Thursday, January 1, 2009

Beramal untuk apa? Dan beribadat untuk siapa?

Jawapan Untuk Soalan Agama Majalah I

1. Saya mendapat tahu ada orang yang memperoleh kekuatan luar biasa seperti boleh berjalan di atas bara, boleh menarik bas, memecahkan bata serta kebolehan lain seperti membaca fikiran orang, mencari benda yang hilang melalui kekuatan minda dan mengesan sesuatu bala yang belum tiba. Mereka beroleh kekuatan itu dengan mengamalkan bacaan-bacaan al-Quran yang tertentu. Saya ingin tahu, apakah hukumnya mereka yang beramal dengan bacaan-bacaan al-Quran itu dengan tujuan ingin mendapat keistimewaan seumpama itu?

- Yang Musykil, Kuala Lumpur.

Jawapan : Kekuatan luar biasa ada kalanya boleh di perolehi dengan latihan dan usaha fizikal. Seperti menarik bas , berjalan atas bara dan memecahkan batu bata. Ia bergantung kepada latihan dan mungkin alatan-alatan luaran seperti krim pengurang kesan terbakar dan sebagainya.

Adapun isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti membaca fikiran orang, ramalan bala yang akan datang dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada 3 sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran b) Hadith Sohih dan Hasan c) Fitrah kejadian alam (sunatullah)

Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Najm ayat 65 : “ Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT” . Malah Nabi juga bersabda : “Sesiapa yang menemui tukang tilik atau tenung, lalu mempercayai ramalannya (ghaibnya) maka ia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi SAW” . ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Sohih menurut Albani ; Muntaqa , 2/791 )

Justeru, dinasihatkan dengan tegas agar jangan dengan mudah mempercayai ramalan-ramalan ghaib dan akan datang oleh seseorang. Adapun isu menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mendapat kekuatan dan menembusi alam ghaib seperti membaca hati orang, pemikiran orang dan ramalan perkara akan datang.

Ia mungkin boleh diperolehi oleh orang-orang soleh dan bertaqwa, dan ia dinamakan “kasyyaf”, walaupun demikian, kasyyaf bukanlah satu kurnian yang boleh di kawal oleh seseorang itu pada masa-masa yang diinginnya, ia kerap kali berlaku secara spontan tanpa kawalan. Ia dikurniakan oleh Allah kepada mana-mana hambaNya yang soleh. Sebuah hadith menyebut : “ Berhati-hatilah dengan firasat orang mukmin (soleh) kerana mereka melihat dari cahaya Allah” ( Riwayat Tirmidzi dan At-Tabrani dan tirmizi berkata : Gharib ; Dhoif menurut Albani; Kasyful Khifa, Al-‘Ajlouni , 1/35 ; ) ; Khailfah Uhtamn ‘Affan r.a juga pernah diriwayatkan mendapatkan kasyyaf apabila menegur seorang lelaki dengan katanya mata kamu berzina. Demikian juga Umar Al-Khattab r.a ketika melihat keadaan tenteranya yang jauh dalam keadaan bahaya.


Seseorang yang mengamalkan ayat-ayat tertentu dengan tujuan khas untuk mendapatkan keistimewaan, adalah harus selagi tidak bercanggah dengan tujuan yang dibenarkan syara’, malah ada juga yang digalakkan jika terdapat hadith yang menganjurkannya seperti membaca surah al-baqarah bagi menjauhkan diri dari Syaitan (dari hadis riwayat Muslim), membaca surah Al-Kahfi pada malam dan hari jumaat bagi mendapatkan cahaya hati dan menjauhkan diri dari Dajjal (dari hadith sohih riwayat Muslim, An-Nasaie, Al-Bayhaqi dan al-Hakim –rujuk al-Muntaqa, no 388, 1/250). Banyak lagi ayat-ayat yang dikhabarkan oleh Nabi tentang khasiatnya. Menggunakana ayat-ayat tertentu untuk terbang dan berjalan atas air tanpa tenggelam, tidaklah disebut oleh Nabi ayatnya. Wallahu a’lam. Seseorang yang mengamalkan ayat-ayat tertentu untuk tujuan pelik dan jahat yang bercanggah dengan Al-Quran adalah sesat dan menyesatkan.

Tetapi perlu diingat, tujuan utama al-Quran diturunkan bukanlah untuk mencapai keistimewaan pelik di atas dunia atau untuk tujuan dunia, tetapi ia adalah untuk amalan dan panduan untuk hidup di dunia bagi mencapai keredhaan Allah di akhirat. Fakta ini telah dinyatakan dengan jelas dalam pelbagai Quran.

No comments:

Post a Comment