Tuesday, June 16, 2009

Lagi berita mengenai AHBASH

Ahbash dibongkar kesesatannya

Seorang tokoh ulamak terkenal di bidang aqidah al-Syeikh Dr. Safar al-Hawali telah ditanya tentang kumpulan Ahbash adakah mereka ini di kalangan ahli sunnah wal jamaah seperti mana yang didakwa oleh mereka:
Syeikh menjawab:

Sesungguhnya mereka yang beraqidah dengan aqidah yang sahih di Lubnan sering diperangi oleh setiap puak yang dengki dan iri hati terhadap ahli sunnah wal jamaah.

Seperti yang kamu semua ketahui, di Lubnan kesemua kumpulan dan agama yang wujud di atas muka bumi ini semuanya ada di Lubnan. Di tambah pula dengan masyarakat ahli sunnah yang berlumba-lumba di dalam perkara yang bid’ah dan kesesatan yang banyak.

Antara perkara yang disebarkan di sana ialah Aqidah Jahmiyyahyang buruk yang berselindung di sebalik Asy’ariyyah. Kamu semua mengetahui perbezaan Aqidah Abu al-Hassan al-Asy’ari yang telah kembali kepada Aqidah ahli sunnah wal Jamaah dengan AqidahJahmiyyah yang mereka ini menafikan bagi Allah itu sifat-sifat. Lalu mereka menafikan sifat al-Uluw (ketinggian) bagi Allah, mereka mengubah Kalamullah Azza wajalla, mereka menyatakan iman itu hanya di dalam hati, (fahaman murjiah), dan di dalam masalah Qadar mereka menghampiri mazhab Jabariyyah,

Kumpulan Jahmiyyah ini yang berada di Lubnan di kepalai oleh seorang lelaki dari Habasyah. Lihatlah bagaimana Allah menguji bumi Lubnan dengan sekian banyaknya ujian dan cubaan. Muncul lelaki dari Habasyah ini dan pergi ke Lubnan yang sebelumnya dia telah mempelajari kitab-kitab Al-Asy’ariyyah dan ilmu kalam, sekarang mengajar pula masyarakat di Beirut Aqidah ini. sehingga tersebar ajarannya dengan pengikut-pengikutnya yang bersenjata bergerak secara militan (pengganas). Memaksa orang lain supaya mengikut Aqidah Jahmiyyah dengan dakwaan itulah Aqidah yang diterima oleh Allah dan konon-kononnya itulah Aqidah ahli sunnah.

Inilah dia Abdullah al-Habasyi yang menetap di Beirut. Pengikut-pengikutnya dikenali dengan nama al-Ahbash. Mereka inilah yang berada di atas Aqidah (yang disebutkan) yang sesat lagi menyesatkan. Wal’iyazubillah.

Mereka membunuh seorang pemuda ahli sunnah disebabkan pemuda ini tidak sependapat dengan mereka di dalam masalah sifat al-Uluw bagi Allah. Pemuda ini telah menulis sebuah kitab yang bertajuk “Istbat ‘Uluwwillah Ta’ala ‘ala Khalqihi” bermaksud menetapkan sifat al-Uluw bagi Allah ke atas makhluqNya. Mati pemuda ini syahid Insya Allah, Rahimahullahu Ta’ala.

Aqidah yang seperti mereka katakan, Allah itu tidak di atas, tidak di bawah, tidak di dalam alam, tidak di luar alam meruapakan Aqidah yang bathil. Maha suci Allah dari apa yang mereka katakan. Aqidah ini berasal dari falsafah Yunani, Wathaniyyah yang dibawa oleh mereka kemudian di namakan sebagai ilmu kalam. Akhirnya mereka mendakwa inilah dia aqidah ahli sunnah wal Jamaah.

Tetapi kumpulan Ahbash ini mengajarkan aqidah yang bathil ini. Fallahul musta’an. Alhamdulillah Habasyi ini telah pun adasebahagian dari kalangan ahli sunnah yang mengkritik dan menjawabnya, begitu juga sudah ada kitab-kitab yang menjawab mereka. Tulisan-tulisannya (Habasyi) sangat menunjukkan kedangkalannya, mana-mana sahaja penuntut ilmu yang membacanya mampu untuk menjawabnya dengan mudah.
(Syeikh menjawab ketika sesi soal jawab perjumpaan mingguan, kaset yang ke 40)


Ditambah pula dengan kata-kata pegarang "Fiqh Islami wa Adillatuh" DR Wahbah Zuhaili, yg direkod sewaktu kedatang beliau ke Malaysia. Saksikan video ini.


