Tuesday, November 3, 2009

Pesanan kepada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Segala yang berlaku sebenarnya adalah dalam pengetahuan Allah Taala. Terlalu banyak hikmah yang tersembunyi dalam kejadian tersebut. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mempertahankan kebenaran dan hendaklah banyak bersabar. Walaupun terlalu banyak halangan dan dugaan yang datang bertimpa-timpa dalam mengharungi mehnah perjuangan adalah perkara biasa bagi para pendakwah yang sebenar.

Walaupun jelas, di sebalik penahanan tersebut terdapat satu motif yang tidak berkaitan dengan politik tetapi berkaitrapat dengan aliran pemikiran terkini. Antara fahaman yang disifatkan sebagai Wahhabi atau fahaman yang mengaku sebagai Ahlul sunnah Wal jamaah.Cuma dalang di sebalik penahanan tersebut masih tidak jelas dan mungkin akan diketahui juga dengan izin Allah Taala.

Di sini, suka saya berpesan kepada al-Fadhil Dr. Mohd Asri, bersabar dan redha lah segalanya kerana kemanisan di sebalik kejadian ini adalah sangat manis dan apa yang penting keikhlasan diri sentiasa mengiringi anda. Biar lah Allah Taala sahaja yang diharapkan ganjarannya walaupun seribu NGO membantah usaha anda. Secara peribadi, saya menyokong anda seratus peratus selagi perjuangan anda berdasarkan iman dan bukan dendam... maafkan segalanya dan serahkanlah segalanya kepada Allah taala... Hasbiallah...

Monday, November 2, 2009

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 3)

(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)

Adab Solat Berjemaah

Kisah Abu Musa Al-Asy'ari dengan makmum:

"Abu Musa Al-Asy"ari bersembahyang bersama kami (sebagai imam). Ketika Abu Musa sedang duduk, ada seorang lelaki berkata: Sembahyang harus disertai dengan kebajikan dan zakat. Maka ketika Abu Musa selesai sembahyang dan sesudah mengucapkan salam, ia berpaling kepada orang banyak, lalu berkata: siapa yang berkata itu tadi? Orang yang banyak diam (tiada yang menjawab). Abu Musa kembali bertanya, sedang orang banyak tetap diam (mungkin kerana hormat atau takut). Lalu berkata Abu Musa Al-Asy'ari : Barang engkau Hiththan yang berkata itu? Aku (Hiththan) menjawab: Demi Allah, aku tidak berkata demikian. Aku takut kalau engkau akan memarahi saya kerana ini. Lalu berdiri sorang lelaki di tengah orang banyak dan berkata: sayalah yang berkata itu dan tidak ada yang saya maksud dengan perkataan itu selain kebajikan jua. Maka berkatalah Abu Musa Al-Asy'ari: Tidakkah kamu tahu, apa yang kamu ucapkan dalam sembahyang? Rasulullah s.a.w telah berkhutbah kepada kami menerangkan sunnah (sembahyang) kita, dan apa yang harus kita sebut di dalamnya. Berkata Rasulullah s.a.w : Bila kamu sembahyang, maka luruskanlah barisanmu, kemudian harus maju seorang menjadi imam. Maka apabila imam sudah bertakbir, maka baru kamu bertakbir, dan bila ia membaca, maka harus kamu mendengarkan, dan apabila imam berkata: Ghairil maghdhuubi alaihim wa ladh-dhallin, maka hendaklah kamu berkata: aaamiin. Allah akan mencintai kamu. Dan apabila imam sudah bertakbir dan rukuk maka hendaklah kamu bertakbir dan rukuk. Jadi imam rukuk sebelum kamu rukuk. Dan imam bangkit sebelum kamu bangkit. Berkata Rasulullah s.a.w: Maka itu dengan (sesudah) itu. Dan apabila imam mengangkat kepalanya dan berkata: Sami'allaahuliman hamidah, Maka angkatlah olehmu akan kepalamu dan katakanlah : Allahumma rabbana lakalhamdu. Allah akan mendengar ucapanmu itu. Dan apabila imam sudah bertakbir dan sujud, hendaklah kamu bertakbir dan sujud. Dan apabila ia telah mengangkat akan kepalanya dan bertakbir, maka hendaklah kamu mengangkat kepalamu dan bertakbir. Berkata Rasulullah s.a.w: Maka itu dengan (sesudah) itu. Dan apabila imam sudah duduk, maka yang pertama harus kamu ucapkan ialah: at-tahiyyatu lillahi wash-shalawaatu wath-thayyibaatu, sehingga kamu selesai dari tasyahhud.

