Saturday, February 26, 2011

Perihal nama: Nama macam mana yang terbaik?

Beberapa malam yang lepas seorang ustaz jemputan menyatakan dalam ceramah beliau bahawa sesiapa yang tidak meletakkan nama anak-anak mereka dengan nama MUHAMMAD adalah tidak wajar dan tanda bahawa mereka tersebut kurang ilmu (begitulah kalau tidak silap)

Sebelum ini pun saya pernah terdengar seorang ustaz menyatakan nama yang paling baik untuk diberikan untuk anak adalah nama MUHAMMAD. Kata ustaz tersebut sepaling-paling kurang mesti ada seorang diberikan nama MUHAMMAD atau pun paling kurang nama di depannya nama MUHAMMAD.

Sebenarnya nama itu sangat baik sebab itu adalah nama Nabi kita di dunia dan nama AHMAD adalah nama di langit. Tapi apa yang pasti saya terjumpa sebuah hadis yang menyatakan bahawa mafhumnya adalah Allah sangat menyukai nama hamba-hambaNya yang bernama ABDULLAH atau ABDUL RAHMAN..

justeru mana satu pilihan anda? tepuk dada tanya iman. Pegang kepala tanya ilmu nescaya anda tidak meragui setiap pilihan anda. Janganlah terpengaruh dengan keindahan nama sahaja tapi renungkanlah kemanisan makna yang tersirat di dalamnya.

Monday, February 7, 2011

Baca Yasin Malam Jumaat "Bidaah".


Jawapan Dan Bantahan Berkenaan Perbincangan Bidaah Yang Melibatkan Pembacaan Yasin Pada Malam Jumaat Dan Sebagainya - Majalah Cermin Keluaran April 2004, Jilid 73, Terbitan Mohd Khairune S/B

Muqaddimah

Masalah pembahagian bidaah merupakan satu perbincangan yang amat penting di dalam Islam. Umumnya, rata-rata masyarakat kini memandang pembahagian atau perbincangan berkenaan bidaah adalah cuma satu masalah furu', tidak perlu diperbincangkan lagi.

Namun pada hakikatnya, dosa melakukan bidaah adalah lebih berat berbanding dosa-dosa besar seperti mencuri, membunuh dan minum arak. Ini kerana dosa bidaah senantiasa berpaut erat dengan melibatkan iktiqad seseorang. Bahkan ada dosa bidaah yang secara langsung disertai dosa syirik. Firman Allah s.w.t.:

"Andaikata kamu berlaku syirik maka hancurlah segala amalanmu"

-Surah Az-Zumar ayat 65.

Sufyan ats-Tsauri telah berkata :

"Bidaah itu lebih disukai iblis daripada kemaksiatan, pelaku maksiat masih ingin bertaubat dari kemaksiatannya, sedangkan pelaku bidaah tidak ada keinginan untuk bertaubat dari kebidaahannya."

Ini adalah kerana pembuat bidaah merasakan perbuatannya baik, dan dengan perbuatan bidaah itu dia bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Oleh kerana itu pelaku bidaah tidak pernah terfikir untuk bertaubat kepada Allah dari perbuatannya bahkan dengan kebidaahannya dia mengharapkan pahala. Firman Allah s.w.t. :

"Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk dia meyakini pekerjaannya itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan?"

-Surah Faathir ayat 8.

Dengan kata lain, perbincangan bidaah adalah satu perkara yang seharusnya dipandang berat oleh seluruh umat Islam. Para ulama' secara khusus seharusnya memikul tanggungjawab memperbincangkan masalah ini dengan jelas menurut pertimbangan al-Quran dan as-Sunnah, bukan akal semata-mata.

Maksud Bidaah Dari Segi Bahasa

Bidaah dari bahasa Arab bererti sesuatu yang tidak ada permulaan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. :

"Katakanlah (Hai Muhammad): Tidaklah aku bid'an (yang terawal) dari rasul-rasul"

-Surah Al-Ahqaf ayat 9.

Begitu juga perkataan bidaah diambil dari sifat Allah s.w.t. :

"(Allah)(badi'u) yang mencipta bumi dan langit"

-Surah Al-Baqarah ayat 117.

Ertinya Allah s.w.t. telah mengadakan (mencipta) bumi dan langit yang tidak wujud sebelum penciptaanya.