Sunday, June 14, 2009

Berapakah jumlah Aliran Pemikiran Islam Di Malaysia Sekarang?

Dalam banyak artikel yang saya baca yang membincangkan mengenai aliran pemikiran dalam Islam khususnya di Malaysia ini, rata-rata kandungan perbincangan tersebut mesti mengaitkan tentang Syi'ah, Ahlul Sunnah Wal (ASWJ), Muktazilah, Khawarij dan wahabi. Sedangkan banyak di kalangan yang berilmu yang menyampaikan kepada pendengar-pendengar samada di surau atau dalam forum suatu pandangan yang pelik tetapi tetap mengakui bahawasanya dia tergolong dalam ASWJ dan senang-senang melemparkan tuduhan kepada aliran lain salah dan sesat.

Banyak cara yang digunakan oleh golongan ini bagi menyampaikan mesej mereka dengan mengadakan ceramah atau forum dengan menggunakan tajuk yang sangat panas dan sensasi seperti " bahaya kemunculan Syi'ah" "Berwaspada dengan ajaran Qadiani" atau "jenayah Wahhabi". Golongan ini sewenang-wenang menyesatkan Sayyid Qutb, menghentam Syeikh Albani, mengutuk al-Qaradhawi dan membuat tuduhan tidak berasas kepada Wahbah Zuhaily dan banyak lagi dengan kata-kata sesat dan pembohongan yang dibuat. Namun begitu mereka bijak berselindung atas nama ASWJ dan menyatakan bahawa merekalah yang paling benar. Mereka ini bukan dari kalangan orang biasa bahkan menduduki jawatan kerajaan yang tinggi terutamanya dalam bidang pentadbiran Islam.

Tanpa kita sedari, kita terlupa satu lagi kumpulan aliran Islam yang baru wujud pada masa kini iaitu "AL-AHBASH"... Aliran yang diasaskan oleh Syeikh Abdullah al-Harari yang sangat memusuhi Wahabi kini sedang menular di kalangan pegawai-pegawai agama dan penuntut Universiti di negara ini. Aliran ini sangat membencikan Dr. Asri Zainul Abidin, Dr. Juanda Jaya, Ust. Zahazan, Abdullah Yassin dan ramai lagi dengan memberikan pelbagai label yang buruk sebagai penghinaan untuk mereka.

Oleh yang demikian, apabila kita ditanya berapakah jumlah aliran pemikiran Islam yang terdapat dalam dunia masa kini maka jawablah "SYIAH, WAHABI, QADIANI, MUKTAZILAH, KHAWARIJ, AHBASH, ASWJ, SALAFI DAN KHALAFI"... Dan elok benar kiranya ada pengkajian baru untuk kesemua aliran ini sebagai perbandingan untuk mencari kebenaran yang sebenarnya.....................

Saturday, June 13, 2009

Sekitar Mesyuarat Agung Surau Taman Saraya kali ke-15

Pada hari ini bertarikh 13 jun 2009 berlangsung Mesyuarat Agung Surau bagi membuat pemilihan jawatankuasa baru setelah pengerusi sedia ada berhasrat untuk mengundurkan diri untuk memberikan tumpuan kepada jawatan yang baru dipangkunya sebagai pemangku ketua bahagian umno.

Di awal pemilihan tersebut berlaku sedikit perdebatan yang agak panas tetapi sekejap saja dan proses pemilihan berlansung seperti yang dirancangkan pada selepas itu. Saya yang dulunya menjadi sebagai Imam ketiga ditawarkan untuk memegang jawatan Imam satu tetapi saya menolak dengan baik kerana jawatan tersebut tersangat berat untuk dipikul memandangkan kemampuan iman dalam diri yang sangat sedikit. Komitmen yang sangat penting sebagai imam untuk meneruskan aktiviti harian siang dan malam sedang diri sendiri hanya mampu pada waktu isyak saja adalah sangat tidak munasabah untuk menerima jawatan tersebut. Biarlah orang lain yang lebih berhak untuk memikulnya.

