Hadis-Hadis yang menyebut tentang Fadhilat Sya’ban.
بسم الله الرحمن الرحيم
Himpunan Maqalah Mengenai Sya’ban
KELEBIHAN SYA’BAN:
Antara Amalan & Fadhilat Yang Sahih dan Palsu.
Bulan
Sya’ban merupakan bulan yang mulia, terletak di tengah-tengah antara
dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rajab yang merupakan salah satu bulan
haram dan bulan Ramadhan merupakan bulan yang diwajibkan umat Islam
berpuasa padanya.
Bulan
Sya’ban terdapat beberapa kelebihan yang tersendiri sebagaimana yang
disebut dalam hadis, namun banyak juga tersebar hadis yang dhaif atau
maudhu’ (rekaan) tentang fadhilatnya, untuk menjelaskannya risalah
ringkas ini ditulis, semoga menjadi panduan dan peringatan buat kita
semua.
Terdapat hadis-hadis yang menyebut Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Sya’ban.
Kalau dikatakan, apakah hikmahnya memperbanyak berpuasa di bulan Sya’ban?
Maka jawapannya adalah perkataan Al-Hafiz Ibn Hajar:
“Yang
lebih tepat apa yang diriwayatkan oleh Nasa’i dan Abu Daud serta
disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Usamah bin Zaid, dia berkata, saya
bertanya:
“Wahai Rasulullah, saya tidak melihat tuan (sering) berpuasa dalam satu bulan seperti tuan berpuasa di bulan Sya’ban?”
Baginda
bersabda: “Itu adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya yaitu
antara Rajab dan Ramadhan. Yaitu bulan yang di dalamnya di angkat
amalan-amalan kepada Allah, Tuhan seluruh Alam. Maka aku ingin amalanku
diangkat, sedang aku dalam keadaan berpuasa.” [Dinyatakan hasan dalam Sahih An-Nasa’i, no. 2221].
Adalah
mendukacitakan, ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis
Nabi s.a.w tanpa mengira kethabitan iaitu kepastian tentang ketulenan
sesebuah hadis, juga tidak meneliti takhrij dan tahqiq
(keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya. Lebih teruk lagi
jika terus disebarkan kepada masyarakat tanpa menjelaskan kedudukannya.
Dengan
itu apa-apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang
dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa
usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh
baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah
bin Syu’bah:
إنَّ كذبًا عليَّ ليس ككذِبٍ على أَحَدٍ،من كذبَ عليَّ متعمدًا فليتبوَّأْ مقعدَهُ من النارِ. (رواه البخاري)“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”(Riwayat al-Bukhari, Muslim).
Ini
termasuk menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak
pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak
pernah melakukannya.
Hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” [lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut].
Bukan
sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa
diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga
adalah sesuatu yang haram.
Contohnya, apabila muncul bulan Rejab dan Sya’ban maka hadis-hadis palsu mengenainya akan dibaca dan diajar secara meluas. Ramai
penceramah, imam, khatib dan media massa menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
penceramah, imam, khatib dan media massa menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Begitu
juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam
tertentu dan malam Nisfu Sya’ban adalah dusta ke atas Nabi s.a.w
(kesemuanya adalah PALSU).
Kata
al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): “Hadis-hadis mengenai
solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah
palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w”.
Sebenarnya
hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Sya’ban itu memang ada,
tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Kelebihan Khas Malam Nisfu Sya’ban:
Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Sya’ban ialah:
عن أبي موسى الأشعري عبدالله بن قيس:
((إنَّ اللهَ لَيَطَّلِعُ في ليلةِ النِّصفِ من شعبانَ، فيَغفِر لجميعِ خلقِه إلا لمشركٍ أو مُشاحنٍ)).
“Allah
melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia
ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang
bermusuh (orang benci membenci) [HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan
lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh].
Hadis
ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu,
amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan daripada ajaran
Nabi s.a.w.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Sya’ban:
“Tidak
pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka
berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa
tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian
negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun
pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka
membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua
rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia,
kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan
salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang
panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan
dan bertentang maknanya.
Perhimpunan
(malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku
di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan.
Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala
kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah
golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan
setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka”. [Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut].
Inilah
kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang
sederhana dan dihormati. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu
Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang
tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks
hadis).
Mereka hanya membaca hadis yang mereka hafal dan memetiknya tanpa mengetahui dan cuba memastikan kedudukan hadis tersebut.
Saya
menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik
dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan
kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Sya’ban tahun ini tidak dibaluti
dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w. [Sumber: http://drmaza.com/home/?p=646]
HADIS-HADIS YANG LEMAH DAN PALSU TENTANG NISFU SYA’BAN
Berikut adalah beberapa contoh hadis-hadis lemah dan palsu tentang fadhilat malam Nisfu Sya’ban.
HADIS PERTAMA:
Daripada
‘Aisyah r.a, dia berkata: “Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah
s.a.w. lalu saya keluar, ternyata baginda berada di Baqi’, lalu
Rasulullah bersabda:
“Apakah kamu takut padahal Allah dan Rasul-Nya melindungimu?”
Saya (‘Aisyah) jawab: Ya Rasulullah, saya mengira engkau mendatangi sebahagian isterimu (yang lain).”
Baginda
bersabda: “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah turun ke langit
dunia lalu mengampuni lebih banyak dosa daripada banyaknya bulu kambing
Bani Kalb.” [Hadis Riwayat Imam Ahmad, Imam Tirmidzi. “Dhaif Jiddan”].
HADIS KEDUA:
Daripada
‘Ali bin Abi Talib r.a, dia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika
datang malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah pada malam harinya (untuk
bersolat) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Sesungguhnya pada saat
itu sejak tenggelamnya matahari, Allah turun ke langit dunia seraya
berfirman: “Ketahuilah, sesiapa yang meminta keampunan, maka Aku akan
mengampuninya dan ketahuilah sesiapa yang meminta rezeki maka Aku akan
memberinya, ketahuilah sesiapa yang sakit maka aku akan menyihatkannya,
ketahui sesiapa yang begini aku akan begitu hingga terbit matahari.
[Hadis riwayat Ibnu Majah – “Maudhu’”].
HADIS KETIGA:
“Wahai
‘Ali, sesiapa yang solat seratus rakaat pada malam Nisfu Sya’ban, pada
setiap rakaat membaca surah al-Fatihah dan Qul huwallahu ahad 10 kali,
Nabi s.a.w. bersabda: “Ya ‘Ali, tidaklah seorang hamba yang solat
seperti ini kecuali Allah akan memenuhi setiap setiap keinginan dan
permintaanya pada malam itu…
Komentar: Hadis ini adalah maudhu’ (palsu)
sebagaimana dinyatakan Ibn al Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al
Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Lali
al-Masnu’ah.
HADIS KEEMPAT:
“Sesiapa
solat dua belas rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan membaca pada
setiap rakaatnya Qul huwallahu ahad 30 kali, tidak keluar hingga melihat
tempat duduknya di syurga…”
Komentar: Hadis ini adalah maudhu’ (palsu)
sebagaimana dinyatakan Ibn al Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al
Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Laali
al-Masnu’ah.
Perhatian: Antara buku yang mengumpul hadis palsu tentang kelebihan bulan-bulan ialah buku: (Kelebihan Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Ustaz Budiman Radhi).
No comments:
Post a Comment