Kesimpulannya, dari sudut bahasa bidaah ialah sesuatu yang baru yang tidak ada contohnya dari masa yang lepas .

Maksud Bidaah Dari Segi Syarak

Maksud bidaah yang paling tepat dari segi syarak ialah satu perkara yang direkai dalam agama yang seakan-akan menyamai atau menyerupai hukum syarak yang bertujuan untuk pengabdian (menghampirkan diri) kepada Allah tetapi tanpa mempunyai sebarang dalil syarak yang sahih terhadap kesahihan perbuatan tersebut sama ada dari segi asal atau pun keterangan (istinbat) syarak dari dalil-dalil tersebut .

Perhatikan bahawa definisi bidaah merangkumi tiga fakta penting :-

1) Rekaan baru dalam agama yang menyerupai syarak

2) Bertujuan menghampirkan diri pada Allah s.w.t.

3) Tidak mempunyai dalil yang sahih atau contoh yang sahih berkenaan perbuatan tersebut.

Definisi oleh Imam as-Syatibi ini merupakan definisi yang paling tepat, kerana ia menjadikan bidaah sebagai lawan kepada Sunnah dan dengan itu kesemua bidaah adalah ditegah, sesat dan menyesatkan. Ini disokong kuat oleh hadis nabi s.a.w. :

"Setiap bidaah adalah sesat"

-Riwayat Imam Muslim.

Kekeliruan

Bidaah terbahagi kepada dua. Pertama, bidaah yang baik atau bidaah hasanah. Kedua, bidaah yang tidak baik atau dolalah. Membaca Yaasin pada malam Jumaat di masjid-masjid dan surau-surau termasuk dalam bidaah hasanah. Jadi, tidak salah untuk melakukannya.

Jawapan Dan Bantahan Penulis

Wujudkah Bidaah Hasanah Di Dalam Syarak?

Allah s.w.t. telah berfirman :-

"Setiap jiwa akan merasai kematian"

-Surah Ali-Imraan ayat 185.

Dengan begitu mudah sekali dapat kita fahami, bahawa perkataan setiap (kullu) di dalam ayat di atas tidak membawa maksud lain, kecuali kesemuanya tanpa sebarang pengecualian. Setiap jiwa dan dan yang bernyawa, samada manusia, haiwan, tumbuhan, malaikat ataupun jin, pasti akan merasai kematian. Tiada sebarang peselisihan atau salah faham terhadap ayat di atas.

Begitu juga dengan hadis nabi s.a.w. :

"Setiap bayi dilahirkan di atas fitrah (bersih lagi suci)"

-Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Tidak dinafikan lagi, ayat di atas amat jelas sekali. Setiap bayi yang lahir ke dunia ini, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama anutan ibundanya, adalah dilahirkan suci dan bersih, tanpa sebarang pengecualian.

Maka dengan ini, dengan kaedah dan kefahaman yang sama, dapatlah kita fahami dengan mudah hadis nabi s.a.w. :

"Setiap bidaah adalah sesat, dan setiap kesesatan adalah neraka (tempatnya)"

-Riwayat Imam Muslim.

Jelas, tidak wujud sebarang bidaah hasanah (bidaah yang baik) di dalam syarak. Sebagaimana ayat dan hadis sebelumnya diertikan tanpa sebarang pengecualian, begitulah juga halnya dengan hadis di atas. Kesemua bentuk bidaah adalah sesat !

Sudah diakui oleh para ulama tanah air bahawa Yasin pada malam Jumaat adalah bidaah hasanah, manakala telah dinyatakan dengan dalil yang sahih di atas, bahawa tidak ada bidaah hasanah di dalam perkara ibadah. Maka dengan sendirinya persoalan tersebut terjawab.

Sebagai tambahan, menetapkan sesuatu amalan atau ibadat secara khusus pada malam Jumaat sahaja, adalah juga merupakan suatu larangan yang terang daripada nabi s.a.w. sebagai mana di dalam hadis baginda :

"Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan Qiyam daripada malam-malam yang lain"

-Riwayat Imam Muslim.

Qiyam yang dimaksudkan di atas boleh kita ertikan dengan sebarang jenis ibadah, samada ianya solat, berpuasa, berzikir mahupun membaca al-Quran. Ini merupakan larangan yang jelas, dan kita selaku umat Islam dilarang keras mengingkari larangan baginda s.a.w.