Pengerusi baru telah dipilih sebulat suara tanpa ada pertandingan kerana jumlah hadirin hanya cukup-cukup korum untuk meneruskan mesyuarat pada malam tadi. Saya sangat tidak berpuas hati dengan pemilihan pengerusi baru ini kerana pada jawatankuasa yang lepas beliau sudah memegang jawatan sebagai timb. pengerusi dan juga imam dua tetapi atas nama saja dan tidak mampu untuk membuktikannya sebagai seorang pemimpin yang berkesan. Lagipun jawatan imam yang disandang beliau tidak dilaksanakan dengan baik kerana beliau banyak menghabiskan waktu solat di tempat lain bukan di surau kariahnya. Jawatan yang lepas pun tidak dilaksanakan dengan baik masakan dapat memikul amanah yang sangat besar sebagai pengerusi surau.

Dalam mesyuarat tersebut saya rasa ada terdapat sedikit ketidakjujuran kerana semasa bendahari membentangkan kewangan, ruang untuk juru audit tanda tangan tidak disertakan cuma diberikan ruang kosong tanpa sebarang pegakuan untuk ditandatangan. Lagipun hanya seorang saja dari dua orang juru audit yang menandatangani penyata kewangan tersebut. Bagi saya itu adalah satu kegagalan bendahari menjalankan tugasnya dengan baik. Dan sepatutnya diusulkan penangguhan pembentangan tersebut tetapi dalam mesyuarat malam tadi diluluskan dengan sokongan penuh bekas pengerusi yang lepas. Saya ada bertanyakan prosedur pembentangan kewangan yang sepatutnya kepada bekas pengerusi yang menjadi pengerusi sementara bagi pemilihan jawatankuasa malam tadi, beliau berkata tidak ada undang-undang yang mewajibkan pengesahan daripada juru audit sebelum dibentangkan dalam mesyuarat. Jawapan yang agak pelik semata-mata untuk mempertahankan pembentangan penyata kewangan tersebut.

Apa pun, bagi jawatankuasa yang baru ini diharapkan menjalankan tugas dengan amanah dan ikhlas, walaupun saya menolak untuk jawatan imam tetapi saya terima jawatan AJK Surau bagi membolahkan saya memberikan pandangan dan cadangan yang terbaik mengikut kemampuan saya semata-mata untuk mengimarahkan surau yang kini agak suram dek perbalahan sesama saudara.

Saturday, May 30, 2009

7 GOLONGAN YG MENDAPAT NAUNGAN ‘ARASY ALLAH SWT




Hadith:

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.." (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)


Huraian:

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu:

a) Pemerintah yang adil

Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.

b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya

Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid

Sesungguhnya terdapat hadith yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.

d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah

Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripadaNya.

e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!"

Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.

f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya

Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya' dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakukannya itu.

g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah

Inilah sifat muslim mu'min sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifatNya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.


~ laman JAKIM

Berjalan bermusafirlah!!!

Pagi esok lebih kurang pukul 9.00 pagi insya allah aku sekeluarga akan bertolak balik kampung. Perjalanannya akan melalui negeri Terengganu sebelum ke Machang, Kelantan. Sengaja buat keputusan ikut Terengganu kerana mahu menghirup udara segar negeri orang sambil melepaskan tekanan kerja yang tak kunjung habis lagipun baru saja selesai ujian pertengahan tahun. Mengikut perancangan, sebelum ke Terengganu akan singgah sekejap untuk makan tengah hari di Cherating dan ambil angin kat situ lebih kurang sejam dua kemudian terus ke Kuala Terengganu kerana adik sedia menunggu kami apabila sampai disana nanti. Bila berada di sana, antara tempat yang akan dikunjungi adalah masjid kristal di pulau duyung (kalau tak silap) dan kawasan-kawasan yang berdekatan di situ. Kemungkinan akan bermalam di situ sebelum bertolak balik keesokan harinya.

Nak pergi melancong macam orang kaya sudah tentu tidak mampu kerana kekangan kewangan yang sangat terhad, sekadar jadi cikgu sekolah rendah lupakan saja nak melancong keluar negeri cukuplah dalam negeri saja tu pun tak habis nak lawat. Apa pun demi menyahut seruan ilahi yang menggalakkan kita supaya memjelajah bumiNya ini supaya kita dapat mengambil iktibar pada setiap keagungan ciptaanNya.