Oleh yang demikian, sesiapa yang bertakbir bersama-sama imam adalah salah bererti meninggalkan apa yang diperintahkan Rasulullah s.a.w. Maksud yang jelas adalah apabila imam betul-betul bangkit dari rukuk atau sujud barulah makmum boleh bangkit. Sekiranya imam baru separuh bangkit dari rukuk atau sujud atau pelakuan lain dan makmum terus bangkit ini bermakna sembahyang berjemaah tersebut tidak sempurna.

Ketika imam membaca surah al-Fatihah, makmum mesti mendengar sehingga selesai dan mengaminkannya barulah makmum boleh membacanya..

Pernah berlaku di balaisah kampung saya ketika solat terawih di bulan puasa, imam membaca ayat tersangat laju dan pendek menyebabkan makmum tak sempat habiskan bacaan surah al-Fatihah kalau dibaca selepas mengaminkan bacaan. Jadi untuk sempat habiskan bacaan surah al-Fatihah, para makmum membacanya ketika imam belum selesai membaca surah tersebut dan sempat habiskan bacaan ketika imam membaca surah lazim.. Kerana terlalu mengejar 20 rakaat sehingga terlupa adab-adab sembahyang berjemaah.

Oleh itu, jagalah adab-adab sembahyang agar solat kita sentiasa sempurna dan diterima oleh Allah Taala sebagai suatu bekalan kita pada hari kekal kelak.

Thursday, October 22, 2009

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 2)

(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)

Meluruskan saf sebelum solat sangat dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w

1) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Luruskan saf (barisan) sejajar bahu, tutup tempat yang kosong, jgn sampai berdiri ditengah-tengahmu anak kambing dari syaitan-syaitan."
[Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dari Abu Umamah, berkata Al-Munzhiriy dalam at-Targhib: Sanadnya baik. juga diriwayatkan oleh Bukhari dari Anas. Juga oleh Abu daud, Nasa'i, Abnu Khuzaimah dan Ibnu Hibbah.]

2) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

" Adalah Rasulullah s.a.w bila berdiri di tempatnya untuk solat, tidak memulai takbir sebelum terlebih dahulu melihat ke kanan dan ke kiri, lalu memerintahkan orang banyak mensejajarkan bahu, lantas berkata: Janganlah kamu bersimpang siur (bengkok : tidak lurus) sehingga bersimpang siur hati kamu." [H.R Abu daud]

3) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

" Bahawa Rasulullah s.a.w berpaling pada suatu hari, maka beliau melihat seorang lelaki keluar dadanya dari saf, maka Baginda berkata: hendaklah luruskan bahu-bahumu itu, kalau tidak Allah akan pecah belahkan hati-hati kamu."
[Diriwayatkan oleh Muslim, Bukhari dan Abu Daud dari Nu'man Ibn Basyir]

Tiga hadis di atas menjelaskan bahawa meluruskan saf suatu amalan yang penting sebelum mendirikan solat. Selalunya kita sering mengabaikan keutamaannya dan menganggap itu hanya perkara yang remeh sahaja. Sedangkan kita lupa bahawa teguran Nabi s.a.w mengenai saf sebelum solat adalah suatu yang penting yang mana ia melibatkan hati sesebuah jemaah. Berdasarkan dari hadis di atas membuktikan bahawa meluruskan saf sebelum solat mempunyai kaitan dalam kehidupan seharian dan yang paling jelas bahawa untuk memperoleh khusyuk dalam solat juga berkaitan dengan saf.