Firman Allah s.w.t.,

"Pada hari ini telah aku sempurnakan agama kamu"

- Surah Al-Maidah ayat

Telah Allah s.w.t. janjikan di dalam ayat di atas bahawa agama kita, Islam telah pun lengkap dan sempurna, tidak lagi memerlukan kepada sebarang penambahan atau tokok-tambah

Kekeliruan

Apakah sesuatu yang tidak dilakukan nabi itu tidak boleh dilakukan umat Islam? Padahal menurut kaedah fikah, apa yang disepakati baik oleh umat Islam maka ianya baik dan boleh dilakukan. Contohnya Yasin pada malam Jumaat dan sambutan Maulidurrasul yang telah diterima sebagai sesuatu yang baik oleh umat Islam. Jadi, kalau ia tidak dilakukan, ia menjadi tidak elok pula.

Jawapan Dan Bantahan Penulis

Pertama sekali, kata Imam as-Syafie di dalam kitabnya ar-Risalah, "Ibadah adalah amrun tauqifi (arahan yang terhenti). Segala jenis ibadah pada asalnya adalah dilarang, kecuali apa yang disuruh oleh nas yang sahih".

Oleh itu, berdasarkan kaedah di atas, memang tepat sekali jika dikatakan, di dalam perkara yang bersangkutan dengan ibadah, sesuatu yang tidak dilakukan oleh nabi s.a.w. tidak boleh (haram) dilakukan oleh umat Islam.

Kedua, terdapat pertikaian terhadap asal kaedah fikah yang digunakan di atas. Kaedah ini sebenarnya berasal dari sebuah hadis :

"Apa yang dipandang oleh al-Muslimun (umat Islam) baik, maka ia adalah di sisi Allah baik"

Menggunakan hadith ini sebagai dalil adalah lemah, kerana :

1) Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani telah membuktikan bahawa ia sebenarnya bukanlah kata-kata baginda yang sahih, sebaliknya hanya kata-kata sahabat baginda Abdullah Ibnu Mas'ud. Dengan sebab ianya hadis mauquf (perkataan sahabat), maka tidak boleh berhujah dengannya kerana ia berlawan dengan hadis nabi s.a.w. yang sahih dari perkataan baginda s.a.w., "kesemua bidaah adalah sesat".

2) Jika diteliti lafaz hadis dengan keratan yang lebih awal dari keratan di atas, ia menyebut "hati-hati para sahabat adalah sebaik-baik hati hamba abdi (kepada Allah) maka dijadikan mereka para menteri nabi-Nya….". Oleh itu, al-Muslimun yang dimaksudkan di sini adalah sebenarnya para sahabat.

3) Tidak adil diertikan al-Muslimun di atas dengan seluruh umat Islam, setiap individu muslim, kerana mereka yang nyata-nyata jahil tidak berhak untuk mengeluarkan pandangan dalam agama (ijtihad).

4) Terdapat banyak kenyataan dari Ibnu Mas'ud sendiri yang menyangkal hadis ini, contohnya perkataannya yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani :

"Ikutilah dan janganlah kamu mereka-rekakan bidaah (perkara baru) sesungguhnya telah mencukupi bagi kamu (al-Quran dan as-Sunnah)".

Tambahan pula, pendapat orang ramai tidak boleh dijadikan hujah dan dalil syarak. Firman Allah s.w.t. :

"Dan andaikata engkau mentaati kebanyakan manusia di muka bumi, mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah."

-Surah al-An'am ayat 116.

Dengan kata lain, menghukumkan setiap perkara yang dilakukan orang ramai adalah betul, maka itu adalah salah.

Ketiga, amalan sambutan hari kelahiran baginda s.a.w. juga merupakan satu rekaan atau bidaah yang terang. Tidak ada sebarang hadis ataupun riwayat daripada para sahabat bahawa mereka pernah menyambut dan meraikan hari tersebut, sedangkan jelas bahawa cinta dan kasih sayang mereka terhadap baginda s.a.w. adalah lebih hebat lagi berbanding kita.

Sebenarnya idea menyambut hari kelahiran orang-orang penting seperti para nabi merupakan satu ciptaan orang-orang Kristian. Sebagaimana kita sedia maklum, mereka menyambut Krismas (Christ = al-Masih yakni Isa, Mas = besar-besaran ) kononnya mengingati kelahiran nabi Isa a.s.