Perbincangan Sia-Sia

Empat hari yang lepas selepas solat isya' di surau Taman Saraya, aku singgah di salah satu kedai makan di kawasan Taman Saraya kerana menerima jemputan seorang kawan. Dengan berpakaian baju melayu dan berkain sarung aku memulakan perbualan kosong untuk memenuhi agenda perbualan termasuklah agenda pemilihan jawatankuasa surau yang akan dibuat pada 13 Jun 2009 ini. Sedang asyik bersembang dengan kawan-kawan yang rata-rata umur mereka berbeza 15-20 tahun lebih tua dari ku. Seorang daripada mereka bertanyakan kepada satu soalan yang cukup bodoh bagi ku namun demi menghormatinya yang sangat lebih tua dariku maka aku layan soalannya dengan penuh berhati-hati. Soalanya begini " Boleh atau tidak nabi kita panggilkannya ulama' " terkejut juga bila soalan seperti itu ditujukan kepada ku. Lalu ku soal balik kepadanya " Boleh atau tidak orang yang ada PHD kita panggil dia dengan level Master"? atau "Boleh atau tidak orang yang dapat gelaran TUN tapi kita masih panggil dia dengan gelaran DATO' SERI"? Dengan tanpa sebarang keputusan dia alih tajuk mengenai maksum. Aku rasa penjelasannya mengenai maksum itu tidak tepat dan kemungkinan boleh terseleweng tapi aku pun kurang pasti. Mengikut pendapatnya, maksum itu bermaksud rasul tidak pernah membuat sebarang kesilapan tetapi aku rasa maksum itu bermaksud rasul akan diampunkan segala dosa yang lepas dan akan datang. Maka berlakulah perbincangan yang panjang dengannya. Tapi lepas itu aku terus naik angin bila kita berikan pendapat, dia buat-buat tidak dengar dan sengaja berbual-bual dengan kawan yang lain tanpa memikirkan jarak perbezaan umur aku terus tinggikan suara supaya dia tahu aku serius dalam perbincangan ini.

Apa-pun ini lah di antara perbincangan yang sia-sia yang aku lalui pada malam itu. Dan orang semacam ini tidak elok untuk dibuat berbincang tapi tak boleh dibiarkan kerana dia menyebarkan kepada orang lain yang kurang pengetahuan dalam ilmu agama. Lama-lama akan membahayakan akidah orang lain.

Friday, May 29, 2009

Ujian buat Al-Qaradhawi

Al-Qaradawi Yang DizalimiFeb 1, '08 3:18 PM
for everyone
Oleh: Bakariah Musa
Di dalam buku Fatawa Mu'asarah (Fatwa Masakini) jilid ke-3, al-Qaradawi telah mendedahkan bagaimana dirinya telah dizalimi. Dizalimi di sini bukanlah bermaksud beliau dipenjara, disiksa ataupun dituduh sebagai pengganas. Semua kezaliman tersebut pernah beliau lalui dan telah berjaya beliau atasi. Kezaliman yang beliau bawakan di dalam buku tersebut amat berat dan amat menguji keimanan beliau. Kezaliman tersebut adalah di dalam bentuk fitnah dari mereka yang mengaku diri mereka Muslim yang sebenar. Kezaliman tersebut datang dari dua pihak yang saling bermusuhan. Menariknya, di dalam isu al-Qaradawi mereka bersepakat.

Satu pihak mengkafirkan beliau, manakala satu pihak yang lain pula telah menyesatkan, dan tergamak menggelar beliau sebagai "anjing". Pihak pertama yang mengkafirkan beliau adalah kumpulan Ahbash, manakala pihak yang kedua pula adalah kumpulan Salafi jalur keras. Sudut yang menarik, kedua-dua pihak tersebut saling bermusuhan. Kumpulan Ahbash mengkafirkan puak Salafi secara umum. Puak Salafi jalur keras pula menyesatkan puak Ahbash, namun dalam kes al-Qaradawi mereka bersetuju di antara satu sama lain. Seperkara yang menakutkan ialah kedua-dua kumpulan ini telah sampai di Malaysia. Siapakah mereka?, artikel ini akan cuba mengupasnya.