Oleh itu, sebelum solat rapatkanlah saf dan betulnya mudah-mudahan kita akan memperoleh kenikmatan dalam solat.

Wednesday, October 21, 2009

Minta pendapat pembaca yang dihormati

Ada sepotong kata-kata yang didakwa berasal dari perkataan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang berbunyi lebih kurang begini:

"Jikalau benar Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah, Yang memberi rezeki, maka aku bersumpah tidak akan makan selama setahun sehingga Allah suapkan rezeki kepadaku"

Kata-kata tersebut pada asasnya mencabar kewibawaan Allah Taala, sedangkan Nabi s.a.w dan para Sahabat tidak pernah melakukan perkara tersebut. (berdasarkan pengetahuan saya).

Persoalan:-

1) Boleh kita sebagai hamba layak untuk ucapkan perkataan sebegitu?

2) Benarkah ini daripada kata-kata Syeikh Abdul Qadir al-Jailani atau ada org lain yang
menumpang nama beliau untuk dijadikan sandaran?

Saya amat berbesar hati kiranya terdapat di kalangan pembaca yang mempunyai pengetahuan mengenai persoalan ini.. diharapkan kebenaran terserlah agar kita semua dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari perbincangan ini.

Monday, October 19, 2009

Sampaikanlah maklumat yang betul!!!

Beberapa malam yang lepas, Jawatankuasa Surau Taman Saraya menjemput seorang penceramah untuk menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan Aidilfitri sebagai salah satu pengisian program untuk "Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Surau Taman saraya". Ceramah yang disampaikan oleg beliau sangat menarik dengan membawa beberapa contoh dan cerita untuk merangsang para jemaah agar memperbanyak ibadah terutamanya ibadah solat.

Namun demikian, ada satu contoh cerita yang dibawa oleh beliau yang saya sangat tidak setuju. Cerita tersebut tidak berapa logik untuk dinilai dan sangat tidak sesuai untuk dijadikan sebagai satu contoh walaupun dengan tujuan yang baik. Cerita yang bawa oleh beliau adalah kisah cucu Nabi s.a.w yang bernama Zainal Abidin / Zainuddin yang rajin melakukan ibadah solat terutama solat-solat sunat. Berdasarkan cerita yang disampaikan oleh beliau, cucu Nabi s.a.w ini telah melakukan ibadah solat sunat sebanyak 1000 rakaat setiap hari. Contoh yang diberikan ini sebagai satu motivasi untuk para jemaah semua agar memperbanyakkan ibadah solat terutama solat sunat.

Berdasarkan kiraan matematik, satu jam bersamaan dengan 60 minit. 24 jam adalah 1440 minit. 1440 minit kalau dibahagikan dengan 1000 rakaat maka 1 rakaat mengambil masa 1.44 minit. Bagi seorang yang kuat ibadah mana mungkin satu rakaat hanya 1.44 minit sahaja, paling kurang mengambil masa 2-3 minit satu rakaat tidak termasuk sujud. Satu solat sunat adalah dua rakaat jika dikira termasuk rukuk, sujud dan tahiyat maka masa yang diambil paling kurang 5 minit kecuali melakukan solat macam patuk ayam cuma ambil masa 3 minit sahaja. Kalau satu solat sunat mangambil masa 5 minit bermakna untuk mencapai 1000 rakaat mestilah 500 kali solat sunat. 500 x 5 = 2500 minit.

Oleh yang demikian mana mungkin seseorang mampu untuk melakukan solat sunat 1000 rakaat sehari semalam. Bila waktu solat fadhu berjemaah, berwudhuk, makan, mandi, buang air kecil dan besar..

Kita sebagai penceramah yang menyampaikan maklumat kepada khalayak ramai hendaklah berhati-hati kerana tersilap maklumat adalah besar natijahnya.. Cubalah teliti sebelum memberikan contoh dan cerita walaupun sekadar memberikan semangat dan rangsangan kerana banyak lagi cerita dan contoh yang sahih yang boleh diambil untuk diberikan pengajaran kepada para pendengar.