Di dalam sebuah hadis baginda s.a.w. bersabda :

"Jangan kamu semua mengagungkan aku, sebagaimana orang-orang Nasrani (Kristian) mengagung-agungkan anak Maryam (Isa a.s.). Sesungguhnya aku hamba Allah, maka katakanlah aku hamba Allah dan rasul-Nya"

-Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Kita dilarang pula menyerupai orang-orang kafir :

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka (tergolong dengan mereka)"

-Riwayat Imam Bukhari

Syeikhul Islam Ibnu Taymiyah telah membahas tentang sambutan seperti Maulidur Rasul ini dengan panjang lebar, di mana beliau mengutuk majlis dan festival rekaan ini yang mana tidak ada asalnya dari syariat yang asli.

Dengan ini, dapatlah dibuktikan bahawa fakta yang diberikan nyata-nyata bercanggah dengan riwayat baginda s.a.w. dan para sahabat yang sahih.

Kekeliruan

Arab Saudi berpegang kepada fahaman Wahhabi. Mereka memang sudah sentiasa membaca al-Quran bukan sahaja setakat Yasin, malah seluruh al-Quran. Amalan yang dilakukan oleh orang Arab itu sesuai dengan suasana di dalam masyarakat mereka, manakala tidak sesuai dengan masyarakat kita. Orang Arab, walaupun tidak membaca Yasin pada malam Jumaat, tetapi mereka tidak meninggalkan amalan membaca al-Quran.

Jawapan Dan Bantahan Penulis

Pertama sekali, Wahhabi yang dikatakan sebagai satu fahaman itu sebenarnya bukanlah seperti yang didakwa. Perlembagaan Arab Saudi ada tercatat bahawa mereka bermazhab Hanbali yang diasaskan oleh Imam Ahmad ibnu Hanbal, anak murid kepada imam mazhab kita, Imam as-Syafie, begitu juga dengan masyarakat di sana termasuklah para imam di Masjidil Haram.

Pada hakikatnya perkataan Wahhabi di ambil dari nama ulama yang memimpin gerakan ini, iaitu Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Gerakan ini bertujuan untuk memulihkan kemurniaan aqidah di Mekah dan Madinah, setelah banyak dipengaruhi unsure-unsur syirik dan amalan khurafat. Beliau sendiri juga bermazhab Hanbali.

Adalah amat tidak adil sekali jika mereka yang mengikuti gerakan ini secara langsung terus dituduh sebagai fahaman Wahhabi, tanpa sebarang sokongan yang bersifat ilmiah. Para pembaca dinasihatkan agar mengkaji dengan lebih mendalam tentang ulama ini, sebelum menghukumkan beliau membawa satu fahaman baru yang kononnya tidak sesuai diamalkan di sini. Rujuk juga kepada kitab-kitab karangannya, terutamannya Kitab at-Tauhid yang padat dengan sokongan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

Kedua, bukankah sejak di bangku sekolah rendah lagi, telah diterapkan bahawa Islam agama sarwajagat, atau sesuai diamalkan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa sahaja? Tidak dapat dinafikan lagi, bahawa kita diutuskan dengan satu nabi yang sama dan satu nabi sahaja untuk kita ikuti, iaitulah nabi Muhammmad s.a.w. Wahyu yang diturunkan pula kepada baginda s.a.w. juga hanyalah dari Allah.

Jadi, mengapa pula ada yang dikatakan tidak sesuai di Malaysia, dan ada pula yang sesuai? Tambahan pula, masalah bidaah yang diperbincangkan berkait rapat dengan masalah ibadat. Mengikut kaedah :

"Tidak ada khilaf (perselisihan) di dalam ibadah"

Benar sekali kata nabi s.a.w. di dalam hadis baginda :

"Demi Yang Memegang jiwa Muhammad di tangan-Nya, akan berpuak-puak umatku sebanyak 73 puak, satu puak akan masuk syurga dan 72 puak lainnya akan masuk neraka. Para sahabat bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah? Nabi menjawab : Al-Jamaah."

-Riwayat Imam al-Thabrani.

Di dalam riwayat yang lain :

Sahabat bertanya : Siapakah mereka (puak yang selamat itu) ya Rasulullah? Baginda menjawab : Yang satu itu ialah mereka yang berpegang dengan peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku."

