang-kadang saya pun tak faham dengan kes ini, saya juga tidak berapa faham dengan dasar kepolisan negara, dasar penguatkuasaan Imegresan dan Kementerian Dalam negeri. Sudah terlalu banyak kes-kes penipuan dilakukan oleh agensi-agensi ini, tapi setakat pengetahuan saya tidak ada lagi yang di tahan dan didakwa. Sedangkan mangsa-mangsa di sebabkan oleh penipuan ini sudah terlalu ramai. Apabila membuat pengaduan atau "Police report", silap langkah yang mengadu itu akan mendapat susah. Yang diadu pula tak rasa apa-apa.

Saya pernah bertanyakan masalah ini pada seorang polis yang sudah bersara tapi bersara dengan pangkat ACP, pangkat yang boleh dikatakan agak tinggi jawatan tersebut dan mustahil tidak tahu apa-apa mengenai undang-undang kepolisan atau memberikan kesalahan fakta yang melampau dalam memberikan pendapat dan nasihat. Bila saya tanya mengenai majikan yang mengadu atau membuat report mengenai penipuan AGENSI PEMBANTU RUMAH, kata beliau, yang pertama, pembantu rumah tersebut dulu akan ditahan sebelum membuat tindakan kepada agensi tersebut. Pembantu rumah tersebut akan ditahan dan mungkin akan dihantar pulang sekiranya tidak mempunyai permit... persoalannya sekarang, dimanakah pembelaan yang seadilnya dalam kes ini, apakah tindakan tersebut adalah penyelesaian yang terbaik sebenarnya... bagi saya jawapan itu sangat tidak adil dan hanya selesai kes untuk pihak polis sahaja dan tidak kepada majikan sedangkan majikan sudah habis beratus-ratus malah beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan seorang pembantu rumah. Betapa senangnya jawapan tersebut dan betapa senangnya menjalankan tugas dan menyelesaikannya seterusnya terus mengabaikan majikan tanpa memberikan penyelesaian yang terbaik..

Dimanakah penyelesaian yang sebenarnya untuk masalah ini?

Sekiranya kes ini berlaku, apakah langkah terbaik untuk majikan lakukan?

Sama-samalah kita fikirkan... Jangan biarkan mereka yang mempunyai mulut bercabang ini sewenang-wenangnya menipu mangsa. Biarlah mereka juga mendapat hukuman yang setimpal.. Sama-sama lah kita mendoakan agar mereka yang sentiasa menipu ini akan sering ditimpa musibah yang berterusan sehingga mereka insaf selama-lamanya.. amin...

Wednesday, November 4, 2009

Pendedahan Terkini

Dipetik dari www.anwaribrahimblog.com

NAFI HALANG TUGAS, PENGARAH JAIS PERLU PROFESIONAL

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA

Tarikh: 4 November 2009

Penahanan Dr Mohd Asri Zainul Abidin bekas Mufti Negeri Perlis oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat Islam terutama di Negeri Selangor.

Selaku individu yang berada ditempat berlakunya majlis ilmu berkenaan, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara yang mengelirukan berdasarkan kepada beberapa laporan akhbar yang saya rasa telah memetik dari sumber yang cuba melindungi kejadian sebenar yang berlaku.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah cara pihak JAIS menjalankan operasi penahanan adalah tidak professional dan mempamerkan kelemahan yang tidak sepatutnya wujud dalam organisasi yang tinggi tarafnya seperti JAIS.

Lebih menghairankan apabila ditahan, pihak JAIS gagal menyediakan kertas pendakwaan bagi mengaitkan Dr Asri dengan sebarang kesalahan melainkan dengan alasan mengajar tanpa tauliah.

Sepatutnya penahan dibuat setelah terbukti sesorang itu telah melakukan kesalahan. Agak menyedihkan dalam kes ini sewaktu mahu menahan Dr Asri, kelihatan pegawai JAIS sendiri tidak membuat persediaan dan sering menggunakan telefon bagi mendapat arahan dari pegawai atasan yang dipercayai ialah Pengarah JAIS sendiri iaitu Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Bagi saya tindakan JAIS yang menggunakan khidmat polis pada malam kejadian juga adalah satu tindakan yang melampau dan meletakkan Dr Asri pada kedudukkan yang tidak sepatutnya memandangkan sebelum ini beliau telah diberi kepercayaan oleh Tuanku Raja Perlis untuk menjaga persoalan berkenaan agama Islam di Negeri Perlis sendiri.