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 1)

(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)

Solat merupakan amalan yang sangat penting dalam menentukan kedudukan seorang hamba di hadapan Allah taala. Rosak solatnya maka akan cacatlah keseluruhan ibadahnya yang lain. Sebab itulah Allah Taala telah menegaskan bahawa solat itu dapat mencegah manusia dari melakukan perkara yang mungkar. Mengenai solat Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Akan datang pada suatu masa atas manusia, di mana mereka bersolat (bersembahyang) yang senbenarnya mereka tidak bersolat". (tiada maklumat tentang takhrij hadis, sila rujuk buku "Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal" m/s 9)

Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud:

" Kecelakaan (neraka wail) bagi si alim yang membiarkan si jahil, kerana tidak mengajarinya." (hadis dikeluarkan oleh Abu Yu'laa dalam masnadnya dari hadis Anas)

Persoalan sekarang adakah kita melaksanakan ibadah solat dengan pelakuan yang betul-betul dari Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya? Betapa malangnya kita yang telah bertahun melaksanakan ibadah solat termasuk solat-solat sunat tetapi semuanya tidak diterima bahkan dianggap tidak solat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. na'uzubillah min zaalik.

Oleh yang demikian yang hati yang insaf saya akan berusaha sedaya upaya membetulkan mana yang silap dengan kadar ilmu yang terbatas ini dan berusaha untuk menyampaikan kepada para pembaca maklumat-maklumat hadis mengenai solat sekadar yang termampu agar kita sama-sama menperoleh manfaat yang berguna dan semoga amal ibadah khususnya solat kita diterima oleh Allah Taala. Insya Allah....



Tuesday, October 13, 2009

Dapatkah anda terima tindakan begini?

Ada juga manusia zaman sekarang yang masih tidak bertamadun..












Friday, October 9, 2009

Bila lama tak menulis....

Disebabkan oleh kesibukan masa dan mood yang tidak istiqamah keinginan untuk menulis sebagai melatih diri ke arah menjadi seorang penulis pun menjadi semakin pudar. Hilang deria untuk mencari fakta kebenaran dan hilang rasa untuk membuat perbandingan. Sebab itulah Nabi s.a.w pernah bersabda yang mafhumnya lebih kurang berbunyi begini " amalan yang baik adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit" berbanding banyak benda yang mahu kita lakukan tetapi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Itulah yang dinamakan nafsu yang sentiasa ingin sesuatu yang lebih walaupun tahu kemampuan diri yang sangat terhad.

Kalau diikutkan banyak perkara yang ingin ditulis dalam ruangan ini setelah mengikuti beberapa perbualan dan perbincangan dengan sahabat seperjuangan tetapi bila menghadap komputer otak menjadi bejat, tak mampu untuk mengolah ayat yang baik untuk dinukilkan sebagai suatu catatan yang berguna kepada diri sendiri dan pembaca.

Novel "SETITIS EMBUN SEMARAK API" karya Shahnon Ahmad adalah sumber inspirasi saya untuk menjadi seorang penulis. Seboleh-boleh kiranya pembaca juga dapat memiliki buku tersebut sebagai panduan peribadi untuk menjadi seorang penulis. Saya juga cuba menerapkan penulisan ala-ala novel dalam tulisan saya lepas ini namun buat masa sekarang nampaknya masih belum nampak bakat tersebut. Saya sudah membaca beberapa buah novel kara Ramlee Awang Murshid dan saya sangat tertarik dengan jalan cerita dalam novel beliau terutama novel beliau yang bertajuk : 1) BAGAIKAN PUTERI, 2) CINTA SANG RATU, 3) HIJAB SANG PENCINTA. Jalan cerita yang cukup indah, garapan beliau dalam novel tersebut mampu membimbing pembaca ke arah kecintaan kepada Yang Maha Pencipta dengan mencipta watak sebagai seorang wali yang bergelar "Laksamana Sunan" yang berjuang menegakkan syiar islam dan menghapuskan syirik dan khurafat. satu ungkapan yang sangat melekat di hati saya dalam novel beliau adalah " SEBAGAI MANUSIA, AKU CINTA PADAMU" dan " LEBIH BAIK TERSALAH AMPUN DARI TERSALAH HUKUM"...

