Friday, July 17, 2009

Kenduri Arwah: Memetik pendapat Ulama' dari beberapa Kitab

Dipetik daripada http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Yang Pertama:

Hadith yang sahih dikeluarkan oleh Abu Daud, A1-Tarmizhi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Jafar, beliau berkata, “Apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Talib), Nabi bersabda:

Maksudnya: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far (isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”.

Dalam Hadith di atas, Rasulullah s.a.w. mengarahkan jiran tetangga yang tinggal berhampiran dengan keluarga si mati membuat makanan kepada mereka yang ditimpa musibah dukacita kematian. Ja’far bin Abi Talib mati syahid dalam peperangan Mu`tah pada tahun kelapan Hijrah, sebaik sahaja berita kematiannya sampai, Nabi menyuruh jiran tetangganya melakukan perkara itu kepada keluarganya supaya meringankan beban dukacita dengan memberi makanan kepada mereka.

Yang Kedua

Hadith Jarir bin Abdullah r.a, Maksudnya: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”

Diriwayatkan oleh Ahmad b. Hanbal dan Ibnu Majah dengan isnad yang sahih.

Hadith di atas menunjukkan kepada kita, bahawa orang ramai yang berhimpun di rumah ahli si mati dan memakan makanan yang dimasak dan dihidangkan oleh ahli si mati adalah dari perbuatan ratapan. Ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliah dan hukumnya haram, sebagaimana dimaklumi.

Kedua-dua buah Hadith yang dipaparkan itu adalah terdiri dari Hadith-Hadith sahih. Hadith sahih amat tinggi martabatnya di mana ia menjadi sumber hukum yang kedua selepas kitab suci Al-Quran. Perbincangan di kalangan Imam-Imam mujtahid dan ulamak-ulamak agung dari empat mazhab mengenai hukum menjamu makan selepas kematian adalah pada asalnya berdasarkan kepada dua Hadith berkenaan.

Betapa kuatnya sesuatu hukum yang bersandarkan kepada Hadith sahih, sehingga Imam Syafiiy pernah menegaskan mengenai perkara itu, maksudnya, “Apabila sahihnya Hadith, maka itulah mazhab aku, jika tidak sahih, hendaklah kamu campakkannya di belakang dinding”.

3- Pandangan Ulamak Mengenai Menjamu Makanan Dan Perhimpunan Selepas Kematian.

Di bawah ini diperturunkan pesanan ulamak besar lagi mujtahid:

3-1 Imam Al-Syafi’e menegaskan dalam kitabnya (Al-Umm):

Maksudnya Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberikan makan kepada ahli mayat yang mengenyangkan mereka pada hari malamnya kerana itu adalah sunnah dan ingatan (zikir) yang mulia dan ianya perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita, kerana apabila tiba berita kematian Jafar, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”.

Maksudnya: “Aku benci diadakan ma`tam iaitu perhimpunan, walaupun tidak ada tangisan kepada mereka, kerana sesungguhnya perbuatan itu memperbaharui dukacita dan membebankan makanan”.

3-2 Kata Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu :-

Telah berkata Al-Syafiiy dalam Al-Mukhtasar: “Aku suka kepada kaum kerabat si mati dan kepada jirannya membuat makanan kepada ahli mayat yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, sesungguhnya ia adalah sunnah, dilakukan oleh golongan baik-baik. Kata Ashab kita (iaitu ulamak Fiqah Syafiiy) membuat pelawaan sungguh-sungguh supaya ahli mayat itu makan, walaupun mayat berada di negeri lain di sunatkan juga kepada jiran keluarga si mati membuat makanan untuk mereka”.

3-3 Mengikut Kitab Al-Fiqahi Ala Al-Madhahib Al-Arbaah:

Setengah daripada perbuatan bid’ah yang makruh apa yang dibuat oleh manusia sekarang ialah melakukan penyembelihan ketika turunnya mayat dari rumah, ataupun semasa mayat berada di kubur. Hukumnya bid’ah dan makruh menyediakan makanan kepada mereka yang berkumpul untuk memberi takziah, dihidangkan makanan untuk mereka seperti dilakukan (menjamu makanan) di majlis-majlis atau perayaan kerana kegembiraan.

Jika memberi makan kepada orang ramai selepas suatu kematian sedangkan pewaris itu belum cukup umur, maka hukumnya haram. Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah dari Jarir bin Abdullah beliau berkata : “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”.