Sepatutnya sebagai seorang bekas Mufti dan memiliki pendidikan sehingga kepada peringkat Doktor Falsafah berkenaan Islam, beliau dialu-alukan untuk mendidik masyarakat. Adakah semua ini masih lagi tidak melepasi kelayakan yang diperlukan oleh JAIS untuk seorang seperti beliau bagi menyampaikan dakwah di Selangor.

Disini saya bertegas mendesak Pengarah JAIS menjelaskan apakah garis panduan yang digunapakai oleh pihaknya untuk melayakkan seseorang itu boleh ditauliahkan untuk memberi kuliah di Selangor.

Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, sehingga kini terdapat lebih kurang 7 orang Ustaz yang diantaranya adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dan telah gagal mendapat tauliah untuk mengajar di Selangor tanpa alasan yang kukuh dan bertulis.

Dengan adanya garis panduan tersebut JAIS akan dapat membendung amalan mengikut selera Pengarah JAIS dan memberi keadilan kapada cendekiawan seperti Dr Asri untuk menyampaikan ilmu.

Dalam tempoh terdekat, pihak ahli parlimen Pakatan Rakyat Selangor akan menghantar petisyen kepada Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selongor agar menilai semula kedudukan dan fungsi Pengarah JAIS yang jelas telah menjejaskan kedudukan Baginda selaku penaung kepada perkembangan Islam di Negeri Selangor yang bertuah ini.

Melalui kenyataan media ini juga saya ingin menafikan laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Pengarah JAIS bahawa saya dan seorang lagi rakan YB Shaari Sungip telah menghalang tugas pegawai JAIS untuk menjalankan tugas sehingga terpaksa menggunakan polis.

Apa yang berlaku ialah saya dan YB Shaari Sungib cuba untuk menenangkan keadaan kerana para jemaah ketika itu terkejut dengan serbuan yang dilakukan dengan kasar dan biadap oleh saudara Shahrom penolong pengarah penguatkuasa JAIS yang mengaku mempunyai ijazah dari Universiti Al Azhar.

Untuk itu, saya mengesa agar Pengarah JAIS yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini menarik balik dakwaan beliau. Sebaliknya beliau perlu lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan kerana beliau membawa imej JAIS yang dipandang tinggi oleh umat Islam.

ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat

Tuesday, November 3, 2009

TUDUHAN SIJIL PALSU ADALAH YANG PALSU

Dr Asri Jawab Tuduhan Sijil Palsu

Gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah. Ini bercanggahan dengan tuduhan pegawai JAKIM Zamihan Mat Zain dalam Utusan.

Sila klik di sini untuk imei yang lebih jelas.

Dr Asri: Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu.

-Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini.

Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini? Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!

-wartawan Minda Tajdid

Pesanan kepada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Segala yang berlaku sebenarnya adalah dalam pengetahuan Allah Taala. Terlalu banyak hikmah yang tersembunyi dalam kejadian tersebut. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mempertahankan kebenaran dan hendaklah banyak bersabar. Walaupun terlalu banyak halangan dan dugaan yang datang bertimpa-timpa dalam mengharungi mehnah perjuangan adalah perkara biasa bagi para pendakwah yang sebenar.

Walaupun jelas, di sebalik penahanan tersebut terdapat satu motif yang tidak berkaitan dengan politik tetapi berkaitrapat dengan aliran pemikiran terkini. Antara fahaman yang disifatkan sebagai Wahhabi atau fahaman yang mengaku sebagai Ahlul sunnah Wal jamaah.Cuma dalang di sebalik penahanan tersebut masih tidak jelas dan mungkin akan diketahui juga dengan izin Allah Taala.

Di sini, suka saya berpesan kepada al-Fadhil Dr. Mohd Asri, bersabar dan redha lah segalanya kerana kemanisan di sebalik kejadian ini adalah sangat manis dan apa yang penting keikhlasan diri sentiasa mengiringi anda. Biar lah Allah Taala sahaja yang diharapkan ganjarannya walaupun seribu NGO membantah usaha anda. Secara peribadi, saya menyokong anda seratus peratus selagi perjuangan anda berdasarkan iman dan bukan dendam... maafkan segalanya dan serahkanlah segalanya kepada Allah taala... Hasbiallah...