Al-Qaradawi bukanlah seorang ulama yang asing pada masa kini. Keilmuannya, ketokohannya, malah keunggulan beliau bukanlah sesuatu yang diragui. Sebagai ulama yang menjadi rujukan hampir dalam setiap lapangan ilmu di zaman moden ini, beliau amat diminati dan dikagumi ramai. Beliau amat konsisten di dalam menyikapi isu-isu umat. Selain daripada kesungguhannya untuk menyebarkan dakwah, al-Qaradawi juga terkenal dengan sikap perjuangannya. Kebersamaan beliau dengan umat Islam lewat isu-isu berkaitan umat di peringkat antarabangsa menjadikan beliau amat berbeza dengan ulama-ulama lain di seluruh dunia. Isu Palestin, isu Iraq, isu Afghanistan dan semua isu melibatkan umat merupakan kepedulian beliau.

Di dalam bidang fiqh pula, beliaulah mujadidnya. Di dalam bidang dakwah, beliau juga merupakan seorang pejuang. Di dalam bidang hadis, tulisan-tulisan beliau telah berjaya mempopularkan perjuangan ulama hadis sezamannya. Di dalam bidang politik, beliau merupakan seorang mentor. Pendekata, jika ada yang ingin menamakan "mujaddid" di zaman ini, maka al-Qaradawi merupakan orang yang paling layak untuk gelaran tersebut di dalam abad ini.

Malangnya mujaddid ini telah dikafirkan. Kumpulan ekstrimis Ahbash telah mengkafirkan beliau kerana pegangan agamanya yang sederhana. Beliau juga telah dikafirkan kerana sikap keterbukaannya. Beliau juga telah dikafirkan kerana sikap ilmiah beliau yang sanggup menerima ijtihad ulama sezamannya. Beliau juga dikafirkan kerana pegangan dakwahnya. Beliau juga dikafirkan kerana pegangan aqidahnya yang mengikuti metod para salafusoleh. Beliau dikafirkan oleh kumpulan ini juga kerana manhaj beliau tidak seperti pendirian kumpulan ekstrimis Ahbash yang fanatik mazhab Shafii di dalam fiqh dan ekstrim mazhab ilmu kalam di dalam berakidah.

Kumpulan ekstrimis Ahbash ini berasal dari Lubnan. Kumpulan ini telah diasaskan oleh Abdullah Harari yang berasal dari Habsyah. Beliau telah dihalau keluar dari negerinya kerana fitnah yang telah ditimbulkan olehnya di kalangan ahli masyarakat di sana. Beliau melarikan diri ke Lubnan. Di Lubnan beliau telah merekrut ahli-ahli yang taksub dengannya. Berbekalkan fanatisme kepada mazhab Shafii di dalam fiqh dan juga ekstrimisme di dalam mazhab Abu Hassan al-Asyari di dalam akidah, beliau telah memulakan dakwahnya. Beliau menjadikan "takfir" sebagai senjata utama di dalam mengembangkan dakwah. Segala pendapat yang bertentangan dengan fikrahnya dianggap kafir. Ulama-ulama terkemuka telah beliau kafirkan seumpama Ibnu Taymiyah, Ibn Qayyim dan lain-lain. Beliau juga menjadikan tema mengkafirkan Muhammad bin Abdul Wahab sebagai jalan untuk menghasut orang agar bersetuju dengan fikrahnya. Beliau juga mengkafirkan Hassan al-Banna dan Syed Qutb. Yusuf al-Qaradawi merupakan di antara mereka yang dikafirkan oleh beliau dan para pengikutnya. Lebih lancang lagi, mereka juga telah mengkafirkan ulama-ulama kontemporari yang lain seperti Said Ramadan al-Buti, Abdul Aziz Bin Baz, Dr Wahbah al-Zuhayli, Syeikh Mahmud Syaltut, Syed Sabiq dan kebanyakan ulama moden dan juga pemimpin tarekat sederhana seperti Jibril Haddad, tokoh tarekat Naqshabandi zaman ini.

