Saturday, July 6, 2013

MEMAHAMI HAKIKAT SEDEKAH

Sekiranya kita benar-benar memahami hakikat sedekah dengan sebenarnya maka kita akan merasai sedekah itu dengan penuh kenikmatan. Bersedekah berlandaskan jalan yang betul berpandukan nas dan syari'at yang ditetapkan, kita tidak akan merasakan suatu kerugian bilamana mengalirnya duit poket kita untuk diberikan kepada penerima yang sebenarnya.

Maksud sedekah ialah memberi sesuatu yang berguna kepada mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Pelbagai jenis sedekah yang boleh kita lakukan samada sedekah badaniah, maliah atau lisaniah. Namun semua itu memerlukan kefahaman yang sebenar agar segala yang disedekahkan beroleh manfaat untuk kita di dunia dan akhirat.

Apa yang menyedihkan pada masyarakat pada zaman kini, mereka seakan-akan keliru berkenaan dengan sedekah. Keliru dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan "IKHLAS". Sehinggakan segala yang dilakukan dikatakan ikhlas sedangkan di dahului dengan permintaan. Sebagai contoh, meminta jemaah surau untuk majlis kenduri arwah tetapi pada masa yang sama niat sedekah makanan. Macam mana ia boleh jadi sedekah sekiranya jemaah surau tersebut diminta untuk bertahlil dahulu. Situasi sebegini, makanan yang dijemukan tersebut tidak lagi menjadi sedekah tetapi ia bertukar menjadi upah.
Kekeliruan ini semakin menular dan semakin sebati dalam kehidupan masyarakat. Bahkan para ustaz pun sama boleh terkeliru mengenai "IKHLAS". 

Betapa ruginya kita, kekeliruan ini mencacatkan sedekah yang dilakukan. Sebab itulah, Hakikat sedekah ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sedekah pedagang, sedekah hamba dan sedekah merdeka. Sedekah yang terbaik sekali ialah sedekah merdeka kerana mereka bersedekah tanpa mengharapkan apa-apa balasan dan hanya mengharapkan keredhaan Allah Taala semata-mata. 

Apabila tiba bulan Ramadhan maka bertambah ramai umat Islam ingin bersedekah, dengan berbekalkan niat yang suci murni tersebut kantung surau dan masjid makin hari makin penuh. Tapi sayang, disebabkan kurangnya pengetahuan hakikat bersedekah, mereka semua ini tertipu oleh kekreatifan ahli masjid dan surau dengan menyertakan borang tahlil dan kenduri arwah untuk disedekah zikir tersebut kepada semua arwah yang tersenarai dalam borang tersebut. Lihat lah betapa rugi mereka ini, andai sedekah mereka kepada ini dengan niat Fi Sabilillah dan tidak menetapkan apa-apa syarat kepentingan adalah lebih baik. Duit yang disedekahkan tersebut diharapkan pihak masjid atau surau gunakan dengan sebaiknya berdasarkan syarak sudah memadai dan itulah yang paling terbaik. 

Justeru, marilah kita sama-sama perbetulkan kefahaman kita agar segala sedekah kita adalah sebenar-benar dan semoga ianya diterima Allah Azza Wajalla.. Amiin..