Wednesday, June 26, 2013

Bila Dah Rasa Pandai Semuanya Boleh Hukum

"Bijak tak bistari" kalimah keramat ini memang benar-benar berlaku kepada para ilmuan masa kini. Ilmu yang diperolehi hanya sekadar untuk memanjat kedudukan martabat diri sementara insan lain dibiarkan berada di bawah agar diri sentiasa dipandang tinggi dan dihormati. Tiada lagi rasa tanggung jawab yang perlu ditunaikan demi memenuhi amanat Allah untuk semua insan di muka bumi ini. 

Berada dalam kelas yang tersendiri, merasakan begitu sia-sia bila bersama-sama dengan bukan cerdik pandai. Mereka yang berada dalam kelas pertengahan mengenai fahaman agama hanya dibenarkan untuk bertanya sahaja dan tidak layak untuk memberikan pendapat. Dengan pakaian kemas, suci dan bersih, berkopiah putih merupakan lambang keilmuan agama yang tinggi, janggut sejemput menunjukkan berpegang teguh hati pada sunnah Rasulullah s.a.w namun lidahnya basah untuk mencaci dan mencerca terhadap mereka yang tidak sealiran dengan mereka. 

Lidah yang tidak bertulang begitu fasih untuk melemparkan kata-kata nista,petah berberhujah dengan ayat-ayat biadap, lembut lidah memperdengarkan nas-nas dari al-qur'an san al-hadith, namun segalanya itu untuk membela diri semata-mata dan bukan untuk menegakkan kebenaran Islam yang dijunjung. Lidah berikrar melaung-laungkan panji keagungan Islam tetapi hati berkait mengejar kemewahan. 

Segala bentuk hukum dan sumpah begitu senang dilafazkan, tanpa mengira waktu dan tempat. Yang paling berkesan fitnah dan cercaan dilemparkan dalam siri kuliah dan ceramah di masjid dan surau. Ditambah lagi dengan kebodohan para pendengar yang begitu asyik dengan kepetahan penceramah. Asalkan ceramah tersebut mengandungi unsur mengutuk dan mencerca tentu rasa terhibur dalam hati, hilang rasa kebosanan diri. Kemana perginya uslub dakwah sekarang, penceramah upahan yang datang menyampaikan kulian atau tazkiran, hanya memandang nilai upah yang diterima. Kadang-kadang kosong isinya, sumber ilmu yang tidak dapat dipetik oleh para pendengar, hanya gelak dan hilai tawa yang terisi dek kenakalan penceramah dalam mengolah ayat. 

Betapa ruginya umat Melayu Islam sekarang, duit tabung masjid dan surau mengalir keluar secara mingguan semata-mata untuk membayar penceramah yang kosong nilai budinya. Tiada keberkatan untuk majlis seperti ini, manakan mampu untuk melekat di sanubari para pendengar. Justeru, jangan melihat kepetahanan penceramah sahaja, lihat lah juga nilai dirinya. Jangan terlalu asyik bila mereka senang sangat menjatuhkan hukum kepada orang lain tetapi lihat kepada penceramah yang sering memberi nasihat dan muhasabah untuk penambahbaikan diri tanpa menjatuhkan maruah orang lain. Jauhkan diri dari penceramah yang sebegini " Bila Dah Rasa Pandai Semuanya Boleh Hukum "

 


No comments:

Post a Comment