Kumpulan ini telah mengamil langkah menyusup masuk ke adalam jabatan-jabatan agama di Lubnan, Syria dan Jordan. Kementerian Waqaf (agama) di Jordan pada satu waktu dahulu telah dipengaruhi oleh kumpulan ini. Mereka telah menyokong Israel yang ebrdamai dengan rejim al-marhum Raja Hussein demi menempatkan diri mereka di dalam hati pemimpin Jordan. Mereka telah menghantar imam-imam Ahbash untuk menghasut masyarakat agar mengkafirkan sesama Muslim. Bertemakan "memerangi fahaman Wahabi" mereka berakhir dengan mengkafirkan umat Islam dan para ulamanya. Jordan, bertuah, pada akhirnya pengaruh kumpulan ini akhirnya telah berjaya dibendung. Para imam Ahbash akhirnya telah dibuang dari tempat masing-masing. Di Lubnan, mereka akhirnya telah diharamkan selepas peristiwa pembunuhan Rafiq Hariri. Rekod telefon Hariri menunjukkan perbualan terakhir beliau adalah bersama salah seorang pimpinan tertinggi Ahbash. Kumpulan ekstrimis yang dikenali sebagai pro-Syria ini disyaki terlibat di dalam peristiwa pengeboman tersebut. Tidak mustahil juga beliau bersekongkol dengn Syiah di dalam usaha membunuh Hariri yang berketurunan Saudi. Kini, kumpulan ini begitu berpengaruh di Syria.

Kumpulan ini sering menjadikan "fahaman Wahabi" sebagai kambing hitamnya. Sepertimana golongan Syiah juga, slogan anti-Wahabi itu akan berakhir dengan isu takfir. Kumpulan ini juga telah mengkafirkan Muawiyah sahabat Rasulullah SAW seperti golongan Syiah. Di Jordan, kumpulan ini mempunyai sahabat setia mereka yang berkongsi fikrah "takfir", iaitu Hassan al-Saqqaf. Al-Saqqaf terkenal sebagai seorang yang gemar mengkafirkan Ibnu Taimiyah dan ulama-ulama besar yang lain. Seperti Syiah dan Ahbash, beliau juga mengkafirkan Muawiyah bin Abi Sufian, sahabat besar Rasulullah SAW. Kini kumpulan ini mula berkembang di Malaysia.

Mungkin ramai pihak merasa pelik melihat perkembangan terkini Islam di Malaysia. Isu Wahabi bukanlah satu isu yang besar satu waktu dahulu. Malah, Muhammad bin Abdul Wahab telah dianggap sebagai salah seorang mujaddid di kalangan gerakan-gerakan dakwah dan kumpulan Islam di Malaysia. Umat Islam pasca kebangkitan Islam di Malaysia juga amat menghormati adab berbeza pendapat. Malangnya kedatangan pengaruh kumpulan ini ke Malaysia telah mengubah segalanya. Secara tiba-tiba perjuangan "memerangi Wahabi" muncul. Selari dengan usaha AS memerangi keganasan, usaha memerangi "Wahabi" muncul di Malaysia. Sesuatu yang menarik, modus operandinya sama seperti di Jordan. Jika Kementerian Waqaf (agama) telah digunakan di Jordan. Di Malaysia, JAKIM pula sedang diintai untuk mereka tunggangi. Sesetangah jabatan agama negeri juga sedang cuba dipergunakan untuk menjayakan misi Ahbash melalui orang-orang yang telah mereka susupkan ke dalam badan-badan tersebut. Sehingga kini, mereka telah berjaya mempengaruhi beberapa tokoh agama tempatan. Hal ini bukan lagi rahsia.

Kini sudah mula kedengaran di Malaysia suara-suara "takfir". Dr Yusuf al-Qaradawi juga tidak terlepas dari perbuatan keji kumpulan berkenaan. Gejala takfir ini semakin merebak dan amat mengerikan umat Islam di Malaysia. Bertopengkan memerangi "fahaman Wahabi", kumpulan Ahbash terus bergerak subur di Malaysia untuk menimbulkan fitnah.

Di satu sudut yang lain, al-Qaradawi juga telah dikafirkan oleh kumpulan Salafi jalur keras. Kumpulan yang sentiasa menjadikan tulisan-tulisan dan pemikiran-pemikiran Rabi' Madkhali dari Madinah dan Muqbil Hadi dari Yaman juga tidak kurang kelancangannya. Kumpulan ini menolak ulama-ulama selain dari ulama Saudi dan Salafi yang ekstrim. Mereka juga menyesatkan kumpulan-kumpulan dakwah bealirankan gerakan Islam. Mereka juga memerangi pendapat ulama-ulama yang tidak selari dengan pendapat mereka. Mereka tidak teragak-agak untuk menuduh pihak yang tidak sefahaman dengan mereka sebagai sesat, ahli bid'ah, zindiq, malah al-Qaradawi telah digelar sebagai "anjing".

