Saturday, June 27, 2009

Apabila Qarun jadi idola !!

Dalam surah al-Qashash ada menceritakan:

79. Maka keluarlah Karun kepada kaumnya dalam kemegahannya[1139]. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: "Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Karun; sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar."


[1139]. Menurut mufassir: Karun ke luar dalam satu iring-iringan yang lengkap dengan pengawal, hamba sahaya dan inang pengasuh untuk memperlihatkan kemegahannya kepada kaumnya.


Inilah lumrah kehidupan yang menuju ke akhir zaman, manusia-manusia berkejar-kejaran mengumpul kekayaan, terlalu alpha sehinggakan usia hampir ke penghujung masih lagi gilakan harta bahkan mereka semua ini akan berhenti apabila dijemput menghuni kubur. Sikap sebegini makin lama makin parah, para Ulama' seakan dipinggirkan, menjadi ringan mulut untuk memberi komen kejumudan kepada orang beriman, rasuah dan penyelewengan berleluasa dalam segenap lapisan termasuk profesion keguruan.

Apabila terpandang harta dan kekayaan, nafsu kembali terangsang, motivasi meningkat serta merta hilang rasa malas, kepala yang dulunya kosong tanpa isian kini penuh dengan angan-angan si Jenin yang memacu minda bawah sedar untuk mencapai impian. Apabila terpandang hartawan santai dalam sebuah kereta mewah yang dipandu oleh pemandu upahan, maka terbitlah di hati si miskin kekaguman kepadanya, malah ada yang sanggup menjadi balaci hanya semata-mata untuk memperhambakan diri bagi menumpang biasan kemewahan si kaya. Tiada lah lagi rasa hormat kepada yang lain sehingga pada masa dulu dia lah yang sering di tolong oleh orang lain tapi kini lupa diri kerana berasa kaya walaupun kekayaan itu milik orang lain sebenarnya.

Apabila terpandang sebuah rumah tersergam mewah yang dilengkapi peralatan canggih dengan disertakan beberapa orang pengawal keselamatan, maka mata terbeliak memuji keindahan ciptannya. Bermulalah terdetik di hati untuk memilikinya suatu hari nanti walaupun sebenarnya tahu keupayaan diri.

Tetapi semuanya lupa, itulah bayangan Qarun pada zaman ini yang menjadi ikutan dan kekaguman manusia sedangkan contoh yang dibawa oleh Abdul Rahman bin Auf sengaja dilupakan. Sesungguhnya mereka yang menjadikan Qarun sebagai idola hanya merugikan kerana harta yang banyak tidak mampu memberikan manfaat kepada apabila berpindah ke alam kubur kelak.

Sambungan daripada ayat di atas:

80. Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar." (al-Qashash)

Kepada yang kaya, hanya satu saja pesanan yang ingin disampaikan bahawa berusahalah untuk menjadi Abu Bakar al-Siddiq dan Abdul Rahman bin Auf pada alaf ini kerana sumbangan anda sangat diperlukan untuk sama-sama memperoleh keberkatan di negara tercinta ini.

No comments:

Post a Comment