Itu saja catatan saya pada kali ini.. Insya Allah saya akan sambung penulisan seterus dalam perbincangan dan perbandingan Akidah Islamiyah..

Tuesday, September 8, 2009

Kalau nak pilih pemimpin: Pilihlah yang sentiasa solat berjemaah di masjid/surau

Pada masa sekarang, terlalu ramai manusia keliru dalam membuat pemilihan yang tepat. Lebih-lebih lagi bila ada di antara yang bertanding menjanjikan pelbagai habuan dan pembangunan demi memikat hati rakyat. Bila berada dalam situasi begini ditambah lagi dengan dengan kekurangan ilmu di dada boleh membuatkan fikiran menjadi keliru, tidak mampu untuk membezakan pemimpin mana yang baik dan pemimpin mana yang tak baik.

Kaedah yang paling senang tanpa perlu merujuk banyak teori dari kitab kuning atau kitab moden ialah dengan melihat calon pemimpin yang akan dipilih tersebut dari segi solatnya. Adakah solat calon tersebut sentiasa atau kerap berjemaah di masjid atau jarang sekali untuk berjemaah di masjid dengan alasan "sangat sibuk". Bahkan tidak pernah solat pun (mungkin ada).

Sebagaimana maklum, kita sebagai rakyat perlu bijak menilai calon pemimpin kita, dengan kebodohan kita maka dengan senang mereka akan memperbodohkan kita. Dah la kita bodoh diperbodohkan lagi, dah jadi dua kali bodoh. Tentunya kita tidak mahu sebegitu, cara yang paling senang, buatlah penilaian terhadap calon pemimpin tersebut dari segi solatnya.

Kenapa bab solat saja yang perlu di nilai? sebenarnya banyak lagi yang perlu kita nilai, tetapi persoalannya adakah kita mampu untuk menilai semuanya dengan kemampuan yang terbatas, masa yang terhad, jarak yang jauh dan kewangan yang tidak mencukupi. Jadi, cukuplah dengan menilai perjagaan solat mereka. Sekiranya mereka menunaikan amanah Allah Taala dengan sempurna, itu boleh diandaikan bahawa mereka ini berusaha untuk menunaikan hak Allah Taala, manakala mereka yang tidak solat sangat jelas mereka tidak berkehendakkan untuk menunaikan hak Allah Taala. Hak Allah pun tidak mahu tunaikan apatahlagi hak manusia.. itu secara logiknya. Tidak semestinya betul.

Calon pemimpin yang sentiasa menunaikan solat secara berjemaah pula bermakna mereka telah menunaikan hak manusia dalam konteks perhubungan masyarakat yang paling praktikal sekali pada masa kini. Tempat yang paling selesa dan nyaman yang tidak memerlukan dibayar dengan wang ringgit berbanding dengan hotel dan pusat-pusat perjumpaan yang lain, nak berjumpa pun kena bayar, itukan lebih membazir. Oleh itu, calon yang malas nak solat berjemaah di masjid/surau perlukah kita pilih mereka sebagai pemimpin? Sudah tentu nak berjumpa dengan masyarakat pun susah sekali, silap-silap haribulan kalau nak jumpa kena buat apointment... naya la jadinya. Selalunya mereka yang tidak suka solat berjemaah di masjid/surau ini senang dikaburi oleh ujian keduniaan, terlalu senang untuk dipengaruhi oleh orang-orang yang tidak beriman dan lalai. Maka sekiranya orang macam ini yang dipilih sebagai pemimpin tidak mustahil pusat-pusat hiburan tumbuh bertaburan di kawasan tersebut.