Amat malang sekali, kumpulan ini juga mula menular di Malaysia. Mereka telah mengakui bahawa mereka adalah pejuang aliran Salafi yang sebenar. Mereka juga menamakan diri mereka sebagai "Salafi Original". Mereka sanggup untuk menyesatkan aliran salafi yang lebih majoriti (di Malaysia) kerana tidak bersama kefanatikan mereka di dalam menyesatkan al-Banna, Syed Qutb dan juga al-Qaradawi. Kumpulan ini sanggup menghabiskan waktu mereka untuk menghebohkan kepada rakyat Malaysia bahawa Hassan al-Banna, Syed Qutb dan Yusuf al-Qaradawi sebagai sesat lagi menyesatkan yang lain. Mereka juga sanggup untuk menerbitkan risalah-risalah untuk tujuan tersebut. Di kala kumpulan Ahbash sedang giat memfitnah golongan Salafi dengan mengatakan bahawa kumpulan Salafi adalah kumpulan sesat dan ekstrimis, kumpulan ini seakan mengiyakannya. Mereka bertemu di dalam persoalan ini. Kesimpulannya, al-Qaradawi sekali lagi menjadi mangsa.

Umat Islam di Malaysia kali ini benar-benar diuji. Di kala masyarakat Islam sedang diancam pelbagai isu moral dan kerosakan akidah, dua kumpulan ini muncul. Kemunculan mereka hanya mengeruhkan lagi masa depan Islam yang semakin terhakis di Malaysia. Apakah perlu al-Qaradawi dijemput ke Malaysia untuk merawatinya?

Friday, May 22, 2009

Allah berada di mana?

Akhir-akhir ini banyak suara-suara yang membincangkan mengenai keberadaan Allah s.w.t. Ada yang mengatakan bahawa Allah Taala berada di suatu tempat dan dalam kedudukan yang tertentu. Dan ada juga yang lantang menyuarakan pendapat bahawa Allah Taala tidak bertempat..
Namun apa yang jelas adalah semua pendapat-pendapat tersebut bagi saya mempunyai alasan masing-masing tanpa niat untuk memburukkan dan menghina Allah Taala.

Bagi mereka yang mengatakan bahawa Allah berada di suatu tempat, mungkin pendapat mereka berdasarkan isra' dan mikraj yang mana Rasulullah s.a.w menghadap Allah Taala di Sidratul Muntaha suatu tempat yang tak tercapai oleh manusia biasa kecuali yang terpilih sahaja. Apakah dengan berpendapat demikian terus dituduh memyebarkan fahaman yang salah? Dengan tidak menafikan bahawa Allah Taala adalah meliputi (Muhith) yang mana Allah sebenarnya berada di mana-mana sahaja kerana Allah Taala Maha Berkuasa yang tidak terbatas mana mungkin boleh dikatakan bahawa Allah hanya bertempat itu sahaja. Tetapi sebagai simbolik kepada kedudukan Allah yang Maha Tinggi maka mereka yang berpendapat Allah berada di Sidhratul Muntaha suatu tempat yang melambangkan ketinggian darjat dan kekuasaanNya.

Bagi mereka yang bertegas mengatakan Allah tidak bertempat pun betul juga kerana memang Allah Taala tidak berada hanya pada satu tempat sahaja berdasarkan salah satu Nama-Nama Allah (Muhith) iaitu meliputi yang membawa pengertian Allah meliputi di segenap alam.

Apa yang jelasnya, kita tidak perlulah memberatkan persoalan ini dengan menuduh sebahagian yang lain sebagai satu fahaman yang salah, dan saya yakin yang menyampaikan fahaman tersebut bukan dengan niat menyeleweng fakta sebenar tetapi mengambil maksud zahir daripada dalil-dalil yang ada sekarang ini dan tidak berani untuk membuat sebarang takwilan.

Apa pun, ini hanya pendapat saya sahaja, kiranya pembaca lebih mengetahui perkara ini saya sangat mengalu-alukan pendapat pembaca agar kita dapat sama-sama kongsikan pendapat dan ilmu supaya kita semua mendapat kebenarannya. Eloklah sangat kalau disertakan alamat blog pembaca pada ruangan pesanan untuk rujuki pada masa-masa akan datang...

sekian terima kasih...