-Riwayat Imam Tirmizi.

Jelas di sini, Islam secara hakiki dan sebetulnya hanyalah satu, iaitu sesiapa yang berpegang kuat kepada sunnah nabi s.a.w. Dengan ini, kita disuruh mendengar semua pendapat, tanpa mengira sesiapa, dan mengikuti pendapat yang paling kuat berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah. Dengan kata lain, cuma akan ada satu pendapat yang paling tepat. Firman Allah s.w.t. :

"Maka sampaikanlah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang mendengar semua pendapat, kemudian mengikuti yang terbaik (dari kalangan pendapat tersebut). Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang berakal."

-Surah Az-Zumar ayat 17 dan 18.

Begitu juga Ashab berkata bahawa Imam Malik ditanya tentang orang yang mengambil sebuah hadis kerana tsiqah dari para sahabat Rasulullah s.a.w. :

"Apakah engkau melihat bahawa di dalam perselisihan ada kelapangan?" Beliau berkata, "Tidak, demi Allah, sehingga yang hak itu benar. Yang hak itu adalah satu. Adakah dua perkataan yang berlawanan itu benar semuanya?! Yang hak dan benar itu adalah satu. "

Dapat disimpulkan di sini bahawa tiada istilah 'sesuai' atau 'tidak sesuai di dalam perkara ibadah.

Kekeliruan

Masyarakat kita pula kurang membaca al-Quran. Jika amalan membaca Yasin pada malam Jumaat dihentikan, dibimbangi kita tidak membaca al-Quran langsung. Ada baiknya membaca Yasin pada malam Jumaat.

Jawapan Dan Bantahan Penulis

Sudah saya bawakan dalil yang jelas dan sahih daripada nabi s.a.w. bahawa baginda melarang menetapkan sesuatu amalan khusus pada malam Jumaat. Menurut kaedah usul fikah :

"Niat yang baik tidak membolehkan perkara yang haram"

Membaca Yasin pada malam Jumaat bukan sahaja tidak ada dalilnya dari nabi s.a.w. malahan terdapat larangan yang jelas. Meskipun niatnya baik iaitu untuk menggalakkan bacaan al-Quran, namun itu tidak memansuhkan larangan muktamad dari nabi s.a.w.

Jika sikap orang-orang Islam di Malaysia yang tidak rajin membaca al-Quran, maka sikap mereka yang harus dan wajib diubah, bukannya syariat. Di dalam semua hal yang berkaitan ibadah, sikap seseoranglah yang harus diubah dan disesuaikan dengan syariat, bukan syariat yang harus diubah untuk disesuaikan dengan sikap seseorang.

Kekeliruan

"Barang siapa yang membuat perbuatan baru di dalam agama kami, maka ia adalah ditolak"

Untuk menghuraikan perkara itu, setiap umat Islam perlu bersikap terbuka. Di dalam fikah, terdapat ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah. Oleh kerana itu, kita perlu melihat perkara ini dalam konteks yang lebih luas. Adakah perkara yang menjadi pertelingkahan itu termasuk di dalam ibadat syariat atau tidak, terdapat di dalam hadis tasrie atau tidak. Dengan itu barulah kita boleh faham dengan jelas, apakah perkara itu termasuk di dalam bidaah yang dibolehkan atau tidak.

Sebagai contoh, setiap hari apabila bangun dari tidur, Rasulullah s.a.w. memberikan salam kepada 9 orang isterinya. Adakah perkara itu termasuk di dalam sunnah yang wajib diikuti? Selain itu, Nabi mula-mula berkahwin dulu, dia berkahwin dengan janda. Adakah itu juga menjadi sunnah yang wajib diikuti?

Samalah juga dengan naik unta dan menulis di atas batu. Walaupun Rasulullah s.a.w. dulu naik unta dan menulis di atas batu, umat Islam kini boleh menggantikan unta dengan kenderaan lain dan boleh menulis dengan menggunakan komputer.

Jikalau bidaah yang dibuat itu melampaui batas, contohnya menambah bilangan rakaat di dalam solat fardhu, maka itu barulah dikatakan salah.

Jelaslah kepada kita, umat Islam yang melakukan amalan-amalan bidaah hasanah, tidak perlu dihalang.