Saya tidak sempat untuk merujuk sebuah hadis yang sahih mengenai pentingnya solat berjemaah di masjid/surau, tetapi apa yang saya faham ia memberi maksud begini (bukan maksud hadis dari matan hadis) Nabi s.a.w sampai menyuruh membakar rumah mereka yang tidak hadir solat berjemaah dan menganai hadis Ummu Maktum yang bertanyakan perihal solat berjemaah kepada Rasulullah s.a.w, sedangkan Ummu Maktum adalah seorang yang buta, jawab Nabi s.a.w yang memberatkan solat berjemaah ini dengan memanggil semula Ummu maktum kemudian bertanyakan kepada Ummu maktum "apakah kamu mendengar azan" lalu Ummu Maktum menjawab :"ya", kalau demikian kamu kena hadir solat berjemaah, kata Nabi s.a.w . Itu orang buta, kita ini senang lenang, mata celik, badan sihat tak kan tak boleh nak solat berjemaah. Sebab itu lah saya katakan kalau nak pilih calon pilihlah mereka yang menjaga solat fardhu secara berjemaah insya Allah selamat dunia akhirat. Dan kalau ingin kehancuran dan kemurkaan Allah pilihlah yang tidak solat langsung...


Saturday, September 5, 2009

Berterusan melakukan dosa bererti mencabar kewibawaan Allah

Subuh kali ini saya solat berjamaah di surau at-Taqwa Taman Saga , Ampang. Jumlah jemaah di surau ini sangat membanggakan tidak seperti surau yang selalu aku kunjungi iaitu di surau Taman Saraya (Boleh rujuk blog ini www.surautamansaraya.blogspot.com), malah saya berasa sangat kerdil dan bersalah kerana saya sekarang menetap di Taman Saga tetapi menjadi ahli mukim Taman Saraya kerana tiap-tiap malam saya akan ke sana untuk solat Isya' bersama-sama dengan jemaah yang tidak seberapa di sana.

Apa yang istimewanya pagi ini adalah selepas solat subuh kami semua dihidangkan dengan juadah kerohanian yang disampaikan oleh ust. Syakirien (orang Perak). Kuliah beliau sangat menarik antara isi yang saya masih ingat daripada kuliah tersebut adalah:-
  • Hadis "sesungguhnya seafdhal jihad adalah jihad melawan hawa nafsu" adalah hadis palsu, mengikut beliau (lebih kurang begini) kemunculan hadis ini adalah pada zaman Ibnu Arabi. Hadis ini dicipta oleh golongan Yahudi untuk mengelirukan umat Islam agar tidak bersungguh melawan mereka kerana pada ketika itu suasana tegang antara Islam dengan yahudi kristian
  • Hawa nafsu manusia boleh dilemahkan dengan lapar, kerana semasa hawa nafsu dijadikan oleh Allah Taala, Allah Taala bertanyakan kepada hawa nafsu, siapakah AKU? namun dengan sombong hawa nafsu menjawab "aku adalah aku dan engkau adalah engkau". Kemudian hawa nafsu diselam dalam api neraka sehingga beberapa kali, namuh masih lagi angkuh sehinggalah dicabut nikmat makan, barulah hawa nafsu mengakui bahawa Allah Taala adalah tuhan dan dirinya adalah hamba.
  • Manusia bila dah tahu perkara itu adalah dosa tetapi masih mengulanginya adalah bererti mancabar kewibawaan Allah Taala.
Saya tertarik dengan "Manusia bila dah tahu perkara itu adalah dosa tetapi masih mengulanginya dan mengulangi sehingga beberapa kali adalah bererti mancabar kewibawaan Allah Taala" kerana saya sendiri pun tidak terlepas dari mengulangi dosa yang sama, bahkan mungkin ada yang diulangi setiap hari cuma kita tidak sedar apakah dosa tersebut. Astaghfirullahalazim....

saya teringat satu syair arab yang bermaksud begini " aku hairan bila manusia katakan bahawa mereka takutkan azab tuhan tetapi sentiasa melakukannya dosa dan aku lagi hairan bila manusia mengharapkan pahala dari Allah Taala tetapi malas hendak beramal" . Sama lah juga semua umat Islam membenci iblis dan syaitan dan pada masa yang sama yang mengikut telunjuk mereka orang ini jugalah... semoga kita sentiasa memperbaiki gaya hidup dan amalan kita kearah yang lebih baik.. insya Allah