Tuesday, May 19, 2009

Berhati-hati dengan jampi ustaz dukun

Jampi Perangai

Soalan: Ibu saya ada mengambil air jampi dari seorang ustaz untuk diminum oleh ayah yang mempunyai perangai yang buruk. Ustaz itu menyuruh dicampurkan air tersebut dalam minuman ayah tanpa disedarinya. Apakah hal ini diajar oleh Islam?

Jawapan: Tidak dinafikan baginda Nabi s.a.w pernah menjampi penyakit seperti mana baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih.

Namun dakwaan bahawa dengan air atau kismis atau apa bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi s.a.w. sendiri.

Baginda tidak menjampi kaum Quraish agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi s.a.w akan menjampi telaga zam-zam kerana itu sumber air Quraish ketika itu. Pasti Quraish akan berubah apabila terminum.

Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik.

Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah s.w.t.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 256-257(maksudnya): “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (iman). dan orang-orang yang engkar, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sunday, May 17, 2009

Zamihan Al-Ghari: Sejauhmanakah kejujuran beliau mengenai Syeikh Albani?


Post new topic Reply to topic
View previous topic
Printable version
View next topic
Author Message
mohamadfaizal
Martabat 1
Martabat 1


Joined: Aug 13, 2008
Posts: 5
Location: putrajaya
Post Posted: Apr 12, 2009 - 04:38 PM Reply with quote Back to top
Post subject: SJ-13-0537 : Pendapat Ganjil Syeikh Al-Albani

(Soalan)
salam, saya keliru dan inginkan penjelasan... saya membaca satu laman web dari zamihan al gharri... dalam tulisannya ditulis

Jika kita membuka lembaran fatwa yang melibatkan al-Albaani, khususnya bab feqah, disana terdapat beberapa fatwa syadz al-Albaani yang bertentangan Ijmak ulamak. Contohnya masalah wajibnya dipindahkan maqam Nabi SAW dari masjid Nabawi al-Syarif kerna maqam tersebut dianggap sebagai berhala. Nauzubillah. Ummuhatul Mukninin didakwa beliau harus utk berzina dengan lelaki lain selepas kewafatan Nabi SAW. Umat Islam Palestin wajib keluar dari Palestin kerana tidak berkuasa melawan Yahudi dan macam lagi fatwa pelik tapi benar2 berlaku. Dan direkodkan dalam kitabnya. Apakah kita harus berdiam diri sahaja dan terus menyanjunginya. Tanpa menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan beliau. Masya Allah.

saya inginkan penjelasan dari pihak tuan... terima kasih saya dahulukan

View user's profile Visit poster's website Yahoo Messenger
Abu_Umair
Panel Feqh
Panel Feqh


Joined: Jan 21, 2007
Posts: 1287
Location: K.S.A
Post Posted: May 14, 2009 - 04:09 PM Reply with quote Back to top


(Jawapan)

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد


- Pendapat-pendapat Syeikh ALbani tidak boleh diambil dari laman web atau blog orang yang memusuhi beliau. Apatah lagi orang yang dikenali tidak amanah dalam menukilkan fakta.

- Contohnya, mustahil Syeikh Albani mengatakan isteri-isteri Nabi harus berzina selepas kewafatan baginda. Tanpa kita periksa balik pendapat ini, kita sudah tahu kebohongan orang yang mendakwanya.

- Kadang-kadang, seseorang ulama bercakap atau menulis dalam uslub jadaliy, iaitu uslub berhujah, tetapi orang yang tidak cerdik mengambil kata-katanya secara zahir, semata-mata untuk menuduhnya.

- Contohnya, dalam Quran menyebut: “Katakanlah (Wahai Muhammad) Kalaulah Tuhan al-Rahman mempunyai anak, maka akulah yang mula-mula memuliakannya”. (Al-Zukhruf: 81).

- Ayat ini adalah bentuk jadaliy (perdebatan) iaitu menghujahkan bahawa Tuhan tidak ada anak. Bukannya Tuhan menyuruh Nabi Muhammad mengatakan 'Aku yang mula-mula memuliakan anak Tuhan'. Hanya orang bebal sahaja mengatakan Tuhan suruh Muhammad memuliakan anak Tuhan.

- Oleh itu, pendapat seseorang tokoh mestilah diambil dari sumber yang sahih, bukannya dari sumber orang yang memusuhi, yang menukilkan separuh kalam dan menyembunyikan sebahagian.

Wallahu A'lam