3-4 Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah (al-Fatawaa) berkata:

“Manakala ahli si mati membuat makanan dan memanggil orang ramai supaya memakannya, bahawa perbuatan ini tidak disyarakkan bahkan ia bid’ah berdasarkan kepada Hadith Jarir bin Abdullah kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan mereka memasak makanan untuk dijamu orang ramai adalah dari ratapan jahiliyyah”

3-5 Didalam Kitab Fiqh As-Sunnah, Oleh Sayyid Sabiq menyebut:

Di sunatkan membuat makanan kepada ahli si mati, kerana ianya dari perkara kebajikan dan taqarrub kepada Allah dari jiran tetangga dan dari kaum kerabat (yang jauh). Imam Syafiiy berkata:

Aku suka kaum kerabat si mati membuat dan memberi makan kepada ahli mayat yang boleh mengenyangkan mereka untuk hari dan malamnya, kerana ia adalah sunnah dan perbuatan golongan yang baik-baik.

Ulamak mengatakan sunat mempelawa sungguh-sungguh supaya ahli mayat memakan makanan yang diberikan itu supaya mereka tidak menjadi lemah lantaran tidak menjamah makanan di sebabkan terlampau terkejut dengan peristiwa kematian atau dengan sebab segan.

Imam-imam mazhab telah bersepakat kata bahawa hukumnya makruh ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai yang berkumpul kepada keluarga si mati. Kerana perbuatan itu menambahkan lagi musibah ke atas mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukan di atas kesibukan mereka yang sediakan ada dan perbuatan itu tak ubah seperti kelakuan golongan jahiliyyah. Hujah ini berdasarkan Hadith Jarir bin Abdullah: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”

Setengah ulamak mengatakan hukumnya haram ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai.

3-6 Di dalam Kitab Hukmu Al-Quran Lil Amwat menyebut:

Antara bid’ah yang diharamkan ialah ahli si mati menjamu makanan kepada orang yang memberikan takziah atau memberikan makan kepada fakir miskin selepas mengiring jenazah, pada hari Khamis, pada hari ketiga, pada hari keempat puluh dan tahunan. Tetapi yang sunnahnya sahabat handai dan jiran tetangga memberikan makanan kepada ahli si mati kerana Hadith Nabi bersabda: “Hendaklah kamu memberikan makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”. Diriwayatkan oleh Tarmidhi dan selainnya dengan sanad yang sahih.

3-7 Di dalam Kitab Ahkam Al-Janaiz Wa Bida’uha, sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani menyebutkan, antara bid`ah apabila terjadinya kematian adalah:

(i) Ahli si mati menerima tetamu dengan memberikan makan kepada mereka.

(ii) Hukumnya bid’ah apabila menerima jemputan bagi jamuan makanan daripada ahli si mati.

3-8 Kitab Sabil Al-Muhtadi

Ringkasan yang difahami dari kitab ini ialah:

(i) Hukumnya bid’ah dan rnakruh jika dibuat kenduri makan selepas kematian dan dijemput orang ramai supaya memakan makanan itu, sama ada jamuan itu diberi sebelum mayat dikebumikan atau selepas dikebumikan..

(ii) Hukumnya juga makruh dan bid’ah kepada sesiapa yang menerima jemputan itu dan menghadirinya.

Teks asalnya berbunyi:

“Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruan”.

3-9 Kitab Kasyfu Al-Litham

Ringkasan yang difahami dari kitab ini ialah:

(i) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak bila keluarga si mati memberi makan kepada orang ramai sebelum atau selepas dikebumikan mayat.

(ii) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak membuat penyembelihan di kubur.

(iii) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak apa yang dinamakan kaffarah dan wahsyah iaitu berhimpun dan berkumpul dengan memberi makan kepada orang ramai di malam pertama selepas pengebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan sebagainya seperti yang telah dijelaskan.

Teks asalnya berbunyi:

“Barang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian daripadanya dan menyembelih pada kubur dan demikian lagi yang dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat puluh hari dan umpamanya yang demikian itu yang dibuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.”

3-10 Kitab Bahru Al-Madzi

Maksudnya antara lain seperti:

(i) Keluarga si mati memasak makanan dan menghimpun orang ramai dan menjamu mereka makanan itu tidak ada sedikit pun sandaran riwayat yang boleh di pegang dan diikuti dari Nabi s.a.w dan dari sahabatnya.

(ii) Hukumnya bid’ah dan makruh jika keluarga si mati memasak dan mengumpulkan orang ramai dan menjamu mereka, kerana berpandukan Hadith Jarir bin Abdullah katanya, “Kami rnengira perhimpunan orang ramai kepada keluarga si mati dan mereka (keluarga) membuat makanan selepas pengebumian mayat adalah daripada perbuatan ratapan kematian”.

(iii) Yang sunnah dan sunat ialah kaum kerabat si mati yang jauh, jiran tetangga dan sahabat handainya memasak dan menjamu kepada ahli atau keluarga si mati sekadar mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya.

1 comment:

  1. Salam Dik
    Thanks for sharing the good info..opps speaking la plak..terima kasih.

    ReplyDelete