Jawapan Dan Bantahan Penulis

Dengan merujuk kepada kenyataan diatas, dengan jelas sekali boleh kita dapati betapa kelirunya kenyataan tersebut.

Kekeliruan pertama yang jelas dan dapat diperhatikan di sini ialah kekeliruan beliau berkenaan perbezaan antara bidaah dari segi bahasa dan bidaah dari segi syarak. Para pembaca bolehlah merujuk perkara ini di awal jawapan kami ini.

Kekeliruan kedua ialah pengklasifikasian terhadap perkara yang bersangkutan ibadah atau bukan ibadah.

Pada hakikatnya, Rasulullah s.a.w. juga memiliki sifat sebagai manusia dan sekali-kali tidak akan keluar dari darjat kemanusiaan ini. Firman Allah s.w.t. :

"Katakanlah (hai Muhammad) : Bahawa sesungguhnya aku adalah manusia seperti kamu semua, yang telah diturunkan wahyu kepadaku"

-Surah al-Kahfi ayat 110.

Maka dapat kita katakan sifat baginda Rasulullah s.a.w. dapat dibahagikan kepada dua, iaitu :

1) Sifat baginda sebagai seorang rasul.

2) Sifat baginda sebagai seorang manusia biasa.

Perihal Membaca Yaasin Pada Malam Jumaat


Maksudnya:

Barangsiapa membaca Surah Yaasin pada malam Jumaat diampunkan baginya (akan dosa-dosanya).

I. Periwayat Hadith: AI-Ashfahani

2. Status Hadith: Sangat Lemah

3. Sebabnya:

Didalam sanadnya terdapat dua orang perawi yang bemama Aghlab bin Tamim dan Zaid bin AI-Harish.

a) Aghlab bin Tamim

Kata Imam Ibnu Hibban: Ia seorang yang mungkar hadithnya dan ia meriwayatkan hadith dari perawi-perawi yang thiqah (kepercayaan) yang mana hadith-hadith tersebut bukan berasal dari mereka sehingga terkeluar dari batasan boleh berhujah dengannya disebabkan banyaknya kesalahan yang dilakukan.

Kata Imam AI-Bukhari: Ia seorang yang mungkar hadithnya.

Kata Imam Ibnu Ma'in: Ia tidak memiliki sesuatu(yang soheh untuk dijadikan pegangan).

Kata Imam An-Nasai: Ia lemah.

b. Zaid bin AI-Harish

Kata Imam Ibnu Qathan: Ia majhul hal (iaitu seorang perawi yang diriwayatkan darinya dua orang atau lebih tetapi ia tidak dianggap orang yang kepercayaan).

Sanad hadith ini terputus, dimana hadith ini diriwayatkan oleh AI-Hasan AI-Basri dari Abu Hurairah dari Nabi SAW.

AI-Hasan AI-Basri tidak pemah mendengar sebarang hadith dari Abu Hurairah RA.

Kedudukan AI-Hasan yang tidak pemah mendengar sebarang hadith dari Abu Hurairah RA. Ini ditegaskan oleh Imam At- Tirmizi, Imam AI-Bazzar, Imam Abdul Hak, Imam Ad-Daruqutni dan Imam Ibnul Qattan.

Kedudukan terputusnya periwayatan AI-Hasan dari Abu Hurairah ini dikuatkan lagi oleh Imam Az-Zahabi didalam kitabnya Mizan AI-I'tidal.

4. Keterangan:

Sunnah pada siang atau malam Jumaat adalah membaca Surah AI-Kahfi.

Berkata Abu Said AI-Khudri:

Maksudnya:
Barangsiapa membaca Surah AI-Kahfi pada malam Jumaat, terpancar baginya cahaya antaranya dan antara Kaabah.
(Riwayat Ad-Darimi)

Walaupun hadith ini ucapan Abu Said RA (hadith mauquf) ,tetapi dalam ilmu hadith hukumnya adalah dikira hadith marfu' (ucapan Nabi SAW) kerana perkara sebegini tidak boleh digunakan akal didalam menetapkannya.

Sabda Rasulullah SAW: .

Maksudnya:
Barangsiapa membaca Surah AI-Kahfi pada hari Jumaat, terpancar baginya cahaya antara dua Jumaat.
(Riwayat AI-Baihaqi, AI-Hakim)

Sumber: Ibrahim Mohd Raja www.al-ahkam.net