Monday, November 2, 2009

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 3)

(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)

Adab Solat Berjemaah

Kisah Abu Musa Al-Asy'ari dengan makmum:

"Abu Musa Al-Asy"ari bersembahyang bersama kami (sebagai imam). Ketika Abu Musa sedang duduk, ada seorang lelaki berkata: Sembahyang harus disertai dengan kebajikan dan zakat. Maka ketika Abu Musa selesai sembahyang dan sesudah mengucapkan salam, ia berpaling kepada orang banyak, lalu berkata: siapa yang berkata itu tadi? Orang yang banyak diam (tiada yang menjawab). Abu Musa kembali bertanya, sedang orang banyak tetap diam (mungkin kerana hormat atau takut). Lalu berkata Abu Musa Al-Asy'ari : Barang engkau Hiththan yang berkata itu? Aku (Hiththan) menjawab: Demi Allah, aku tidak berkata demikian. Aku takut kalau engkau akan memarahi saya kerana ini. Lalu berdiri sorang lelaki di tengah orang banyak dan berkata: sayalah yang berkata itu dan tidak ada yang saya maksud dengan perkataan itu selain kebajikan jua. Maka berkatalah Abu Musa Al-Asy'ari: Tidakkah kamu tahu, apa yang kamu ucapkan dalam sembahyang? Rasulullah s.a.w telah berkhutbah kepada kami menerangkan sunnah (sembahyang) kita, dan apa yang harus kita sebut di dalamnya. Berkata Rasulullah s.a.w : Bila kamu sembahyang, maka luruskanlah barisanmu, kemudian harus maju seorang menjadi imam. Maka apabila imam sudah bertakbir, maka baru kamu bertakbir, dan bila ia membaca, maka harus kamu mendengarkan, dan apabila imam berkata: Ghairil maghdhuubi alaihim wa ladh-dhallin, maka hendaklah kamu berkata: aaamiin. Allah akan mencintai kamu. Dan apabila imam sudah bertakbir dan rukuk maka hendaklah kamu bertakbir dan rukuk. Jadi imam rukuk sebelum kamu rukuk. Dan imam bangkit sebelum kamu bangkit. Berkata Rasulullah s.a.w: Maka itu dengan (sesudah) itu. Dan apabila imam mengangkat kepalanya dan berkata: Sami'allaahuliman hamidah, Maka angkatlah olehmu akan kepalamu dan katakanlah : Allahumma rabbana lakalhamdu. Allah akan mendengar ucapanmu itu. Dan apabila imam sudah bertakbir dan sujud, hendaklah kamu bertakbir dan sujud. Dan apabila ia telah mengangkat akan kepalanya dan bertakbir, maka hendaklah kamu mengangkat kepalamu dan bertakbir. Berkata Rasulullah s.a.w: Maka itu dengan (sesudah) itu. Dan apabila imam sudah duduk, maka yang pertama harus kamu ucapkan ialah: at-tahiyyatu lillahi wash-shalawaatu wath-thayyibaatu, sehingga kamu selesai dari tasyahhud.

Oleh yang demikian, sesiapa yang bertakbir bersama-sama imam adalah salah bererti meninggalkan apa yang diperintahkan Rasulullah s.a.w. Maksud yang jelas adalah apabila imam betul-betul bangkit dari rukuk atau sujud barulah makmum boleh bangkit. Sekiranya imam baru separuh bangkit dari rukuk atau sujud atau pelakuan lain dan makmum terus bangkit ini bermakna sembahyang berjemaah tersebut tidak sempurna.

Ketika imam membaca surah al-Fatihah, makmum mesti mendengar sehingga selesai dan mengaminkannya barulah makmum boleh membacanya..

Pernah berlaku di balaisah kampung saya ketika solat terawih di bulan puasa, imam membaca ayat tersangat laju dan pendek menyebabkan makmum tak sempat habiskan bacaan surah al-Fatihah kalau dibaca selepas mengaminkan bacaan. Jadi untuk sempat habiskan bacaan surah al-Fatihah, para makmum membacanya ketika imam belum selesai membaca surah tersebut dan sempat habiskan bacaan ketika imam membaca surah lazim.. Kerana terlalu mengejar 20 rakaat sehingga terlupa adab-adab sembahyang berjemaah.

Oleh itu, jagalah adab-adab sembahyang agar solat kita sentiasa sempurna dan diterima oleh Allah Taala sebagai suatu bekalan kita pada hari kekal kelak.