(dipetik dari darulkautsar.net)
Beberapa Riwayat Batil Tentang Menghadiahkan Pahala Kepada Orang Mati
Untuk mensabitkan masalah menghadiahkan pahala kepada orang mati, ulama-ulama kita mengemukakan riwayat-riwayat yang terdapat dalam kitab al-Suyuti, iaitu Syarh al-Sudur dan beberapa kitab ulama muta`akhirin (ulama kemudian). Semua riwayat ini tidak disebutkan di dalam kitab-kitab ulama mutaqaddimin (ulama terdahulu) kerana ia sebenarnya dicipta oleh para tukang cerita untuk melariskan majlis-majlis mereka.
Kebanyakan kitab ulama muta`akhirin mengandungi riwayat-riwayat jenis ini. Sandaran dan rujukan al-Suyuti juga adalah kitab-kitab dari jenis ini dan beliau berdalil dengan riwayat-riwayat tersebut. (Sayangnya mereka yang mengutip riwayat dari al-Suyuti tidak memasukkan sekali komentar al-Suyuti berkenaan riwayat-riwayat tersebut – penterjemah).
Shah Abdul Aziz al-Dahlawi membahaskan perkara ini di dalam kitabnya Ujalah Nafi’ah dan Bustan al-Muhaddithin.
Kebanyakan riwayat tersebut dihukumkan oleh al-Suyuti dalam kitabnya al-La`ali al-Masnu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah sebagai hadis-hadis palsu.
Di antara beberapa contoh riwayat-riwayat tersebut ialah:
" من زار قبر والديه أو أحدهما يوم الجمعة فقرأ يس غفر له "
"Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripada mereka berdua pada hari Jumaat kemudian membaca surah Yasiin nescaya diampunkan untuknya."
Al-Suyuti menukilkan kata-kata Ibn ‘Adi yang menghukumkan riwayat ini sebagai batil. Di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang dituduh berdusta iaitu ’Amar bin Ziyad.
Ibn al-Jauzi mengemukakan rujukan Ibn ‘Adi dalam kitabnya al-Maudhu’at. Kata Ibn ‘Adi: "Hadis ini dengan sanad ini batil dan tidak mempunyai asal. ‘Amar dituduh berdusta dan dia menceritakan riwayat-riwayat yang batil serta mencuri hadis. Kata al-Daruqutni: Dia sering mereka-reka hadis.
Kemudian al-Suyuti mengemukakan rujukan daripada al-Tabarani sebagai syahid (sokongan) yang lafaznya:
من زار قبر أبويه أو أحدهما كل جمعة غفر له وكتب برا
"Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripada mereka berdua pada setiap hari Jumaat nescaya diampunkan untuknya dan dia dicatat sebagai orang yang melakukan kebajikan."
Kemudian al-Suyuti sendiri menulis: "Sanadnya terdapat Yahya bin al-‘Ala dan Muhammad bin al-Nu’man, dua orang yang tidak dikenali dan Abu Umayyah Abdul Karim, seorang perawi yang dha’if ".
Al-Suyuti juga mengemukakan satu riwayat daripada Ibn Umar dengan lafaz:
من زار قبر أبويه أو أمه أو عمته أو خالته أو أحد من أقربائه كانت له كحجة مبرورة ومن كان زائراً لهم زارت الملائكة قبره
"Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau ibunya atau saudara perempuan ayahnya atau saudara perempuan ibunya atau salah seorang saudara maranya pasti dia memperolehi pahala haji mabrur dan sesiapa menziarahi mereka pasti malaikat menziarahi kuburnya."
Kemudian al-Suyuti sendiri menulis pendapat Ibn Hibban iaitu hadis ini tidak mempunyai asal kerana perawinya, Abu Muqatil Hafs bin Sulaim sering meriwayatkan hadis-hadis mungkar.
Sekiranya diteliti dengan cermat, sebenarnya ketiga-tiga riwayat yang dikemukakan di atas, sama sekali tidak menunjukkan kepada sampainya hadiah pahala kepada si mati kerana ia menyebutkan tentang keampunan untuk orang yang menziarahi kubur bukannya keampunan untuk orang yang meninggal dunia.
Ada sebuah riwayat lain tentang menghadiahkan pahala yang berbunyi:
من مرّ بالمقابر فقرأ الإخلاص إحدى وعشرين مرة ثمّ وهب أجره للأموات أعطي من الأجر بعدد الأموات.
"Sesiapa melalui perkuburan dan membaca Surah al-Ikhlas dua puluh satu kali kemudian menghadiahkan pahala bacaannya kepada sekalian orang yang telah mati, nescaya diberikan kepadanya pahala sebanyak bilangan orang yang telah mati."
Allamah Muhammad Tahir Fattani menghukumkan riwayat ini maudhu’ dan riwayat ini ada dalam nushkah yang dinisbahkan kepada Abdullah bin Ahmad.
Mungkin kerana untuk menggalakkan supaya orang bertawaf di kubur-kubur, pereka hadis ini berlebih-lebihan dengan menjanjikan pahala yang sama dan serupa kepada semua orang mati. Apakah bilangan ini merangkumi semua orang mati yang ada dalam bumi ini atau riwayat ini khusus mereka yang tertentu sahaja? Apakah orang bukan Islam pun termasuk juga di kalangan mereka yang mendapat manafaat ? Jawapan kepada perkara-perkara ini hanya akan diketahui dengan cara mendedahkan isi kubur! Pada pandangan kami, ilmu ghaib itu hanya di sisi Allah s.w.t. dan kami berlepas diri daripada semua kebatilan dan kekarutan ini. Semoga Allah memberi taufiq kepada umat ini untuk mengikuti Syariat-Nya. Amiin.
Saringan oleh Mohd Hanief Awang Yayha dari tulisan asal oleh Allamah Habibur Rahman al-Kandahlawi
No comments:
Post a Comment